BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan:Melindungi kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan melindungi kanak-kanak dan halangannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kanak-kanak merupakan aset yang paling penting kepada negara dan anugerah yang tidak ternilai harganya kepada ibu bapa. Mereka bukan sahaja permata dalam rumah tangga dan generasi harapan masa depan keluarga malah merupakan pewaris kegemilangan negara. Sehubungan dengan itu, kita harus melakukan sesuatu yang terbaik bagi memastikan generasi muda ini mendapat perhatian sewajarnya dalam segala aspek. Di Malaysia 6.8 juta daripada keseluruhan 25 juta penduduknya terdiri daripada kanak-kanak. Daripada jumlah itu, 4.3 juta penduduk ialah lelaki, manakala selebihnya perempuan.

Keperluan melindungi masa depan kanak-kanak adalah sejajar dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dengan penekanan diberikan kepada empat elemen utama, iaitu kehidupan, perlindungan,pembangunan, dan penyertaan kanak-kanak. Hal ini menjelaskan bahawa masa depan kanak-kanak menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan. Oleh sebab itulah maka sambutan Hari kanak-kanak Sedunia diadakan sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Sambutan ini menjadi tanda pengiktirafan kerajaan serta masyarakat tentang kebajikan, masa hadapan, dan kesejahteraan kanak-kanak. Dengan itu, Hari Kanak-kanak Sedunia mula disambut pada tahun 1959 sebaik-baik sahaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytiharkannya sebagai hari persaudaraan sejagat dan kesefahaman kanak-kanak seluruh dunia. Sambutan Hari Kanak-kanak ini diraikan oleh 150 buah negara di seluruh dunia. Di Malaysia, sambutan ini dianggap sebagai hari pengiktirafan kepada semua kanak-kanak apabila semua orang dewasa menunjukkan komitmen mereka kepada kanak-kanak yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara.

Setiap kanak-kanak berhak menjalani kehidupan yang sejahtera dan terlibat dalam pembangunan yang menyeluruh serta perancangan dan penentuan dasar yang membabitkan kepentingan mereka. Setiap insan yang bergelar kanak-kanak perlu disediakan persekitaran yang mesra dan diberikan hak untuk menikmati taraf kesihatan yang baik agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara. Oleh sebab itu, pembentukan sifat mulia seseorang itu harus dimulakan sejak kecil lagi. Nilai murni dan pengalaman manis hendaklah ditanam ke dalam jiwa kanak-kanak sepanjang tempoh pembesaran kerana hal itu akan menentukan perwatakan mereka apabila dewasa kelak. Sehubungan dengan itu, bidalan melentur buluh biarlah dari rebungnya elok dijadikan panduan dalam memenuhi tanggungjawab ini.

Pada masa ini pula persekitaran sosial begitu terdedah pada perubahan semasa yang menuntut kanak-kanak diberikan didikan dengan sistem nilai yang positif serta ilmu pengetahuan sejak peringkat usia muda lagi. Jika kanak-kanak hari ini dibentuk jiwa mereka dengan sempurna, mereka tidak akan menghampakan kita dan sudah tentu mereka akan menjadi generasi yang terbilang dan mampu memelihara serta meletakkan negara ini pada tahap yang lebih cemerlang dan gemilang.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Menyemai Kanak-kanak Menjadi Pewaris Gemilang oleh Normala Hamzah, Utusan Malaysia, 9 Oktober 2004)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan arus perdana pembangunan negara? 2m
2. Jelaskan hal tentang kanak-kanak yang dapat dikaitkan dengan bidalan melentur buluh biarlah dari rebung. 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah kita belum berjaya mengatasi masalah kewujudan kanak-kanak terbiar? 4m

SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan mustahaknya melindungi kanak-kanak
Isi tersurat ( Kepentingan)
S1: Kanak-kanak ialah harapan masa depan keluarga dan pewaris kegemilangan negara.
S2: Melindungi masa depan mereka adalah sejajar dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.
S3: Masa depan kanak-kanak menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan.
S4: Membuktikan keprihatinan masyarakat tentang kebajikan masa hadapan dan kesejahteraan kanak-kanak
S5: Semua orang dewasa menunjukkan komitmen mereka kepada kanak-kanak yang bakal mewarisi negara ini.
S6: Setiap kanak-kanak berhak menjalani kehidupan yang sejahtera.
S7: kanak-kanak perlu disediakan perlu disediakan persekitaran yang mesra dan hak menikmati taraf kesihatan yang baik.
S8: Kanak-kanak diberi didikan dengan sistem nilai yang positif serta ilmu pengetahuan sejak usia muda.
Isi tersirat (Halangan)
T1: Tidak wujud badan khusus yang menjaga kepentingan kanak-kanak.
T2: Kanak-kanak datang daripada pelbagai latar belakang keluarga dan status sosial
T3: Ada pihak yang memperalat kanak-kanak untuk kepentingan mereka.
T4: Wujudnya golongan kanak-kanak yang terbiar dan tidak dipedulikan nasib mereka.
T5: Sesetengah ibu bapa tidak mengendahkan nasib anak kerana asyik mengejar kekayaan.
T6: Sesetengah kanak-kanak tidak mendapat pendidikan yang cukup disebabkan kemiskinan keluarga.
Kesimpulan: Kita tidak wajar mengabaikan kewajipan terhadap kanak-kanak agar mereka dapat dibimbing menjadi insan yang bertanggungjawab.

Pemahaman:
1. ...kemajuan negara yang berlaku dengan pesat.
2. ...Pembentukan sifat mulia harus dimulakan sejak seseorang itu masih kecil...Nilai murni hendaklah ditanam ke dalam jiwa sepanjang tempoh pembesaran... Pengalaman manis hendaklah ditanam ke dalam jiwa sepanjang tempoh pembesaran...Penentuan perwatakan seseorang berdasarkan pengalamannya sebelum memasuki alam dewasa.
3. ...Masih terdapat sebahagian ibu bapa yang tidak bertanggungjawab...Anak yatim yang tiada perlindungan...Tiada pihak yang betul-betul serius membela nasib kanak-kanak terbiar...diperalat oleh sindiket tertentu untuk kepentingan mereka...Kanak-kanak itu tidak tahu tempat mereka hendak mengadu nasib.

0 comments: