BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, December 26, 2010

Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 4

Soalan 4

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Syahadan telah hari malam waktu pun sunyi orang tidur, maka isteri Khoja Maimun pun memakai pakaian yang indah-indah dan memakai bau-bauan yang amat harumnya. Maka ia pun datanglah kepada Bayan. Kata Bayan,”Tuan hamba ini tahu akan dirinya orang yang duduk bertafakur, wahai Bibi Zainab!” Maka ia pun datang kepada Bayan seraya katanya,”Hai unggas yang bijaksana lagi budiman, beri apalah aku ini jalan supaya aku pergi mendapat habibiku itu!” Maka sahut Bayan,”Belumkah tuan hamba bertemu laki-laki itu?” “Belum!” kata Bibi Zainab, “Pada malam inilah!” Maka kata Bayan, “Terlalu sangat bebalnya tuan ini maka tiada mahu bertemu dengan anak raja itu. Pada bicara hamba baik juga tuan segera pergi. Janganlah tuan takut, tiada akan tuan ini beroleh malu, insya-Allah hamba bicarakan dia. Janganlah syak hati. Tiadakah tuan mendengar hikayat seorang perempuan bijaksana, tetapi suaminya terlalu amat cemburuan, daripada sangat arifnya serta tahu ia memikirkan dirinya itu berapa-berapa harta orang diperdaya olehnya?” Maka kata Bibi Zainab, “Betapa hikayatnya itu ceterakanlah olehmu ini supaya aku dengar?” Maka sahut Bayan,”Tiadalah hamba mahu berhikayat akan dia, seolah-olah hamba menangguhkan tuan dengan hikayat ini menjadi durjanalah hamba kepada tuan”. Maka kata isteri Khoja Maimun,”Hai handaiku Bayan, tiadakah engkau kasihkan aku?” Setelah Bayan mendengar kata isteri Khoja Maimun ia pun berhikayatlah.

((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)

i. Apakah tujuan Bibi Zainab memakai pakaian yang indah dan bau-bauan? 2m

ii. Nyatakan dua sebab Bayan enggan bercerita tentang hikayat perempuan bijaksana kepada Bibi Zainab. 2m

iii. Pada pendapat anda, mengapakah Bayan seolah-olah menggalakkan Bibi Zainab pergi menemui anak raja? 4m




SKEMA
i. …Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja.

ii. …tidak mahu seolah-olah menangguhkan Bibi Zainab untuk bertemu dengan anak raja…bimbang tindakannya itu akan menyusahkan Bibi Zainab.

iii. …Bayan tahu bahawa Bibi Zainab ingin sangat bersua dengan anak raja itu, jadi dia tidak akan berjaya menghalangnya…Bayan menggalakkan Bibi Zainab bertemu dengan anak raja itu sebagai helah sahaja…di samping menggalakkan Bibi Zainab pergi, Bayan mengemukakan tajuk cerita dan Bibi Zainab tidak jadi pergi kerana gemar mendengar cerita…supaya Bibi Zainab tidak mengesyaki tujuannya bercerita.

0 comments: