BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 2, 2010

Rumusan penyakit kronik - kencing manis

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penyakit kencing manis dan cara-cara untuk mengelakkannya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Insulin ialah sejenis hormon yang dikeluarkan oleh organ pankreas yang terletak di belakang perut. Di dalam perut makanan yang dimakan akan ditukarkan menjadi glukosa, kemudian diserap ke dalam saluran darah untuk digunakan dalam badan bagi menghasilkan tenaga. Bagi orang yang normal, insulin membantu glukosa darah memasuki sel badan dan menukarnya menjadi tenaga. Penyakit kencing manis berlaku apabila organ pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya menyebabkan glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel badan. Keadaan ini akan menyebabkan segalanya terkumpul dalam darah menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga melimpah ke dalam air kencing. Hal ini sering kali terjadi kepada mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan lantaran lemak yang menghalang proses tersebut daripada berlaku.

Perlu disedari bahawa manusia amat perlu melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Peluh yang keluar daripada badan akan membantu peredaran darah yang sempurna. Bersenam atau apa-apa sahaja aktiviti fizikal turut menyingkirkan toksin daripada badan. Jika aktiviti ini tidak dilakukan, risiko untuk mendapat penyakit kencing manis sememangnya tinggi.

Terdapat dua jenis penyakit kencing manis, iaitu yang bergantung kepada insulin dan yang tidak bergantung kepada insulin. kedua-dua jenis ini amat memudaratkan kesihatan kita. Ramai daripada kita mempunyai tabiat makan yang buruk, iaitu mengambil makanan yang tidak seimbang untuk keperluan tubuh malah ada pula yang makan dalam kuantiti yang banak dan berulang-ulang. Keadaan ini sedikit demi sedikit akan mengundang bala yang tidak dijangkakan.

Selain itu, makanan yang tinggi lemak dan karbohidrat serta kurang serat turut meningkatkan risiko terhadap penyakit kencing manis. Nasi lemak, kari, roti canai sepatutnya tidak menjadi amalan harian kerana kandungan lemak dan karbohidrat yang tinggi. Malangnya, berapa ramaikah antara kita yang akan berfikir tentang piramid makanan sebelum mereka makan? Ramai juga daripada kita yang tidak menyedari bahawa kita sepatutnya tahu akan sejarah penyakit dalam keluarga supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan. Sebagai contoh, jika ada keluarga sama ada ibu atau bapa, datuk atau nenek dan sebagainya yang menghidap kencing manis,tidak mustahil anak-anak mereka akan mewarisi penyakit ini. Tegasnya, sejarah keluarga yang menghidap kencing manis turut menjadi punca kita mendapat penyakit yang sama. Adalah penting bagi kita mempunyai pengetahuan tentang penyakit ini supaya kita dapat bertindak pantas jika ada gejala-gejala tertentu yang memungkinkan kita menghidap penyakit berbahaya ini seperti sentiasa berasa dahaga, kerap membuang air kecil atau berasa letih dan lesu. Kita juga haruslah peka sekiranya ada antara ahli keluarga yang mengalami luka atau kudis yang lambat sembuh. Hal ini amat penting kerana gejala-gejala ini memberi isyarat bahawa penyakit kencing manis sudah mula menyerang sistem badan kita.

Penyakit kencing manis tidak mengira umur kerana ada pesakit yang menghidap penyakit ini sejak mereka kecil lagi. Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa semakin meningkat umur seseorang semakin tinggi risiko untuk mendapat penyakit apatah lagi jika aspek kesihatan khususnya pemakanan tidak dijaga. Amatlah beruntung bagi mereka yang sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan cara hidup yang sihat kerana hidup seakan tidak bermakna jika penyakit membelenggu hidup kita.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana ‘Diabetes’ BTDM Bil.124/Jan 2004)

1. Berikan maksud rangkai kata mengundang bala yang tidak dijangkakan. 2m
2. Apakah tanda-tanda awal penyakit kencing manis? 4m
3. Penghidap kencing manis sering kali berasa hidup sudah tidak bermakna lagi. Berikan nasihat anda kepada mereka. 3m














SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan penyakit kencing manis
Isi tersurat: Punca-punca
S1: Mereka mempunyai berat badan berlebihan
S2: Tidak melakukan senaman
S3: Mempunyai tabiat makan yang buruk, iaitu makanan tidak seimbang
S4: Mengambil makanan yang tinggi kadar lemak dan karbohidrat serta kurang serat
S5: Sejarah keluarga yang menghidap kencing manis
S6: Umur yang semakin meningkat, risiko kencing manis juga tinggi
Isi tersirat: langkah mengatasi
T1; Pemeriksaan berkala
T2: Mendapatkan khidmat nasihat pakar pemakanan atau sumber rujuk yang lain
T3: Kurangkan pengambilan gula dalam makanan atau minuman
Kesimpulan; Kita perlu menjaga kesihatan diri supaya dapat menikmati hidup yang sihat dan bahagia.

Soalan pemahaman
1. …mendapat kesusahan/penyakit yang tidak diduga
2. …sentiasa merasa dahaga…kerap membuang air kecil…berasa letih atau lesu…luka yang lambat sembuh
3. …bersabar menempuh dugaan hidup…terus mengikut nasihat doktor…berpandangan positif terhadap masa depan

0 comments: