BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan: Jenayah penculikan kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak dan implikasinya kepada masyarakat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Peningkatan kadar jenayah di negara ini yang semakin bertambah memerlukan komitmen semua pihak bagi menanganinya. Ketenteraman kehidupan masyarakat tergugat akibat kejadian jenayah yang semakin mengancam ini. Jenayah penculikan kanak-kanak merupakan antara kes jenayah yang kian meningkat. Hilangnya perasaan kasih sayang dan belas kasihan menyebabkan perkara ini berlaku. Kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan sikap orang awam yang tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan jenayah ini semakin bertambah. Pelbagai pihak perlu mencari jalan penyelesaian agar jenayah yang meragut kebahagiaan dan keharmonian rakyat ini dibanteras dengan secepatnya.
Antara pihak yang seharusnya memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah ini ialah ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu bapalah insan yang terdekat dengan anak-anak. Institusi kekeluargaan perlu diteguhkan dengan ibu bapa mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka. Selain mendidik anak-anak dengan sahsiah yang terpuji, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang musibah yang akan berlaku akibat kecuaian diri sendiri. Anak-anak perlu didedahkan dengan keselamatan diri, bukan sahaja di jalan raya, bahkan sentiasa berwaspada dengan gejala penculikan. Ibu bapa juga bertanaggungjawab untuk sentiasa memerhatikan anak-anak dan bersama-sama mereka apabila berada di luar kawasan rumah. Kanak-kanak memang mudah terpengaruh oleh persekitaran di sekeliling mereka.
Saranan kerajaan kepada pihak sekolah agar memasang televisyen litar tertutup dapat memantau pergerakan kanak-kanak di sekolah dan di kawasan sekitar sekolah. Pihak sekolah,terutamanya guru-guru perlu sentiasa peka dan memerhatikan murid-murid di luar kawasan sekolah, terutamanya sewaktu mereka pulang dari sekolah agar masalah penculikan tidak berlaku. Pesanan dan nasihat daripada guru-guru perlu sering diperingatkan kepada murid-murid agar mereka tidak alpa akan keselamatan diri sendiri. Murid-murid hendaklah menunggu ketibaan ibu bapa di kawasan yang selamat seperti di dalam kawasan sekolah dan di kawasan yang mudah dilihat oleh orang ramai. Selain itu, murid-murid dinasihatkan agar bergerak di dalam kumpulan dan tidak mendekati orang yang tidak dikenali.
Di samping itu, pertubuhan rukun tetangga juga dapat menolong dalam usaha mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak dengan membantu pihak polis memantau kawasan sekitar daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Rukun tetangga yang tidak aktif perlu dihidupkan semula. Kini ahli rukun tetangga mencecah kepada 80 000 orang di seluruh negara. Pelbagai inisiatif seperti cuti dan elaun rondaan diberikan kepada ahli rukun tetangga yang bertugas. Masyarakat harus berperanan menjaga keselamatan bukan sahaja kanak-kanak, malahan keselamatan keseluruhan ahli masyarakat dalam sesuatu kawasan yang dikawal oleh ahli rukun tetangga tersebut. Meskipun kebanyakan aktiviti rukun tetangga tidak memberikan apa-apa ganjaran dalam bentuk kewangan, namun kesannya amat besar dalam menjaga keselamatan penduduk setempat. Kerjasama semua anggota masyarakat dapat menjamin suasana kehidupan yang lebih harmonis.

Kejadian jenayah dalam apa-apa bentuk sekalipun perlu ditangani dengan segera. Bantuan orang ramai dengan memberikan maklumat kepada polis akan memudahkan penjenayah dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya. Undang-undang negara yang telah diperuntukkan sudah mencukupi untuk mengatasi masalah ini. Namun, undang-undang sahaja tidak dapat dilaksanakan sekiranya penjenayah tidak dapat ditangkap untuk diadili. Seharusnya, penjenayah yang melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa ini dihukum dengan sewajarnya.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Semua Pihak Mesti Berperanan Tangani Jenayah’,Utusan Malaysia, 16 Februari 2008)

1. Berikan maksud rangkai kata memerlukan komitmen semua pihak. 2m
2. Mengapakah jenayah penculikan kanak-kanak berlaku? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah penubuhan rukun tetangga di sesuatu kawasan tempat tinggal penduduk? 4m













Skema Jawapan
P: Petikan membincangkan cara-cara mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak yang sering berlaku.
Isi tersurat(Langkah-langkah mengatasi)
S1: Ibu bapa mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka.
S2: Ibu bapa sentiasa mengingatkan anak-anak mereka tentang musibah yang akan dihadapi akibat kecuaian diri sendiri.
S3: Anak-anak didedahkan dengan keselamatan diri.
S4: Ibu bapa bertanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak dengan sentiasa memerhatikan mereka dan bersama-sama dengan mereka.
S5: Pihak sekolah memasang televisyen litar tertutup bagi memantau pergerakan murid-murid di sekolah.
S6: Guru-guru sentiasa peka dan memerhatikan murid-murid di luar kawasan sekolah.
S7: Guru-guru sering menasihati dan mengingatkan murid-murid supaya tidak alpa akan keselamatan diri.
S8: Murid-murid menunggu ketibaan ibu bapa di kawasan yang selamat.
S9: Pertubuhan rukun tetangga membantu pihak polis memantau kawasan sekitar daripada berlakunya sesuatu kejadian yang tidak diingini.
Isi tersirat (Implikasinya kepada masyarakat)
T1: masyarakat bimbang akan kejadian penculikan.
T2: pergerakan anak-anak akan terbatas dan dikongkong keluarga
T3: masyarakat berkorban dengan bersama-sama menjaga keselamatan tempat kediaman
Kesimpulan: Semua pihak hendaklah berganding bahu mengatasi masalah penculikan kanak-kanak supaya jenayah ini tidak terus menghantui masyarakat.




Pemahaman:
1. ...berkehendakkan pemerhatian pelbagai lapisan masyarakat.
2. ...hilang perasaan belas kasihan dan kasih sayang...Kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak...Masyarakat tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka.
3. ...Menjaga keselamatan nyawa dan harta benda penduduk...Mewujudkan perasaan muhibah sesama penduduk...Mengatasi masalah jenayah seperti penculikan dan pecah rumah...Mengeratkan hubungan kejiranan.

0 comments: