BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 24, 2010

Prosa: Pelayaran yang Penuh Peristiwa-Soalan 14

SOALAN 14

Baca prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Tuanku Nakhoda menjadi tersentak,”Hai anakku yang tidak tahu dek untung, mengapakah kau berkelakuan demikian ini di depan orang tua?”

“Kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak, sebab itulah anakanda berkata demikian. Cubalah ayahanda lihat siapakah di dalam petak jubung yang dilingkari tali sauh itu?”

Tuanku Nakhoda Tua segera menjengah ke petak jubung. Dilihatnya ada seorang muda yang sangat tampan dengan wajahnya berseri-seri bagai purnama empat belas hari bulan. Baginda tertegun kagum lalu kembali bertanya kepada puterinya. “Hai anakanda, siapakah pemuda yang di dalam jubung itu?”

“Dialah budak hitam yang meminta tolong bayarkan hutangnya kepada ayahanda dulu, tetapi ayahanda telah nyahkan dia.”

“Siapa namanya?”
“Itulah Awang Sulung Merah Muda, anak Tuanku Si helang Laut, cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai. Dialah yang sebenarnya bertanggungjawab memeliharakan geliung dan isinya selama ini. Sekarang marilah ayahanda lihat isi geliung kita ini, telah penuhlah dengan wang dinar emas pemberian bajak laut.”

Tuanku Nakhoda Tua merasa takjub melihatkan demikian banyaknya wang dinar emas di dalam geliung itu. “Panggilkan Awang Sulung ke mari!” perintah baginda kepada jurubatu sementara jurumudi mulai menggeletar ketakutan.

Awang Sulung enggan menghadap, kerana katanya beliau anak sakai yang tidak layak datang menghadap.

(Dipetik daripada ‘Pelayaran yang Penuh Peristiwa’ dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka,2009,hal.40-41 )


i. Berikan maksud rangkai kata Kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak. 2m

ii. Apakah yang membuatkan Tuanku Nakhoda Tua mengagumi Awang Sulung? 3m

iii. Pada pendapat anda, mengapakah Awang Sulung enggan datang menghadap Tuanku Nakhoda Tua? 3m


SKEMA
i. ...bermaksud Tuanku Nakhoda Tua tidak pandai membuat penilaian jasa dan kelebihan orang lain…baginda hanya memandang luaran tanpa memandang aspek dalaman seseorang

ii. …Awang Sulung berjaya mengawal kapal dan segala isi yang ada di dalam kapal dengan baik dan sempurna…Awang Sulung dapat mengumpulkan wang dinar emas yang banyak hasil pemberian lanun

iii. …Awang Sulung berasa kecil hati kerana sebelum ini dia pernah diusir atau dihina oleh Tuanku Nakhoda Tua untuk meminta pertolongan membayarkan hutang…darjat dirinya tidak setaraf dengan baginda…dia hanya menumpang teduh di dalam kapal dan masih berhutang…dia bersikap rendah diri

0 comments: