SOALAN 6
Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
TUK WALI keluar dengan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok miring . Penampilannya cukup hebat.
MAK UMI: Awak ni bersilat ke nak pergi menikah?
TUK WALI: (Berdiri gagah sambil memejamkan mata membaca doa pelangkah) Hari ini Khamis, langkah kanan, langkah pendekar.(Menekan lubang hidung kanan! Menarik nafas dari lubang hidung kiri.) Nafas lancar kiri kanan. Gerak hari ini, gerak menyerang! Tak perlu bertahan atau berundur, boleh mengumpan tapi berpada…yang eloknya biar menyerang terus sampai musuh tumbang.
MAK UMI: Tak mengapa undur selangkah ke belakang untuk maju dua langkah ke hadapan!
TUK WALI: Itu silat kamu, silat aku lain.
MAK UMI: Mesti menepis, mengelis, tepat, mengelak untuk masuk menyerang.
TUK WALI: Tak payah menepis, mengelak, buang masa! Kalau menyerang dengan petua yang betul, insya-Allah mengena.
RIPIN menunggang motosikal ke halaman rumah.
RIPIN: Wah, hebat betul,wak! Gugur iman janda-janda kampung hulu tu nanti!
MAK UMI: Entah! Pengantin pun tak bersolek macam tu!
TUK WALI: Aku dah tua, Ripin! Orang tua macam aku ni ibarat orang baru baik sakit! Semangat nak makan tu ada, tapi nak menyuap tak larat.
TUK WALI dan RIPIN ketawa besar.
RIPIN: Tak larat siat daging, kunyah sikit-sikit, wak!
MAK UMI: Gigi pun dah goyang, Ripin, apa bendanya yang nak dikunyah? Tuk Wali kau ni macam rimau tak ada gigi! Pendekar tua,Ripin!
TUK WALI: Rimau tak bergigi tu, Ripin, gigitnya memang tak luka, tapi,geli!
(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh A.Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i. Mengapakah Ripin memuji Tuk Wali dalam petikan di atas? 2m
ii. Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah mempelajari seni mempertahankan diri? 4m
iii. Berdasarkan petikan di atas, ke manakah Tuk Wali hendak pergi dan apakah kesudahannya? 3m
SKEMA:
i. …kerana Tuk Wali memakai baju Melayu, bersamping dan bersongkok miring macam pengantin …penampilan dan gaya Tuk Wali macam pendekar
ii. …badan cergas kerana dapat merenggangkan otot, sendi dan mengurangkan lemak…dapat mempertahankan diri jika diserang oleh musuh…mewakili sekolah dalam pertandingan sukan dan dapat meningkatkan imej sekolah..mengekalkan budaya bangsa untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang.
iii. …Tuk Wali hendak ke rumah Hj.Kodri kerana beliau dijemput untuk membuat persembahan silat pada malam itu…Tuk Wali sangat kecewa kerana telah dimalukan oleh orang-orang kampung. Orang-orang kampung menghalau Piee, cucu tirinya daripada turut serta dalam majlis itu kerana Piee baru keluar dari pusat pemulihan.
Friday, December 31, 2010
Drama:Gelanggang Tuk Wali-Soalan 6
Posted by eranis at 6:39 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment