BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, November 28, 2010

Prosa:Hikayat Indera Nata-Soalan 7

SOALAN 7

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan berikutnya menggunakan perkataan anda sendiri.

Maka ia pun terlalulah amarahnya lalulah ia berjalan segera mengikut bekas tapak gajah itu dan tiada beberapa lamanya berjalan maka terlihatlah kepada gajah itu dan tuan puteri ketujuh orang ada di atas gajah itu. Maka raksasa dua laki isteri itu pun sangatlah amarahnya. Maka ia pun segera mengusir Indera Nata dan tuan puteri ketujuh itu serta dengan tempik soraknya.

Hatta maka tuan puteri sekalian itu pun menangislah bercintakan dirinya dan Indera Nata itu pun sampailah ke tepi laut serta mencita gemala hikmat yang daripada Betara Gangga itu.

Maka Betara Gangga pun terpandanglah kepada Indera Nata. Maka Betara Gangga pun menyuruhkan lembur dan naga akan menyeberangkan Indera Nata seraya katanya,”Hai lembur dan naga, segeralah olehmu pergi mendapatkan cucuku Indera Nata itu kerana ia diusir oleh raksasa dua laki isteri dan bunuh olehmu akan raksasa itu!” Maka lembur dan naga itu datanglah bersegera kepadanya bermohon kepada Betara Gangga itu seraya mendapatkan Indera Nata. Maka dilihat oleh Indera Nata lembur dan naga itu maka katanya, “Hai lembur dan naga, sahaja engkau datang menolong kepada aku, seberangkanlah aku ini sekalian!”

Maka sembur lembur dan naga itu katanya, “Ya Tuanku Indera Nata, segeralah tarik tali gajah itu naiklah duduk di belakang kedua ini serta dengan gajah itu sekalian!”

Maka Indera Nata pun segeralah menarik tali gajah itu lalu dibawanya naik ke atas lembur dan naga itu pun menyeberangkanlah. Setelah sampai ia di seberang maka raksasa itu pun datanglah ke tepi laut. Maka tangannya disorongkan ke laut serta datang pertengahan laut itu maka lembur dan naga itu pun segeralah menarik tangan raksasa itu dua laki isteri dibawanya ke dalam laut. Hatta maka raksasa pun lemahlah dan ia pun matilah kedua laki isteri.

Setelah itu maka Indera Nata pun berjalanlah ia menghelakan gajah itu. Maka tuan puteri sekalian terlalu hairan melihat kesaktian dan gagah beraninya Indera Nata kera ia berkata dengan sekalian binatang.

(Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Indera Nata” Wahynah Abd. Ghani, (Penyelenggara) dalam antologi Harga Remaja, hlm. 66)


i. Apakah maksud rangkai kata mencita gemala hikmat. 2m

ii. Siapakah Betara Gangga dan tuliskan satu perwatakannya berdasarkan petikan di atas. 3m

iii. Nyatakan tempat dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam petikan. 3m

SKEMA
i. …menggunakan kuasa batin untuk memuja batu geliga

ii. …pemilik lembur(ular sakti) dan naga…membantu Indera Nata menyeberang lautan tatkala dikejar raksasa
perwatakan Betara Gangga
pendendam.Cth: Menyuruh lembur dan naga membunuh raksasa dua laki isteri setelah menyelamatkan Indera Nata

iii. latar tempat: tepi laut.Cth: Indera Nata dan tujuh orang puteri menunggang seekor gajah sehingga ke tepi laut. Ketujuh-tujuh puteri menangis kerana takut dikejar raksasa…seberang laut. Cth: Ular sakti dan naga menyeberangkan Indera Nata dan tujuh orang puteri ke seberang laut…Tengah-tengah laut.Cth: Ular sakti dan naga menarik tangan raksasa di tengah-tengah laut. Kedua-dua raksasa itu mati di dalam laut.

0 comments: