Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan menghantar anak-anak ke tadika Kementerian Pelajaran dan punca-punca sesetengah ibu bapa menolaknya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kementerian pelajaran Malaysia mendapat peruntukan sebanyak 9.57 bilion dalam Belanjawan 2002. Peruntukan besar itu adalah untuk membiayai pengurusan program baharu bagi memupuk dan memperkembang pendidikan prasekolah selain pendidikan pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Hal ini secara jelas mencerminkan penekanan kerajaan terhadap pentingnya membudayakan kanak-kanak terhadap pembelajaran, iaitu pada peringkat prasekolah. Dengan peruntukan yang merangkum pendidikan prasekolah terbuktilah bahawa Kementerian Pelajaran amat serius untuk membangunkan dan membuka kelas-kelas taman didikan kanak-kanak di negara ini.
Kelas-kelas tadika di bawah Kementerian Pelajaran lazimnya lebih teratur dan sistematik pengurusannya. Bagi sebahagian ibu bapa yang berkemampuan, yang selama ini menghantar anak-anak yang berumur enam tahun ke kelas prasekolah, sama ada anjuran Kemas atau persatuan penduduk atau pihak persendirian tentulah lebih baik jika mereka membuat pilihan dengan menghantar anak-anak ke tadika Kementerian Pelajaran. Selain yurannya yang lebih murah dan berpatutan, tadika di bawah Kementerian Pelajaran ini beroperasi dengan tenaga-tenaga pengajar yang terlatih dan menggunakan peralatan yang diiktiraf oleh kerajaan. Setakat ini, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk membuka 1 5000 buah kelas tadika setiap tahun mulai tahun hadapan melalui rancangan pembangunan pendidikan jangka panjang. Apabila perangkaan baharu ini dicampurkan dengan jumlah kelas-kelas tadika yang dibuka pada tahun ini, kelas tadika Kementerian Pelajaran berupaya mencapai sasaran dan jumlahnya akan menjadi lebih daripada 8 000 buah menjelang tahun 2007 nanti. Sesungguhnya, peranan tadika Kementerian Pelajaran sangat penting dalam usaha memupuk sikap toleransi sejak awal prasekolah. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran bercadang untuk membuka kelas tadika di sekolah-sekolah rendah. Selain itu, berdasarkan sambutan yang baik daripada ibu bapa berhubung dengan penghantaran anak-anak ke tadika ini, terutama dalam kalangan ibu bapa di kawasan luar bandar, maka tadika ini mungkin akan ditambah.
Suatu perkara yang jelas, rancangan pendidikan prasekolah kementerian ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh kebanyakan ibu bapa bagi meringankan beban yang selama ini makin mendesak kehidupan mereka termasuk pengeluaran tenaga dan perbelanjaan yang banyak bagi melangsaikan yuran bulanan di tadika lain. Pada masa yang sama, anak-anak yang belajar di tadika Kementerian Pelajaran ini tidak berasa asing apabila memasuki tahun satu pada tahun berikutnya. Suatu hal yang pasti, anak-anak yang mendapat pendidikan prasekolah di tadika Kementerian Pelajaran ini disediakan kemudahan yang banyak dan sempurna.
Oleh sebab penubuhan tadika melibatkan pendidikan, maka hal ini turut menyeret Kementerian Pelajaran untuk memberikan perhatian yang serius terhadap perkembangan tadika lain walaupun tadika itu bukan di bawah kementerian berkenaan. Sehubungan dengan itu, semua aktiviti tadika harus dipantau oleh Kementerian pelajaran.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Menyemai Budaya Nasional dari Peringkat Tadika oleh Mohamed Jusoh, Utusan Malaysia, 2 Januari 2002)
1. Berikan maksud berupaya mencapai sasaran dalam petikan di atas. 2m
2. Mengapakah Kementerian Pelajaran melibatkan diri dalam pendidikan prasekolah? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan mengizinkan tadika selain tadika Kementerian Pelajaran terus beroperasi di Malaysia? 4m
SKEMA JAWAPAN;
P: Petikan membincangkan faedah menghantar anak ke tadika KPM
Isi tersurat (kebaikannya)
S1: Kelas-kelas tadika KPM lebih teratur dan sistematik
S2: Yurannya lebih murah, tenaga pengajarnya terlatih, dan peralatan yang digunakan diiktiraf oleh kerajaan
S3: Peranan tadika KPM sangat penting untuk memupuk sikap toleransi sejak awal prasekolah
S4: Meringankan beban yang selama ini makin mendesak kehidupan ibu bapa
S5: Anak-anak di tadika ini tidak berasa asing apabila memasuki tahun satu kelak
S6: Anak-anak di tadika ini mendapat kemudahan yang bayak.
Isi tersirat (Punca-punca penolakan ibu bapa)
T1: Ibu bapa memastikan anak mendapat pendidikan mengiku kemahuan mereka sendiri
T2: Ibu bapa lebih selesa dengan kurikulum prasekolah di tadika pilihan mereka.
T3: Ibu bapa dapat menyediakan sendiri peralatan pemelajaran tambahan untuk anak mereka
T4: Ibu bapa tidak bercadang menghantar anak ke sekolah kerajaan untuk mendapatkan pendidikan formal.
Kesimpulan: Semua ibu bapa wajar menyambut baik langkah Kementerian Pelajaran demi keutuhan dasar pendidikan negara ini.
Pemahaman:
1. ...dapat dilaksankan/ dijangka mengikut perancangan
2. ...penekanan kerajaan tentang kepentingan membudayakan kanak-kanak kepada pemelajaran...Membuktikan bahawa kerajaan serius tentang pendidikan prasekolah... Perkara ini mendapat sambutan baik daripada ibu bapa
3. ...Malaysia sebuah negara demokrasi yang mengamalkan pendemokrasian pendidikan, rakyat boleh memilih pendidikan anak-anak mengikut kemahuan mereka... Tadika-tadika lain juga masih amalkan dasar pendidikan kebangsaan...Menjadikan persaingan yang sihat antara tadika di negara ini.
Saturday, April 17, 2010
Rumusan:Kebaikan hantar anak ke tadika
Posted by eranis at 4:40 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment