BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan:isu jenayah kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak dan kesan kejadian-kejadian tersebut terhadap kanak-kanak yang lain. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Nafsu amarah yang tidak dapat dikekang menyebabkan seseorang itu bertindak di luar batasan. Terdapat penjenayah yang berada di bawah paras sedar dan menganggap tindakan kejam terhadap kanak-kanak sebagai peluang memenuhi tuntutan nafsu. Semasa melakukan serangan, tidak timbul rasa belas kasihan. Penjenayah mungkin berasa menyesal selepas melakukannya, tetapi keadaan sudah terlambat apabila mangsa meninggal dunia selepas dirogol atau dibunuh.
Penjenayah kejam seperti ini mempunyai kaitan dengan masalah jiwa. Ada masanya mereka melakukan perbuatan mereka tanpa niat. Berdasarkan teori psikoanalisis yang dikemukakan oleh neurologis Austria, Sigmund Freud, segala tindakan jahat seperti melakukan serangan seksual atau bunuh disebabkan oleh desakan hidup.
Namun begitu, merogol dan membunuh kanak-kanak merupakan tindakan yang zalim dan salah di sisi undang-undang. Apatah lagi kanak-kanak mengharapkan perlindungan dan keselamatan daripada orang dewasa. Orang dewasalah yang tidak memikul amanah dengan sempurna terhadap kanak-kanak sehingga berlakunya kes-kes tersebut.
Dalam sesetengah kes, penjenayah yang mempunyai sejarah hitam pada zaman kanak-kanaknya akan berasa tidak puas hati terhadap ibu bapa, serta cemburu kepada kanak-kanak yang lain. Kadang kala mereka juga dipengaruhi oleh kesan pengambilan dadah atau alkohol sehingga mereka hilang ingatan ketika melakukan perbuatan tersebut. Dalam sesetengah kes yang lain pula, terdapat penjenayah yang mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat rendah, termasuklah tidak mendapat bimbingan agama yang sempurna.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan orang awam untuk berganding bahu dalam soal penjagaan keselamatan kanak-kanak. Namun begitu, ada masanya ibu bapa tidak mengambil tahu ke mana-mana anak mereka pergi, dan yang menjadi kawan-kawan anak mereka. Mereka sepatutnya memberikan makluman kepada anak-anak agar tidak mendekati orang yang tidak dikenali serta mengelakkan mereka berjalan seorang diri di tempat yang sunyi.
Apabila ibu bapa membawa anak-anak keluar dari rumah, berikan perhatian penuh kepada anak. Pimpinlah tangan anak-anak agar tidak terlepas. Kejadian penculikan boleh berlaku dalam sekelip mata. Jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, pihak berkuasa mempunyai talian kecemasan yang boleh dihubungi pada bila-bila masa agar orang ramai mudah melaporkan sebarang berita jenayah terhadap kanak-kanak. Ingatlah bahawa masyarakat perlu mengamalkan kata-kata ‘anak kita anak orang, anak orang anak kita’, iaitu menjaga anak orang seperti menjaga anak kita sendiri.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada “Anak Kita Anak Orang, Anak Orang Anak Kita”, Dewan Masyarakat, Mac 2008)

1. Berikan maksud rangkai kata memenuhi tuntutan nafsu. 2m
2. Apakah peranan golongan dewasa dalam menangani kejadian jenayah terhadap kanak-kanak? 4m
3. Pada pendapat anda,bagaimanakah institusi kekeluargaan berperanan membantu seseorang yang mengalami masalah jiwa daripada menjadi penjenayah kanak-kanak? 4m

SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan faktor/sebab berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak.
Isi tersurat(faktor berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak)
S1: Nafsu amarah yang tidak dapat dikekang
S2: Terdapat penjenayah yang berada di bawah paras sedar.
S3: Menganggap tindakan kejam terhadap kanak-kanak sebagai peluang memenuhi tuntutan nafsu.
S4: Penjenayah mempunyai kaitan dengan masalah jiwa.
S5: Disebabkan oleh desakan hidup.
S6: Penjenayah yang mempunyai sejarah hitam pada zaman kanak-kanaknya.
S7: Dipengaruhi oleh kesan pengambilan dadah/alkohol.
S8: Penjenayah mempunyai latar belakang pendidikan yang sangat rendah.
S9: Tidak mendapat bimbingan agama yang sempurna.
S10. Ibu bapa tidak mengambil tahu ke mana anak mereka pergi dan yang menjadi kawan anak mereka.
Isi tersirat(Kesan kejadian terhadap kanak-kanak lain)
T1: Kanak-kanak tidak bebas menjalani kehidupan zaman kanak-kanak yang penuh gembira.
T2: Sentiasa bimbang/cemas akan keselamatan diri.
T3: Tidak dapat melakukan aktiviti dengan bebas dan riang.
Kesimpulan: Anggota masyarakat harus bekerjasama mengatasi masalah tersebut demi keselamatan kanak-kanak.


Pemahaman:
1. ...mengisi kehendak hati yang kuat/Melampias keinginan/kehendak hati yang kuat
2. ...memberikan perhatian sepenuhnya kepada kanak-kanak apabila ibu bapa membawa anak-anak keluar rumah
...bertanggungjawab menjaga keselamatan kanak-kanak dengan menganggap anak orang lain juga seperti anak kita.
3. ...memberikan perhatian dan kasih sayang...mendapatkan rawatan daripada pakar psikatris...mendapatkan khidmat kaunselor...memberikan didikan agama/ nilai-nilai murni/moral...tidak memberikan tekanan emosi dan fizikal

0 comments: