SOALAN 7
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
“Ampun Tuanku,” kata ketua-ketua lanun itu, “harap dapat dibuang isi geliung ini kerana patik hendak mengisikan wang dinar emas di dalamnya.”
Setelah penuh sarat geliung itu dengan wang dinar emas diisikan oleh lanun-lanun itu, mereka pun bermohon kembali ke bahtera masing-masing.
Melihatkan lanun itu telah pergi, jurumudi segera mencabut kerisnya lalu menikam seekor ayam lagi, kemudian dengan keris berdarah itu pergilah dia menghadap Tuanku Nakhoda Tua mengatakan dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun.
Dengan tidak berfikir panjang lagi, Tuanku Nakhoda Tua percaya dengan kata-kata jurumudi yang palsu itu, lalu baginda menitahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu.
Apabila jurumudi dan Mualim sudah sedia di depan Tuanku Nakhoda Tua, masuklah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan geramnya, “Ya ayahanda, tua orang tua, berakal; makin tua makin berminyak, tapi tua ayahanda tua cendawan makin tua makin busuk!”
Tuan Nakhoda menjadi tersentak, “Hai anakku yang tidak tahu dek untung, mengapakah kau berkelakuan demikian ini di depan orang tua?”
“Kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak, sebab itulah anakanda berkata demikian. Cubalah ayahanda lihat siapakah di dalam petak jubung yang dilingkari tali sauh itu?”
(Dipetik daripada ‘Pelayaran yang Penuh Peristiwa’ dalam antalogi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009).
i) Terangkan maksud tua cendawan makin tua makin busuk yang digunakan dalam petikan di atas? [2 m]
ii) Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa mengibaratkan ayahandanya seperti tua cendawan makin tua makin busuk? Nyatakan dua sebab. [2 m]
iii) Pada pendapat anda, wajarkah Tuanku Nakhoda Tua mengahwinkan anaknya, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan jurumudi? Nyatakan empat alasan anda. [4 m]
JAWAPAN :
i) … Tuanku Nakhoda Tua yang sudah tua itu tidak dapat memberikan pendapat atau membuat tindakan yang betul.
ii) … kerana mata ayahandanya sudah kabur, yakni ayahandanya tidak menyiasat lebih dahulu kedudukan yang sebenar.
… kerana telinga ayahandanya sudah pekak, yakni mudah diperdayakan oleh jurumudi.
iii) Wajar :
… pada pandangan Tuanku Nakhoda Tua, jurumudi banyak jasanya.
…Tuanku Nakhoda Tua yakin bahawa jurumudi yang telah menghapuskan lanun.
…Tuanku Nakhoda perlu mengotakan janjinya
…anak seharusnya mengikut perintah ayahnya.
Tidak wajar :
… Tuanku Nakhoda Tua sepatutnya menyelidik kebenaran kata-kata jurumudi lebih dahulu
… Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak menyukai jurumudi
…jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan bahawa dia yang menyelamatkan geliung itu daripada dirampas oleh lanun
…jurumudi seorang pengecut dan gemar mengambil kesempatan atas susah payah orang lain.
Monday, November 22, 2010
Prosa: Pelayaran yang penuh peristiwa-soalan 7
Posted by eranis at 12:11 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment