BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 23, 2010

Rumusan: Faktor-faktor penyalahgunaan pil khayal

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang mendorong penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja dan langkah-langkah menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja atau pelajar merupakan masalah yang klompleks. Hal ini demikian kerana masalah ini bukan hanya melibatkan remaja atau pelajar itu sendiri tetapi juga melibatkan banyak pihak yang lain seperti keluarga, masyarakat, pihak sekolah, teman sebaya, kementerian kesihatan, penggubal undang-undang, polis dan sebagainya. Semua pihak yang terlibat ini bertanggungjawab sama ada sebagai faktor penyebab, pencetus mahupun sebagai pihak yang menanggung masalah itu.

Walaupun penyalahgunaan pil khayal di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal, namun jika tidak ditangani dengan bijak, tidak mustahil masalah ini menjadi lebih besar dan mampu meruntuhkan masa depan golongan remaja yang terlibat. Perilaku yang negatif seperti gengsterisme, vandalisme, penagihan dadah dan sebagainya sangat merugikan diri mereka dan masyarakat.

Kurangnya didikan agama menjadi faktor utama golongan remaja ini terdorong untuk mengambil pil khayal sebagai jalan mudah untuk mengurangkan tekanan terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka. Keadaan ini ditambah lagi dengan kurangnya perhatian daripada ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling. Justeru, mereka akan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang sudah biasa menggunakannya.

Zaman remaja sememangnya suatu zaman yang penuh pancaroba, apatah lagi dengan keadaan remaja yang penuh semangat, serba ingin tahu, belum sepenuhnya memiliki pertimbangan diri yang matang, mudah terpengaruh, perasaan sentiasa ingin mencuba dan tidak mahu ketinggalan berbanding dengan teman-teman sebayanya. Pada ketika inilah mereka menjadi kelompok yang paling mudah terjebak dalam penyalahgunaan pil khayal. Kebanyakan golongan remaja yang mengambil pil khayal ini hanya mahu berseronok-seronok sahaja pada peringkat awal dan lebih dipengaruhi oleh perasaan ingin tahu.

Pengetahuan tentang bahaya pil khayal hanyalah salah satu daripada aspek yang perlu disampaikan kepada remaja agar mereka sedar akan kesan buruk penggunaan pil khayal terhadap kesihatan dan kehidupan mereka. Penyalahgunaan pil khayal ini merupakan satu penyelewengan penggunaan pil yang bukan bertujuan untuk penyembuhan atau pengubatan. Antara pil yang sering menjadi sasaran golongan remaja bermasalah ini ialah Ecstasy atau nama saintifiknya ialah Methylene dioxy methamphetamine (MDMA).

Ecstasy terdapat dalam pelbagai warna seperti merah jambu, putih, ungu dan biru. Pengambilan pil ini secara tidak disedarinya sebenarnya boleh merosakkan organ-organ utama seperti otak, paru-paru, jantung dan sistem saraf, selain menjadikan seseorang itu mengalami ketagihan. Ecstasy juga boleh membahayakan bayi dalam kandungan dan menyebabkan keguguran, malah perkara yang lebih teruk lagi pil ini boleh menyebabkan perubahan mental, tingkah laku dan akhirnya menyebabkan kematian.

(Diubahsuaikan daripada “Penyalahgunaan Pil Khayal dalam Kalangan Remaja”,oleh Mohamad Syukri bin Abdul Rahim,Dewan Siswa, Januari, 2004)

1. Beri maksud rangkai kata zaman yang penuh pancaroba. 2m
2. Apakah kesan-kesan negatif penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja. 3m
3. “Mencegah lebih baik daripada mengubati”. Kaitkan pernyataan ini dengan masalah penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja. 4m



















SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan ini menyatakan punca-punca penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja.
Isi tersurat ( Faktor-faktor)
S1: Kurang didikan agama
S2: Kurang perhatian daripada ibu bapa, guru dan masyarakat
S3: Pengaruh rakan sebaya
S4: Hanya untuk berseronok
S5: Dipengaruhi perasaan ingin tahu
S6: Kurang pengetahuan terhadap akibatnya
Isi tersirat (Langkah mengatasi)
T1: Memberikan penekanan terhadap kehidupan beragama baik di sekolah, dalam keluarga mahupun dalam masyarakat
T2: Mewujudkan hubungan yang erat antara remaja dengan ibu bapa, guru dan masyarakat
T3: Menggalakkan remaja menyertai aktiviti-aktiviti lasak dan bersukan agar tenaga muda mereka terfokus kepada sesuatu aktiviti yang berfaedah
Kesimpulan: Pelbagai usaha dilakukan dengan harapan golongan remaja terhindar daripada penyalahgunaan pil khayal supaya zaman remaja seseorang dapat dilalui dengan menjadi manusia yang bertanggungjawab apabila dewasa kelak.
Soalan pemahaman:
1. ...jangka masa yang banyak mengandungi cabaran hidup
2. ...merosakkan organ-organ utama seperti otak, paru-paru, jantung dan sistem saraf...menyebabkan ketagihan...membahayakan bayi dalam kandungan dan menyebabkan keguguran...menyebabkan perubahan mental dan tingkah laku ...boleh membawa kematian
3. sebelum masalah golongan remaja yang terbabit dengan penyalahgunaan pil khayal benar-benar serius, wajarlah semua pihak bertindak untuk mengatasinya. Sekiranya masalah ini sudah berada pada tahap yang serius tentu sukar untuk diubati, malah memerlukan kos yang tinggi pula.

0 comments: