BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, December 26, 2010

Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 8

SOALAN 8

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kata Bayan itu, “Adalah seorang saudagar di negeri Istanbul, maka ia pun pergi belayar. Hatta berapa lamanya selepas peninggalan saudagar itu, maka isteri saudagar itu bermukah dengan seorang kalandar. Sebermula adapun saudagar itu ada menaruh seekor Bayan. Hatta berapa lamanya maka saudagar itu pun datanglah daripada belayar itu. Maka tiadalah baik hatinya saudagar itu akan isterinya itu. Sebaik-baik ia berbantah, maka isteri saudagar itu berfikir di dalam hatinya, “Tiada siapa lagi yang memberitahu kepada suamiku ini melainkan Bayan juga, maka ia tahu akan perbuatan aku ini.” Maka isteri saudagar itu pun marahlah kepada Bayan itu.

Maka ada pada suatu hari maka saudagar itu pun tiada di rumahnya pergi ke kedainya. Setelah dilihat oleh isteri saudagar suaminya pergi berjalan maka Bayan itu pun dipanggilnya lalu ditangkapnya,dicabutkannya bulunya Bayan itu seraya katanya,”Si celaka inilah memberitahu kepada suamiku maka ia tahu!” Setelah habislah bulu Bayan itu dicabut oleh isteri saudagar, baharu dilepaskannya. Maka Bayan itu pun larilah bersembunyi masuk ke dalam saluran tempat orang membuang air beras. Maka Bayan itu pun diamlah di sana. Pada sangkaan isteri saudagar Bayan itu sudah mati. Maka saudagar pun kembalilah ke rumahnya. Apabila isteri saudagar itu melihat suaminya pulang, ia pun pura-pura berteriak-teriak seraya katanya,”Sayangnya Bayan aku dimakan oleh kucing!”

(Dipetik daripada “Hikayat Khoja Maimun”, diselenggarakan oeh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, hal 76 - 77)

i. Apakah maksud frasa saudagar itu pun datanglah daripada belayar itu? 2m

ii. Berdasarkan petikan, mengapakah isteri saudagar mencabut bulu Bayan? 3m

iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah saudagar mengetahui kecurangan isterinya? 3m





SKEMA
i. …saudagar itu baru pulang daripada pelayaran.

ii. …kerana menyangka Bayanlah yang memberitahu suaminya tentang kecurangan yang dilakukan…Dia juga berbuat demikian dengan harapan Bayan akan mati…Perbuatan tersebut dilakukan untuk mendapat simpati daripada suaminya.

iii. …dengan cara gerak hati seorang suami. Suami sememangnya dianugerahkan keistimewaan untuk memahami sikap isterinya yang berubah…Saudagar juga mungkin mengetahui berita buruk itu melalui rakan-rakannya…Bayan yang dapat bercakap itu juga boleh menjadi sumber berita tentang kecurangan isterinya.

0 comments: