BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan: Keracunan kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca kanak-kanak mudah keracunan dan langkah-langkah mengatasinya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seseorang kanak-kanak akan belajar melalui proses cuba dan tahu. Pengalaman yang berguna akan diperoleh melalui penerokaan terhadap sebarang bahan yang terdapat di sekeliling mereka. Proses penerokaan pengalaman itu perlu dilakukan pada tahap bahaya yang minimum. Sekiranya ibu bapa tidak memberikan tumpuan pada persekitaran yang selamat, biasanya kanak-kanak akan terdedah pada kecelakaan seperti yang kerap berlaku apabila ibu bapa menggunakan racun atau ubat-ubatan, kemudian menyepahkannya lalu senanglah racun dan ubat-ubatan itu diambil oleh kanak-kanak. Hal ini ada kaitannya dengan amalan ibu bapa yang cuai sehingga kanak-kanak sering terdedah pada bahaya.

Di sesebuah rumah, biasanya terdapat barangan yang selalu mendatangkan kemudaratan termasuklah ubat-ubatan. Namun demikian, kebanyakan orang berpendapat bahawa ubat-ubatan lazimnya selamat belaka. Anggapan ini kurang tepat, malah boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak diingini kerana ubat-ubatan terdiri daripada bahan kimia yang akan mendatangkan risiko yang tinggi jika tidak digunakan dengan betul.

Kita sering mendengar kes keracunan paracetamol yang mengakibatkan kematian dalam kalangan kanak-kanak. Berlakunya tragedi seumpama itu menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubatan dalam kalangan masyarakat tidak diurus secara rapi oleh semua pihak. Tambahan pula, bukan semua ubat-ubatan ini disertakan maklumat-maklumat yang mudah difahami oleh pengguna sekalipun ubat-ubatan itu diperoleh daripada klinik. Suatu hal lagi, kebanyakan ubat-ubatan kini berwarna-warni dan hal ini mudah menarik perhatian kanak-kanak untuk menghampirinya apatah lagi jika ubat-ubatan itu dibiarkan bersepah-sepah dan senang dicapai oleh kanak-kanak.

Lazimnya, kanak-kanak mengalami keracunan semasa ibu bapa sedang sibuk dengan tugas-tugas seperti memasak, menyediakan persiapan untuk jamuan, dan sebagainya. Di samping itu, kanak-kanak lebih sensitif terhadap bahan beracun berbanding dengan orang dewasa. Jika kita mempertimbangkan fungsi hati kanak-kanak sebagai organ yang berfungsi menghilangkan bisa racun, kita akan mendapati bahawa organ kanak-kanak ini tidak berkembang sepenuhnya seperti organ orang dewasa. Sementara itu, fungsi organ buah pinggang pula belum berkembang sepenuhnya dan sebagai akibatnya, bahan beracun yang lambat dikeluarkan daripada badan kanak-kanak akan menyebabkan kesan keracunan yang lebih serius berbanding dengan hal yang sama jika berlaku kepada orang dewasa. Oleh sebab itu, kita sebagai orang dewasa seharusnya faham bahawa keracunan dalam kalangan kanak-kanak berlaku apabila bahan kimia terutama produk-produk kegunaan rumah tangga dan ubat-ubatan digunakan oleh kanak-kanak tanpa sebarang pengawasan daripada ibu bapa. Oleh sebab itu, sebelum sesuatu perkara buruk terjadi, ibu bapa wajar berwaspada dan mengutamakan ahli keluarga. Ingat sebelum kena, jangan sampai nasi menjadi bubur.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Masalah Keracunan dalam kalangan kanak-kanak oleh Mohd. Isa Abd. Majid, Dewan Kosmik,September,2001)

1. Huraikan maksud jangan sampai nasi menjadi bubur. 2m
2. Mengapakah kanak-kanak mudah tertarik pada ubat-ubatan yang ada di rumah? 3m
3. Kemukakan cadangan anda tentang tanggungjawab pengeluar ubat untuk mengelak bahaya kepada kanak-kanak. 4m























SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan faktor-faktor/sebab-sebab keracunan yang dialami kanak-kanak.
Isi tersurat (Punca-punca keracunan)
S1: Ibu bapa tidak memberikan tumpuan pada persekitaran yang selamat
S2: Ibu bapa cuai dan kurang berhati-hati sehingga kanak-kanak sering terdedah pada bahaya
S3: Kebanyakan orang berpendapat bahawa ubat-ubatan selamat belaka
S4: Penggunaan ubat-ubatan dalam kalangan masyarakat tidak diurus dengan rapi oleh semua pihak
S5: Bukan semua ubat-ubatan ini diiringi dengan maklumat-maklumat yang mudah difahami oleh pengguna
S6: Kanak-kanak mengalami keracunan semasa ibu bapa sedang sibuk dengan tugas-tugas harian
S7: Fungsi hati kanak-kanak sebagai organ yang menghilangkan bisa racun tidak berkembang sepenuhnya
S8: Fungsi buah pinggang mereka belum berkembang sepenuhnya
Isi tersirat (langkah-langkah mengatasinya)
T1: Ibu bapa memastikan ubat yang disimpan di dalam peti sejuk supaya tidak mudah dicapai kanak-kanak
T2: Ubat jangan diletak bersama-sama dengan makanan
T3: Ibu bapa hendaklah mengenal pasti tahap keracunan ubat yang digunakan
T4: Ibu bapa mestilah berhati-hati apabila menggunakan ubat dan menyimpannya di tempat khas/kotak keselamatannya
T5: Ibu bapa hendaklah mengawasi kanak-kanak sekalipun mereka sibuk.

Pemahaman:
1. ...mengambil langkah pencegahan awal agar tidak menyesal pada kemudian hari
2. ...Ubat-ubatan itu berwarna-warni...Ubat-ubatan itu bersepah-sepah/tidak disimpan dengan baik...ubat-ubatan itu senang dicapai oleh kanak-kanak
3. ...Arahan penggunanya jelas kepada pengguna...Pembungkusnya tidak mudah dikoyak oleh kanak-kanak...Meletakkan tanda amaran tentang keracunan/bahaya ubat itu kepada kanak-kanak/dilabel dengan jelas...Tidak dibuat dalam bentuk/saiz yang mudah menarik perhatian kanak-kanak.

0 comments: