BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, November 4, 2010

Cerpen pemain Catur - soalan 9

SOALAN 9

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Uj pula semakin cemas. Segala-galanya serba tidak kena. Strateginya tidak menjadi. Tembok kecundang kian sendeng ke arahnya. Segala ilmu yang dipelajari dan pengalaman yang dikumpul dalam begitu banyak pertarungan yang lalu dipraktikkan sepenuhnya, namun satu demi satu askar putihnya ditawan askar hitam milik Um.

Um mengalih mata untuk meneguk minuman pembawa kesegaran. Tiba-tiba ada sesuatu yang tidak kena, dapat dirasakan Um. Buah caturnya tadi berada di kanan, tiba-tiba kini beralih ke kiri. Um mengembalikan kedudukan buah tersebut ke kotak asalnya.

“Um main tipu!” Tiba-tiba Uj menjerit. Dia bangun menghentak meja. “Ini rupanya yang engkau pelajari dari buku-buku tebal itu? Engkau belajar menipu!” “Uj yang main tipu. Kota saya tadi di kanan, ni kenapa di kiri pula? Siapa yang berani mengalihkannya kalau bukan Uj?”

“Jangan tuduh Uj sembarangan. Pastikan dulu betul tidaknya di mana letaknya kota engkau tadi? Kalau engkau takut kalah, baik mengaku kalah saja, Um!” bergetar suara Uj menggerudi hati Um.

Um mencari ketenangan dan kesegaran. Dia ke bilik air untuk membasuh muka. Sewaktu kembali ke meja percaturan tempat duduk Uj kosong. Dia masih di bilik kecil, mungkin. Um pun menarik kerusi untuk melabuhkan punggung dan seterusnya berfikir keras mencari jalan kemenangan.

Sebaik-baik duduk, sesuatu yang maha menyakitkan menyembur di bawah meja. Sebotol asid yang terkuis kaki Um tumpah. Um menggelupur dan meraung kesakitan. Seisi keluarga menjadi gempar, rutup dan ruwet.

(Dipetik daripada cerpen Pemain Catur oleh Zaharah Nawawi dalam antologi Harga Remaja,Dewan Bahasa dan Pustaka,2009)

i. Perihalkan bagaimanakah Um mendapat kecederaan? 3m

ii. Tuliskan amalan nilai-nilai murni yang perlu diamalkan dalam keluarga. 3m

iii. Nyatakan satu perwatakan Uj yang terdapat dalam petikan dan dua perwatakan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen. 3m



SKEMA
i. …Uj bimbang kerana ia hampir kalah…Uj mengalihkan buah catur kepunyaan Um dari kanan ke kiri…Uj menuduh Um menipu…Um pergi ke bilik air untuk membasuh muka…Um tersepak sebotol asid yang diletakkan oleh Uj di bawah meja.

ii. menjalinkan perasaan kasih sayang dan bergaul mesra dengan ahli keluarga…bersopan santun, berbudi bahasa dan saling menghormati…tidak menaruh dendam dan sedia memaafkan

iii. dalam petikan: tidak matang dan tidak bertimbang rasa kerana tidak memikirkan akibat perbuatannya. Cerpen: bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam permainan catur.Cth: Dia selalu mendesak Um bermain catur dengannya. Keras kepala, cepat marah dan tidak mahu beralah walaupun dengan adik sendiri.Contoh, dia gelabah apabila Um hampir menang kemudian dia melakukan penipuan.

0 comments: