Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang punca diabetes dalam kalangan kanak-kanak dan cara mengatasinya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Apabila anak semakin membesar dan mencapai usia baligh, mereka akan berdepan dengan krisis pemakanan. Banyak kanak-kanak yang terdedah kepada risiko penyakit diabetes terutama kanak-kanak yang tidak mampu mengawal pemakanan mereka. Diabetes atau kencing manis sudah terlalu kerap diuar-uarkan di media massa. Namun, tidak banyak ibu bapa yang mengambil berat terhadap bahaya penyakit ini terhadap anak-anak mereka. Ramai yang bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”. Mereka tidak mengamalkan sikap mencegah penyakit sebaliknya memilih mengubatinya apabila sudah terkena penyakit.
Gaya pemakanan menjadi punca utama diabetes. Kegemaran banyak makan makanan manis seperti coklat dan minuman berkabonat boleh menyumbang kepada diabetes. Rakan sebaya sering dikatakan memberi kesan besar kepada cara pemakanan kanak-kanak. Kebiasaan minum di warung terutamanya pada waktu petang atau malam boleh menyumbang kepada diabetes. Ibu bapa juga turut menjadi penyumbang kepada masalah diabetes dalam kalangan kanak-kanak apabila sering membiarkan anak-anak mereka makan terlalu banyak makanan manis dan berlemak. Corak pemakanan keluarga dan menu makanan harian yang disediakan oleh ibu boleh mempengaruhi kebiasaan pengambilan makanan anak-anak. Apabila paras gula dalam tubuh semakin meningkat kanak-kanak akan terdedah kepada serangan penyakit jantung, strok, rosak penglihatan atau masalah buah pinggang.
Masyarakat di negara ini amat gemar akan makanan manis. Mereka memandang ringan tentang penyakit ini dan kesannya menyebabkan Malaysia menjadi negara keempat tertinggi di Asia yang mempunyai pengidap penyakit terbabit. Diabetes dalam kalangan orang dewasa sudah dianggap biasa dan tidak dianggap kronik. Namun, bagaimana pula jika kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada penyakit tersebut? Penyakit diabetes hanya dapat disedari apabila kanak-kanak terkena penyakit jantung, strok, dan sebagainya yang berpunca daripada lebihan gula dalam darah.
Faktor genetik juga boleh menjadi penyebab penyakit ini. Namun, peratusannya agak rendah berbanding dengan cara pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat disamping kegemukan. Gaya hidup kanak-kanak masa kini agak membimbangkan apabila semakin ramai yang tidak mengamalkan senaman pada masa lapang, sebaliknya mereka banyak menghabiskan masa di hadapan komputer atau di kafe siber. Apabila kanak-kanak malas bersukan dan tidak mengeluarkan peluh, mereka tidak dapat mengurangkan kandungan gula dan lemak dalam badan. Jika langkah berkesan tidak diambil untuk menanganinya, masalah diabetes dalam kalangan kanak-kanak akan semakin meningkat.
( Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Awasi Diabetes Kanak-kanak”, Berita Minggu , Januari 2006)
SOALAN:
1. Berikan maksud peribahasa sudah terhantuk baru tengadah. (2m)
2. Bagaimanakah cara pemakanan yang boleh mengakibatkan diabetes? (3m)
3. “Diabetes dalam kalangan orang dewasa tidak dianggap kronik”. Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? (4m)
SKEMA JAWAPAN:
Petikan membincangkan masalah diabetes dalam kalangan kanak-kanak
Isi tersurat: Punca diabetes
S1: Gaya pemakanan menjadi punca utama diabetes
S2: Rakan sebaya sering dikatakan memberi kesan besar kepada cara pemakanan kanak-kanak
S3: Ibu bapa juga turut menjadi penyumbang kepada masalah diabetes
S4: Faktor genetik dan gaya hidup kanak-kanak masa kini juga boleh menjadi penyebab penyakit ini.
Isi tersirat: Cara mengatasi
T1: Ibu bapa perlu mengawasi diet anak mereka
T2: Kanak-kanak perlu diberi kesedaran lebih awal tentang penyakit tersebut
T3: Peranan media massa menyiarkan iklan-iklan tentang bahaya diabetes
T4: Peranan pihak sekolah menyediakan makanan berkhasiat di kantin dan mengadakan program kesihatan untuk pelajar.
Kesimpulan
Semua pihak perlu sedar akan bahaya penyakit diabetes agar kanak-kanak terhindar daripada menghidapnya.
Soalan pemahaman:
1. …menyedari tentang sesuatu perkara hanya apabila sudah mengalami sesuatu peristiwa atau perkara yang menyakitkan
2. …Kebiasaan minum di warung, banyak makan makanan manis, dan makanan berlemak
3. …Penyakit diabetes tidak menunjukkan kesan segera kepada badan…orang yang menhidap penyakit ini masih boleh melakukan aktiviti rutin …penyakit tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda awal sekiranya tidak menjalani pemeriksaan.
Friday, April 2, 2010
Rumusan penyakit kronik - Diabetes
Posted by eranis at 9:33 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment