BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 25, 2010

Prosa:Hikayat Indera Nata- soalan 3

SOALAN 3

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan berikutnya menggunakan perkataan anda sendiri.

Maka dengan takdir Allah bertemulah ia dengan seorang raja namanya Raja Rom ia pun pergi berburu dengan segala menteri dan hulubalang dan rakyat sekalian.

Syahadan adapun raja itu naik gajah bergadingkan emas. Setelah dilihat oleh raksasa itu pun terlalu sukacitanya. Maka sekalian rakyat itu pun habislah dimakannya, seorang pun tiada tinggal lagi. Maka gajah itu pun diambilnya lalu dibawanya pulang.

Setelah itu maka raksasa itu pun kembalilah ke mahligai tuan puteri itu.

Maka kata tuan puteri,”Hai nenekku, sebenarnya kasih nenekku akan kami sekalian ini dan lagi jika ada kasih nenekku akan kami ini carikanlah kami kijang putih bertanduk emas serta kain yang hitam ini nenekku sucikan sampai putih! Jikalau belum lagi putih janganlah nenekku kembali.”

Maka kata raksasa,”Hai cucuku, esok harilah nenek pergi mencari!”

Hatta maka hari pun petanglah lalu ia tidur dua laki isteri. Setelah keesokan harinya maka raksasa yang laki-laki itu pun pergilah mencari kijang putih bertandukkan emas. Maka raksasa yang perempuan itu pun pergilah ia ke tepi laut menyuci kain tuan puteri yang hitam itu hendak dijadikannya putih.

Setelah itu maka Indera Nata dan tuan puteri yang tujuh itu pun turunlah ia dari atas mahligai menunggang gajah itu. Maka segala perkakasan di dalam mahligai itu pun habislah dibawanya.

Setelah sudah maka Indera Nata pun berjalanlah di tanah menghelakan gajah itu. Bermula adapun tuan puteri yang tujuh orang itu duduklah di atas gajah itu dan tiada berapa antaranya berjalan itu masuk hutan terbit hutan keluar padang masuk padang maka ia pun sampailah ke tepi laut.

Sebermula maka tersebutlah perkataannya raksasa mencari kijang putih itu. Maka ia pun tiadalah bertemu dan beberapa gunung yang besa-besar habislah dijalaninya daripada sakit hatinya mencari kijang itu. Setelah demikian maka ia pun marahlah ajan tuan puteri itu lalulah ia segera berjalan pulang melihat isterinya membasuh kain hitam. Mula-mula habislah koyak-koyak tiada juga mahu putih.

(Dipetik daripada prosa tradisonal “Hikayat Indera Nata” Wahynah Abd. Ghani, (Penyelenggara) dalam antologi Harga Remaja, hlm. 64-65)
i. Mengapakah raksasa sakit hati? 2m

ii. Tuliskan tiga latar tempat dan peristiwa yang berlaku di tempat tersebut. 3m

iii. Huraikan bahagian peleraian Hikayat Indera Nata. 3m

SKEMA
i. …kerana ia telah ditipu oleh ketujuh-tujuh puteri. Sebenarnya tidak ada kijang putih bertandukkan emas dan kain hitam tidak mungkin berwarna putih setelah dicuci

ii. dalam hutan.Cth: tempat raksasa merampas gajah bergading emas daripada Raja Rom.
dalam mahligai. Cth: tempat raksasa menyerahkan gajah bergading emas kepada tuan puteri.
di tepi laut. Cth: tempat raksaksa perempuan mencuci kain hitam kepunyaan tuan puteri

iii. …Indera Nata berjaya selamatkan tujuh orang puteri dengan bantuan Betara Gangga. Mereka naik di belakang ular sakti dan naga untuk menyeberang laut….Raksasa mati dimakan oleh ular sakti dan naga…Ketujuh-tujuh tuan puteri tinggal dengan bonda Indera Nata iaitu Tuan Puteri Cenderawati. Mereka hidup gembira

0 comments: