BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 27, 2010

Prosa:Hikayat Khoja Maimun-Soalan 12

SOALAN 12

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah sudah maka anak raja itu pun menyimpang ke rumah seorang perempuan. Setelah sampai anak raja itu pun berkata kepada perempuan itu, “Hai ibuku, pergilah sampaikan kepada perempuan itu, katakan aku suruh kepada orang itu, katakan aku berkehendakkan dia dengan barang-barang tipu daya ibu akan meluluskan maksud aku ini!” Setelah didengar oleh orang tua itu segeralah ia pergi kepada isterinya Khoja Maimun itu. Setelah ia sampai, maka segala pesan anak raja itu pun habis sekaliannya dikatakannya oleh perempuan tua itu, serta dengan manis mulutnya berkata-kata, berapa peluk cumbu-cumbuan akan yang memberi berahi dikatakannya.

Setelah isteri Khoja Maimun mendengar kata orang tua itu, maka hatinya pun terikatlah akan anak raja itu dan api yang berahi itu pun nyalalah di dalam dadanya itu. Maka Bibi Zainab pun berkehendaklah akan anak raja itu seraya katanya,”Hai ibuku, baiklah katakan kepada anak raja itu hamba punya sembah maka ampun banyak-banyak pada anak raja itu! Sekarang malam hamba mendapatkan anak raja itu, tetapi jangan ibuku katakan seorang jua pun rahsia ini. Bukan sebarang ini, mati sahaya, anak raja tiada akan mati, sahaya juga yang mati!” Setelah orang tua itu mendengar kata isteri Khoja Maimun demikian itu , maka ia pun segeralah kembali serta menyampaikan segala pesan Bibi Zainab kepada anak raja itu.

Sebermula maka tersebutlah perkataan isteri Khoja Maimun. Setelah hari malam, maka ia pun memakai pakaian yang amat indah-indah dan memakai bau-bauan yang amat harum baunya, hendak pergi mendapatkan anak raja itu. Setelah sudah maka ia pun keluar hendak berjalan.

(Dipetik daripada “Hikayat Khoja Maimun”, diselenggarakan oeh Abdul Rahman Kaeh dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i. Apakah maksud hatinya pun terikatlah akan anak raja itu? 2m

ii. Nyatakan pesanan Bibi Zainab kepada anak raja. 3m

iii. Pada pendapat anda, wajarkah Bibi Zainab menemui anak raja itu?
Berikan tiga alasan anda. 3m




SKEMA

i. …Bibi Zainab terpikat kepada putera tersebut

ii. Bibi Zainab memohon ampun kepada anak raja. Dia berpesan bahawa dia akan menemui anak raja itu pada waktu malamnya

iii. Tidak wajar….kerana tindakan itu akan mendorongnya melakukan perbuatan sumbang dan terkutuk apatah lagi dia telah lama ditinggalkan oleh suaminya. Pada masa itu anak raja pula memang mempunyai niat tidak baik terhadap Bibi Zainab yang mempunyai kecantikan yang tiada tolok bandingnya di negeri itu. Selain itu, sebagai isteri, Bibi Zainab harus sedar bahawa tindakannya menemui anak raja itu ketika suaminya tiada di rumah akan menjatuhkan maruah dirinya dan nama baik suaminya.

0 comments: