BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, December 26, 2010

Hikayat Khoja Maimun - Soalan 2

Soalan 2

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah Bayah mendengar kata Khoja Maimun itu lalu ia pun fikir seketika di dalam hatinya. “Jikalau tiada kuturutkan kehendaknya kalau-kalau aku diperbuatnya seperti Tiung itu! Jikalau demikian, baiklah kusuruhkan ia pergi tetapi insya-Allah Taala perempuan ini aku perlalaikan juga akan dikau!” Setelah sudah ia berfikir itu maka ujarnya,”Hai Siti yang mulia yang amat elok paras, jikalau demikian baiklah tuan segera mendapatkan anak raja itu, kerana tuan sudah berjanji dengan dia, supaya jangan kedapatan kata kepada anak raja itu kelaknya! Tuan pun sangat bebal oleh bertanya kepada Tiung itu daripada sebab dia pun ingin juga, bagaimanapun adalah dengkinya juga akan tuannya, baiknya belum terlanjur fikirnya pekerjaan tuan. Jikalau sudah, ialah esok yang memberitahu kepada tuan yang laki-laki! Adapun akan bahagian hamba ini haraplah tuan yang kejahatan sekalipun pekerjaan tuan, insya-Allah Taala di atas hamba membaikkan dia. Jikalau datang pun tuan yang laki-laki tiada mengapa. Baiklah tuan segera pergi! Kalau-kalau sudah tiba anak raja itu menanti tuan daripada hamba pun sangat hendak berbual, murkalah ia dengan tuan kelaknya. Apakah yang dicari oleh manusia di dalam dunia ini melainkan martabat, kekayaan, harta dan kejayaan? Tiada adalah yang lebih baik kepada martabat raja atau anak raja itu dengan tetapi dengan ikhtiar juga maka sempurna adanya. Baiklah tuan segera pergi mendapatkan anak raja itu tetapi dengan ikhtiar juga. Akan hamba ini adalah seperti hikayat cetera seekor Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Demikian adanya!”

((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja)

i. Berikan maksud rangkai kata aku perlalaikan juga akan dikau. 2m

ii. Apakah helah yang dilakukan oleh burung Bayan agar dia tidak menerima nasib seperti burung tiung? 3m

iii. Sekiranya seorang rakan anda terjebak dalam kegiatan maksiat, apakah tindakan anda untuk menghalangnya daripada melakukan perbuatan tersebut? 3m




SKEMA
i. …saya akan melekakan kamu

ii. …menyuruh isteri Khoja Maimun segera menemui anak raja…berjanji akan menyimpan rahsia pertemuan isteri Khoja Maimun dengan anak raja daripada pengetahuan Khoja Maimun…mempengaruhi isteri Khoja Maimun dengan mengumpamakan dirinya seperti kisah seekor bayah yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar.

iii. menasihatinya supaya tidak melakukan kesalahan tersebut lagi…mengajaknya untuk melakukan perkara lain yang berfaedah…membawanya bertemu dengan guru atau kaunselor untuk memberikan nasihat kepadanya…memberitahu kesalahannya kepada keluarganya.

0 comments: