SOALAN 5
Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Alkisah peri menyatakan cetera ketiga mengenai seorang suami yang sangat cemburu, maka kata Bayan,”Adalah kononnya suatu cetera mengenai seorang perempuan terlalu baik parasnya. Maka nikahlah ia dengan seorang laki-laki terlalu sangat cemburuannya. Selama ia duduk dengan isterinya itu, jangankan ia pergi berniaga, berjalan-jalan pun tidak ia, kerana tiada mahu meninggalkan isterinya itu.”
Hatta berapa lamanya maka harta yang dibawanya itu pun habis dimakannya. Maka kata si isteri kepada suaminya, “Hai tuan hamba,betapa hal kita ini?” Maka sahut lakinya,”Tiadalah aku mahu bercerai dengan tuan hamba kerana aku tiada percaya akan dikau, kalau-kalau peninggalan aku, engkau berbuat jahat!”
Setelah isterinya mendengar kata suaminya itu, maka perempuan itu pun tersenyum seraya katanya, “Patutlah maka tuan hamba tiada mahu belayar mencari makan. Tidakkah tuan mendengar suatu hikayat?” Maka kata suaminya,”Betapakah hikayat itu, ceterakan olehmu supaya aku dengar.” Maka kata isterinya,”Ada seorang laki-laki berbagai-bagai ia diperbuat oleh isterinya tiada juga ia marah, dan perempuan itu pun hairanlah melihatkan hal suaminya itu.”
Syahadan adalah pada suatu hari maka fikirlah perempuan itu,”Bahawa banyak benci juga rupanya suami aku ini akan aku, maka demikian ini lakunya, tetapi baik juga aku cuba juga dahului.” Setelah sudah ia berfikir itu maka dipanggilnya seorang perempuan, daripada kejahatannya, maka diberinya memakai cara laki-laki, lalu dibawanya naik ke rumahnya, lalu di hadapan suaminya, itu pun tiada juga ia berkata-kata akan isterinya.
((Dipetik daripada prosa tradisional “Hikayat Khoja Maimun” dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka 2009)
i. Apakah maksud rangkai kata diberinya memakai cara laki-laki? 2m
ii. Mengapakah lelaki itu tidak mahu berpisah dengan isterinya? 3m
iii. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara untuk mewujudkan keharmonian dalam hidup pasangan suami isteri? 3m
SKEMA
i. …iaitu berpakaian seperti lelaki.
ii. …kerana dia tidak percaya akan isterinya…dia bimbang sepanjang peninggalannya, isterinya akan berbuat jahat…dia terlalu sayang akan isterinya
iii. …pasangan suami isteri mesti saling mempercayai antara satu sama lain…pasangan suami isteri juga mesti saling menghormati antara satu sama lain…pasangan suami isteri seharusnya menghadapi susah senang bersama…pasangan suami isteri mesti bertolak ansur antara satu sama lain.
Sunday, December 26, 2010
Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 5
Posted by eranis at 11:39 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment