SOALAN 4
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan berikutnya menggunakan perkataan anda sendiri.
Syahadan maka tersebutlah perkataannya Indera Nata berjalan itu. Maka ia pun bertemulah dengan sebuah bukit terlalu amat tinggi daripada segala bukit yang lain itu. Maka ia pun naiklah ke atas gunung itu. Maka Indera Nata pun melihat sebuah rumah terlalu tingginya itu.
Maka ia pun fikir di dalam hatinya itu,”Rumah apakah gerangan ini yang terlalu tingginya dan besarnya. Entah rumah jinkah atau rumah syaitankah atau rumah raksasakah itu?”
Maka ia pun segeralah pergi mendapatkan rumah itu serta sampai maka ia pun melihat beberapa pakaian yang keemasan. Setelah itu maka ia pun melihat pula pada sebelah rumah itu, ada sebuah mahligai terlalu tingginya dan terlalu amat indah-indah perhiasannya itu.
Maka Indera Nata pun segera naik ke atas mahligai itu, serta sampai maka ia melihat tuan puteri tujuh orang. Maka Indera Nata pun hairan melihat kekayaan Tuhan seru alam sekalian.
Sebermula maka sekalian puteri itu pun terlalu suka hatinya melihat seorang laki-laki datang itu dan terlalu elok parasnya.
Maka kata tuan puteri ketujuhnya itu, “Hai orang muda, siapakah nama tuan hamba ini dan betapa pekerjaan tuan hamba datang ke mari ini kerana pada tempat ini tiada pernah manusia datang ke mari atau jin atau syaitan tiada berani ke mari kerana takut ia dimakan oleh raksasa!”
(Dipetik daripada prosa tradisonal “Hikayat Indera Nata” Wahynah Abd. Ghani, (Penyelenggara) dalam antologi Harga Remaja, )
i. Berikan maksud rangkai kata mahligai terlalu tingginya dan terlalu amat indah-indah perhiasannya itu. 1m
ii. Apakah yang membuatkan Indera Nata mengkagumi rumah yang baru dilihatnya? 3m
iii. Pada pendapat anda, wajarkah Indera Nata memasuki kawasan rumah yang tidak diketahui pemiliknya? 4m
SKEMA
i. …bermaksud istana yang tersergam indah di tempat tinggi dan kelengkapannya amat menarik
ii. …kerana rumah itu terlalu besar dan terletak di tempat yang tinggi…Indera Nata tertanya-tanya tentang pemilik rumah tersebut sama ada milik jin, syaitan atau raksasa.
iii. Wajar….kerana Indera Nata harus mengambil risiko dengan menyiasat pemilik rumah berkenaan dalam pengembaraannya untuk mencari gading gajah…Indera Nata ingin mengetahui pemilik rumah yang begitu hebat sehingga tiada tandingannya…dalam pengembaraan mencari sesuatu yang dihajati memerlukan keberanian dalam semua perkara agar hasrat tercapai.
Sunday, November 28, 2010
Prosa:Hikayat Indera Nata-Soalan 4
Posted by eranis at 4:56 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment