SOALAN 11
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Setelah Bayan itu mendengar kata Khoja Maimun, maka katanya , “Hai Khoja Maimun, sungguhlah hamba ini sekepal, tetapi hati hamba di mana tuan tahu? Akan sekalian alam ini di bawah tilik hamba dan hamba ini bukannya seperti unggas yang lain; tetapi bukan hamba ini daripada unggas syurga dan daripada bangsa malaikat, dan bukan hamba daripada jin, tetapi hamba Allah Taala, senantiasa memuji-muji Allah Azzawajalla; dan akan hati hamba ini, yang akan datang sepuluh hari sudah hamba ketahui sebarang halnya. Adapun akan sekarang ini tiga hari lagi datanglah kafilah dari negeri Babil hendak membeli dagangan yang bernama sanbal. Jikalau tuan hamba hendak membeli hamba, bertangguhlah dahulu kepada orang yang menjual hamba ini, dan tuan hamba kampungkanlah sanbal dalam negeri ini; apabila datang kafilah itu, tuan hamba juallah; insyaAllah daripada laba sanbal itulah tuan hamba beli hamba.”
Setelah Khoja Maimun mendengar kata Bayan itu, terlalulah sangat sukacitanya seraya katanya kepada orang itu, “Tuan hamba berikanlah hamba burung ini, darihal harganya hamba minta bertangguh dahulu.”
(Dipetik daripada “Hikayat Khoja Maimun”, diselenggarakan oeh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)
i. Apakah maksud darihal harganya hamba minta bertangguh dahulu? 2m
ii. Bayan menceritakan keistimewaan Bayan kepada Khoja Maimun agar Khoja Maimun membelinya. Nyatakan tiga keistimewaan Bayan seperti yang dijelaskan Bayan kepada Khoja Maimun. 3m
iii. Bayan sengaja menceritakan kehebatannya kepada Khoja Maimun. Pada pandangan anda, mengapakah seseorang sanggup menceritakan kebolehannya kepada orang lain? Berikan tiga sebab hal tersebut boleh terjadi. 3m
SKEMA
i. …mengenai nilai barang, saya mahu beritahu kemudian
ii. …seluruh alam di bawah pandangannya…seekor burung yang taat kepada Allah dengan sentiasa memuji akan kebesaran Allah… Bayan dapat mengetahui kejadian sepuluh hari mendatang
iii. Sesetengah orang sanggup menceritakan kebolehan diri sendiri untuk meyakinkan orang lain akan kehebatannya, dengan harapan diberi tanggungjawab, jawatan atau pangkat yang sesuai….Selain itu, untuk menutup kelemahan yang dimiliki agar tidak disisihkan daripada kumpulan…untuk menarik perhatian kumpulan agar sikap dan kata-katanya sentiasa dipercayai.
Monday, December 27, 2010
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 11
Posted by eranis at 5:32 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment