Soalan 1
Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah Bayah mendengar kata Khoja Maimun itu lalu ia pun fikir seketika di dalam hatinya. “Jikalau tiada kuturutkan kehendaknya kalau-kalau aku diperbuatnya seperti Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala perempuan ini aku perlalaikan juga akan dikau!” Setelah sudah ia berfikir itu maka ujarnya,”Hai Siti yang mulia yang amat elok paras, jikalau demikian baiklah tuan segera mendapatkan anak raja itu, kerana tuan sudah berjanji dengan dia, supaya jangan kedapatan kata kepada anak raja itu kelaknya! Tuan pun sangat bebal oleh bertanya kepada Tiung itu daripada sebab dia pun ingin juga, bagaimanapun adalah dengkinya juga akan tuannya, baiknya belum terlanjur fikirnya pekerjaan tuan. Jikalau sudah, ialah esok yang memberitahu kepada tuan yang laki-laki! Adapun akan bahagian hamba ini haraplah tuan yang kejahatan sekalipun pekerjaan tuan, insya-Allah Taala di atas hamba membaikkan dia. Jikalau datang pun tuan yang laki-laki tiada mengapa. Baiklah tuan segera pergi! Kalau-kalau sudah tiba anak raja itu menanti tuan daripada hamba pun sangat hendak berbual, murkalah ia dengan tuan kelaknya. Apakah yang dicari oleh manusia di dalam dunia ini melainkan martabat, kekayaan, harta dan kejayaan? Tiada adalah yang lebih baik kepada martabat raja atau anak raja itu dengan tetapi dengan ikhtiar juga maka sempurna adanya. Baiklah tuan segera pergi mendapatkan anak raja itu tetapi dengan ikhtiar juga. Akan hamba ini adalah seperti hikayat cetera seekor Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Demikian adanya!”
Maka kata isteri Khoja Maimun, “Hai Bayan, bagaimanakah hikayatnya? Kamu ceterakanlah kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar itu?” Maka kata Bayan “Mengapa maka tuan hendak mendengar Hikayat Bayan itu? Tidak sabar anak raja itu menanti tuan? Baiklah tuan segera pergi dahulu. Insya-Allah Taala, esok harilah hamba bercetera.” Maka kata Bibi Zainab,”Jikalau ada kasihmu akan aku, berceteralah engkau dahulu kepada aku sekarang sebelum aku pergi ini.” Kepada hati Bayan,”Jika demikian insya-Allah Taala dapatlah perempuan ini aku perlalaikan dia.”
((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja, hlm. 75-76)
i. Berikan maksud aku perlalaikan juga akan dikau. 1m
ii. Berdasarkan petikan di atas, bagaimanakah caranya burung Bayan itu melalaikan isteri Khoja Maimun? 3m
iii. Pada pendapat anda, wajarkah Bayan melalaikan isteri Khoja Maimun? Berikan empat alasan anda. 4m
SKEMA
i. …aku menyebabkan isteri Khoja Maimun melupakan hajatnya untuk pergi berjumpa dengan anak raja
ii. …dengan memuji kemuliaan hati dan keelokan rupa paras isteri Khoja Maimun …melahirkan kebimbangannya jika anak raja itu marah atas kelewatan isteri Khoja Maimun menemuinya…menceritakan kisah burung Bayan yang telah dicabut bulunya oleh isteri saudagar.
iii. wajar…kerana perempuan itu ialah isteri Khoja Maimun…mengelakkan isteri Khoja Maimun melakukan perkara yang tidak baik dengan lelaki lain…menyelamatkan rumah tangga Khoja Maimun ….berlaku curang kepada suami adalah dosa besar
Tuesday, November 30, 2010
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 1
Posted by eranis at 10:12 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment