BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 28, 2010

Prosa:Hikayat Indera Nata-Soalan 9

SOALAN 9

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan berikutnya menggunakan perkataan anda sendiri.

Maka ia pun segeralah pergi mendapatkan rumah itu serta sampai maka ia pun melihat beberapa pakaian yang keemasan. Setelah itu maka ia pun melihat pula pada sebelah rumah itu, ada sebuah mahligai terlalu tingginya dan terlalu amat indah-indah perhiasannya itu.

Maka Indera Nata pun segera naik ke atas mahligai itu, serta sampai maka ia melihat tuan puteri tujuh orang. Maka Indera Nata pun hairan melihat kekayaan Tuhan seru alam sekalian.
Sebermula maka sekalian puteri itu pun terlalu suka hatinya melihat seorang laki-laki datang itu dan terlalu elok parasnya.

Maka kata tuan puteri ketujuhnya itu, “Hai orang muda, siapakah nama tuan hamba ini dan betapa pekerjaan tuan hamba datang ke mari ini kerana pada tempat ini tiada pernah manusia datang ke mari atau jin atau syaitan tiada berani ke mari kerana takut ia dimakan oleh raksasa!”

Maka kata Indera Nata, “Hai tuan puteri sekalian, adapun nama hamba ini Indera Nata anak Raja Rom, kerana hamba datang ke mari ini disuruh oleh Raja Rom mencari gajah bergadingkan emas lagipun kakanda bertanya kepada adinda siapakah nama tuan puteri ini sekalian dan anak siapa tuan dan apakah pekerjaan tuan diam di sini?”

Maka sahut Tuan Puteri Cendera Kesuma,”Hai kakanda, adapun nama hamba ini Puteri Cendana Kesuma anak Raja Mesir dan Puteri Norlila anak Raja Baghdad dan Puteri Indera Paksi ini anak Raja Siam dan Puteri Ratna Cahaya ini anak Raja Kufah dan Puteri Ratna Bagang ini anak Raja Iraq dan Puteri Cendera Maha Dewi ini anak Raja Peringgi!

Sebermula adapun adinda sekalian ini ditaruh oleh raksasa di sini sebab hendak dibesarkannya. Apabila sudah besar hamba sekalian, maka dimakannyalah dan demikianlah hal adinda sekalian ini.”

Maka kata Indera Nata,”Hai adinda sekalian, betapakah fikir adinda sekarang ini?”

Maka kata tuan puteri yang ketujuh itu, “Adapun jikalau kakanda kasih akan hamba, hamba menyerahkan diri sekalian akan tuan hamba minta dibawa kepada kakanda pulang ke benua Rom dan biarlah adinda sekalian perhambakan diri kepada kekanda.”

(Dipetik daripada prosa tradisonal “Hikayat Indera Nata” Wahynah Abd. Ghani, (Penyelenggara) dalam antologi Harga Remaja, hlm. 61-62)

i. Apakah maksud betapakah fikir ? 2m

ii. Gambarkan keadaan di rumah yang dilihat oleh Indera Nata. 3m

iii. Pada pendapat anda, apakah tujuan Raja Rom menitahkan Indera Nata mencari gajah bergading emas? 3m
SKEMA
i. …apakah pendapat
ii. Indera Nata melihat beberapa helai pakaian yang keemasan di rumah tersebut…Terdapat sebuah mahligai yang sangat tinggi dan indah perhiasannya di sebelah rumah itu.
iii. …kerana baginda hendak menggunakan gajah bergading emas itu sebagai kenderaan rasmi baginda ketika melawat rakyat jelata…Gajah itu juga boleh digunakan sebagai kenderaan sewaktu berburu kerana gajah itu pasti mempunyai kesaktian yang luar biasa…Gajah itu juga dapat dijadikan sebagai lambang kemegahan dan kedaulatan kerajaannya kerana sangat sukar untuk mendapatkan gajah tersebut.

0 comments: