BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan:isu jenayah kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah membendung jenayah kanak-kanak dan sikap negatif ibu bapa terhadap anak masing-masing. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Anak-anak memerlukan ibu bapa sebagai tempat perlindungan daripada sebarang anasir dan ancaman negatif dari luar. Setiap ibu bapa mestilah bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka sama ada di rumah atau diluar rumah. Akan tetapi, amatlah mustahil dan sukar bagi ibu bapa untuk memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam. Ada ibu bapa yang sibuk dengan tugasan kerja dan ada juga yang lebih senang membiarkan anak mereka bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja. Namun, ada juga anak-anak yang merajuk dan berasa diri mereka dikongkong akibat perhatian berlebihan ibu bapa mereka. Kongkongan ini menyebabkan terjadi satu lagi fenomena yang membimbangkan, iaitu lari dari rumah. Disebabkan kemustahilan untuk mengawasi anak-anak pada setiap masa, para ibu bapa dan penjaga perlu merangka strategi menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri dalam membuat keputusan walaupun tanpa ibu bapa di sisi.
Tindakan yang mudah ialah anak-anak hendaklah berteman ke mana sahaja mereka pergi. Penjenayah selalunya akan menyerang mangsa yang sedang berseorangan. Serigala tidak akan menangkap kambing yang meragut di dalam kumpulan, tetapi akan menyerang kambing yang meragut bersendirian. Kanak-kanak malang, Nurin Jazlin hilang ketika dia berjalan seorang diri. Selain itu, ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling dan membuat laporan kepada ibu bapa sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau ada orang yang memerhatikan mereka. Malahan, kanak-kanak perlu diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah. Mereka juga diingatkan agar tidak boleh mengikut seseorang yang tidak dikenali ke tempat-tempat yang tidak diketahui. Had bagi seorang yang tidak dikenali hanya setakat menegur dan bertanya soalan sahaja.
Selain itu, gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada. Teknologi paling murah dan mudah didapati adalah dengan membekalkan anak anda telefon bimbit. Melalui telefon bimbit ibu bapa boleh mengetahui lokasi anak mereka berada. Jumlah penduduk di negara kita semakin bertambah dan hal ini boleh menyumbang peningkatan kadar jenayah. Selain itu, strategi dan kaedah yang digunakan oleh penjenayah pada masa sekarang adalah lebih licik dan bijak. Ibu bapa pasti tidak mampu untuk memastikan keselamatan anak-anak mereka sentiasa terjamin. Kaedah yang paling baik adalah dengan mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka sendiri.
Oleh sebab banyak kejadian jenayah kanak-kanak di luar rumah, peranan masyarakat amatlah penting dalam membendung gejala ini daripada terus menular. Masyarakat perlu bersikap peka dengan bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak dianiaya oleh orang dewasa. Dengan kemajuan teknologi moden, kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis. Sikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dielakkan. Ingatlah, hari ini anak orang menjadi mangsa jenayah, hari-hari mendatang mungkin keluarga kita pula menjadi mangsa manusia yang bersikap zalim. Dalam era menuju kemajuan ini, kita tentu berasa sedih apabila kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus meningkat. Sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia memang sudah “sakit” sehingga menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Beri Kanak-kanak Kuasa” oleh Raffaro Affandy Salim, dalam Utusan Malaysia,22 September 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata kemustahilan untuk mengawasi. 2m
2. Apakah masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dalam membendung jenayah yang melibatkan anak mereka? 3m
3. Pada pendapat anda, selain faktor ibu bapa dan masyarakat, mengapakah kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak terus bertambah? 4m
















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan usaha-usaha/ tindakan/ cara-cara membendung jenayah kanak-kanak daripada terus menular.
Isi tersurat: (Langkah-langkah)
S1: Ibu bapa bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka di rumah atau di luar rumah.
S2: Ibu bapa merangka strategi menjadikan anak-anak sebagai penjaga diri mereka sendiri dalam membuat keputusan.
S3: Anak-anak hendaklah berteman ke mana sahaja mereka pergi.
S4: Ingatkan kanak-kanak supaya peka dengan keadaan sekeliling.
S5: kanak-kanak diajar cara-cara berdepan dengan penjenayah.
S6: Diingatkan agar tidak boleh mengikut seseorang yang tidak dikenali.
S7: Gunakan teknologi yang boleh mengesan tempat anak anda berada.
S8: mendidik dan mengajarkan anak-anak cara melindungi diri mereka sendiri.
S9: Masyarakat perlu bersikap peka dengan bertindak sekiranya terlihat kanak-kanak dianiaya.
S10: Kejadian jenayah perlu segera dilaporkan kepada pihak polis.
Isi tersirat( Sikap negatif ibu bapa )
T1: Ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah tanpa berteman.
T2: Ibu bapa meninggalkan anak-anak di rumah pengasuh yang tidak diketahui latar belakangnya.
T3: Anak-anak dibiarkan tinggal bersendirian ketika ibu bapa keluar bekerja.
T4: Ibu bapa tidak prihatin terhadap aduan anak-anak terhadap orang dewasa.
Kesimpulan: Ibu bapa perlulah lebih prihatin terhadap anak-anak agar kadar jenayah yang melibatkan kanak-kanak dapat dibendung.

pemahaman:
1. ...sesuatu yang sukar untuk memastikan keadaan.
2. ...sukar bagi ibu bapa untuk memerhati dan mengawasi pergerakan anak-anak mereka selama 24 jam...Ibu bapa sibuk dengan tugasan kerja... ibu bapa ada juga yang lebih senang membiarkan anak mereka bebas untuk pergi ke mana-mana sahaja.
3. ...peluang untuk penjenayah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak terbuka luas...Tekanan hidup dalam kalangan masyarakt akibat kos hidup yang tinggi menyebabkan ramai yang sakit jiwa, lalu tidak teragak-agak untuk melakukan jenayah...Jumlah pendatang asing yang bertambah menyumbang peningkatan jenayah...Penguatkuasaan yang lemah menyebabkan masyarakat tidak takut untuk melakukan jenayah.

0 comments: