BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, November 3, 2010

Cerpen Israk :Soalan 7

SOALAN 7

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

“Cekodok aje? Airnya pula macam air air Sungai Kelang!” rungut Israk bagaikan tuan besar.

“Abang ni macam perempuan. Cerewet tidak semena-mena. Makan sajalah! Atau abang akan mati kebuluran.” Asap kemarahan dilepaskan sedikit demi sedikit.

“Buang masa saja tinggal di sini!” Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telingan Mikraj.

Bersarang perasan geramnya di dalam hati apabila Israk beredar. Lagak Israk menewaskan lagak orang yang berlagak. Dia masih belum sedar daripada mimpinya. Agaknya, kalau ditimpa musibah baru dia akan sedar. Sudah terhantuk baru terngadah.

Israk menekan punat televisyen. Malangnya, tiada apa-apa pada skrin. Kaca TV hitam sahaja. Israk mencebik.

“TV pun rosak!” Sengaja ditinggikan suaranya seperti ‘injak naik’ yang menaikkan jumlah voltan arus yang mengalir.

Dengan sopan kerusi ditolak ke bawah meja. Mikraj menapak ke ruang tamu seluas 4 m x 6 m itu. Mata bundarnya memandang Israk yang mundar mandir di situ. Bagaikan cacing kepanasan. Sesungguhnya dia tidak serasi dengan situasi di situ, di rumah Wah, Kampung Sayong.

“Bukankah Wah lebih tua daripada kita. Lagipun dia nenek kita. Tentu orang cerdik seperti abang tahu tanggungjawab!”

Israk melemparkan pandangan ke luar jendela. Daun pokok pisang melambai-lambainya seolah-olah mengejinya. Dia mengetap bibir.

(Dipetik daripada cerpen Israk oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja,
Hal. 133-134)




(i) Apakah yang sebenarnya menyebabkan Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga Mikraj? (2 markah)

(ii) Sekiranya anda ialah Mikraj, bagai manakah langkah terbaik untuk menyedarkan Israk daripada sikap egonya? (3 markah)

(iii) Huraikan tiga nilai yang terdapat dalam keseluruhan cerpen Israk. (3 markah)

Skema Jawapan :

Latihan

(i) Bara kata-kata Israk itu memanaskan lagi telinga Mikraj kerana perangai Israk yang keterlaluan. Baru pertama kali datang, Israk menjadi berlagak tak tentu dan mengatakan kedatangannya itu membuang masa sahaja. Bagi Mikraj, walaupun Israk dibesarkan di Perth, tidak bermakna Israk boleh menunjukkan sifat riak, ujub, sombong, bongkak dan takbur. Semua makanan tradisional yang nenek sediakan tidak kena seleranya dan apa sahaja yang dilaluinya di rumah nenek Wah, Kampung Sayong menjadi tidak serasi dan meresahkannya. Sepatutnya dia berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di kampong.

(ii) Sekiranya saya sebagai Mikraj, saya tidak akan bertegas ataupun meluahkan rasa tidak puas hati secara terang-terangan tetapi saya cuba berdiplomasi. Saya berusaha untuk memujuk Israk agar mengenang riwayat hidup ayahnya sebelum dia menuntut di luar negeri. Hasil tanaman Wah seperti durian dan buah-buahan tempatan itulah yang membiayai pengajian ayah Israk. Sebagai cucu, Israk sepatutnya bersyukur dan menghargai jasa neneknya, bukan sengaja menyindir atau berlagak demikian.

(iii) Tiga nilai dalam keseluruhan cerpen ialah kasih saying. Walupun Israk dibesarkan di luar negeri, sebagai cucu, Wah tetap mengasihinya. Wah tidak ambil hati sungguhpun sedikit sebanyak perkataan yang Israk luahkan kurang wajar dan menunjukkan sikap egonya. Nilai kedua ialah kesederhanaan. Sebagai cucu, Israk sepatutnya bersopan santun dan bersederhana dalam pertuturan. Nilai seterusnya ialah hormat-menghormati neneknya yang sudah tua dan telah banyak berjasa kepada ayahnya serta jangan mengecilkan hatinya.

0 comments: