BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 3, 2010

Cerpen Israk : Soalan 10

SOALAN 10

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Cekodok aje? Airnya pula macam air Sungai Kelang!” rungut Israk bagaikan tuan besar.

“Abang ni macam perempuan. Cerewet tidak semena-mena. Makan sajalah! Atau abang mati kebuluran.” Asap kemarahan dilepaskan sedikit demi sedikit.

“Buang masa saja tinggal di sini!” Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga Mikraj. Bersarang perasaan geramnya di dalam hati apabila Israk beredar. Lagak Israk menewaskan lagak orang yang berlagak. Dia masih belum sedar daripada mimpinya. Agaknya kalau ditimpa musibah baru dia akan sedar. Sudah terhantuk baru terngadah.

Israk menekan punat televisyen. Malangnya tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.

“TV pun rosak!” sengaja ditinggikan suaranya sperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.

Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar-mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.


“Bukankah Wah lebih tua daripada kita. Lagipun dia nenek kita. Tentu orang cerdik seperti abang tahu tanggungjawab!”

Israk melemparkan pandangan ke luar jendela. Daun pokok pisang melambai-lambai seolah-olah mengejinya. Dia mengetap bibir.

“Abang, kalau tanpa Wah, pa tidak lahir ke dunia. Sekali gus kita berdua pun tidak melihat dunia seperti sekarang.”


(Dipetik daripada cerpen ‘Israk’ oleh Roslan Khairi dalam Antalogi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009, hal. 134).



i) Apakah perlakuan Israk yang memperlihatkan dia tidak selesa berada di rumah Wah? (3 markah)

ii) Pada pendapat anda, wajarkah Israk berperwatakan seperti yang tergambar dalam petikan di atas? (3 markah)

iii) Huraikan perbezaan watak Israk dengan Mikraj berdasarkan keseluruhan cerpen.
(3 markah)




Jawapan:
i) Meninggikan suara apabila TV tidak dapat dipasang.
Berjalan mundar-mandir di ruang tamu seperti cacing kepanasan.

ii) Tidak wajar:
- Wah ialah neneknya sendiri. Wah merupakan seorang tua yang perlu dihormati dan dijaga perasaannya.

- Israk juga perlu menyedari bahawa Wah yang menjaganya sejak kecil sebelum dibawa oleh datuk sebelah bapanya ke Perth.

- Sebagai orang yang berpelajaran, Israk sepatutnya lebih matang dan sentiasa dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu.

iii) - Israk tidak menghormati orang tua sedangkan Mikraj sangat menghormati Wah yang sudah tua itu.

- Israk gagal menyesuaikan diri di Kampung Sayong sedangkan Mikraj dapat menyesuaikan diri dengan mudah.

- Israk sentiasa memandang rendah terhadap Wah sedangkan Mikraj sangat menghargai peranan Wah yang sangat baik.

0 comments: