BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan:isu kanak-kanak (keganasan rumah tangga)

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan kes keganasan rumah tangga dan usaha-usaha untuk menanganinya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bilangan kes keganasan rumah tangga yang kian meningkat kini tidak boleh dipandang ringan. Hal ini demikian kerana keharmonian keluarga merupakan faktor yang tidak kurang pentingnya dalam melahirkan generasi yang berakhlak dan berdedikasi. Malangnya, terdapat sesetengah individu yang cenderung untuk memendam masalah sehingga timbulnya pelbagai tekanan. Akibatnya, anggota keluarga dijadikan mangsa.

Gejala ini menandakan implikasi yang besar terhadap masa depan anak-anak.
Mereka yang menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab itu akan berhadapan dengan ketidakstabilan emosi yang sukar untuk digambarkan. Emosi yang tidak stabil menyebabkan mereka tidak dapat bertindak seperti anak-anak yang lain. Dalam kes-kes tertentu, fizikal mereka turut tercedera, misalnya bengkak atau lebam di tubuh, luka, bahkan patah anggota badan. Sesungguhnya, luka akibat penderaan fizikal mungkin sembuh tetapi trauma yang dialami oleh anak-anak berkenaan akan berterusan hingga dewasa.

Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menyediakan keperluan fizikal kepada anak-anak tetapi juga memastikan keselamatan mereka terjamin. Meskipun begitu, terdapat ibu bapa yang terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah menyebabkan mereka hilang pertimbangan. Kegagalan ibu bapa bertindak sebagai pelindung kepada anak-anak menjejaskan perkembangan mental dan fizikal anak-anak.Tindakan ibu bapa yang hilangnya nilai-nilai kemanusiaan itu ternyata merenggangkan hubungan mereka dengan anak-anak. Dari aspek yang lain pula, kanak-kanak malang itu sukar untuk mematuhi arahan berbanding dengan anak-anak yang berasal daripada keluarga yang bahagia. Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, apabila berlaku keganasan rumah tangga, anak akan menerima layanan yang buruk, terutama daripada bapa mereka berbanding dengan ibu. Anak yang menjadi mangsa kekejaman ibu bapa itu menjadi penakut, pendendam,agresif, curiga, suka menyendiri, tiada keyakinan diri, berasa rendah diri dan lain-lain. Setelah mendirikan rumah tangga , tidak mustahil mereka menggunakan keganasan yang sama untuk menyelesaikan masalah rumah tangga.

Kes keganasan rumah tangga berlaku dalam masyarakat kita sejak dahulu dan berterusan sehingga era kemajuan. Golongan yang diberikan tanggungjawab untuk membentuk anak-anak agar menjadi manusia yang penyayang kadangkala bertindak di luar dugaan. Langkah yang berkesan perlu difikirkan dan dilaksanakan bagi menangani gejala yang boleh membantutkan usaha kerajaan untuk melahirkan insan yang memiliki minda kelas pertama.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Trauma Mangsa Keganasan Rumah Tangga’ oleh Tam Chai Lian, Dewan Siswa, Julai 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata insan yang memiliki minda kelas pertama. 2m
2. Apakah faktor-faktor wujudnya kes keganasan rumah tangga di negara ini? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah pendekatan kaunseling dapat menangani kes keganasan rumah tangga dalam masyarakat? 4m

SKEMA JAWAPAN
P: Petikan menjelaskan keburukan kes keganasan rumah tangga kepada mangsanya
Isi tersurat (Kesan)
S1: Mangsa keganasan rumah tangga mengalami ketidakstabilan emosi yang serius
S2: Sesetengah mangsa mengalami kecederaan fizikal
S3: Mangsa keganasan mengalami trauma sehingga dewasa
S4: Hubungan mereka dengan ibu bapa juga renggang dan mereka sukar untuk mematuhi arahan
S5: Mangsa keganasan rumah tangga turut menggunakan strategi yang sama untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka
S6: Matlamat untuk melahirkan modal insan kelas pertama akan terjejas.
Isi tersirat (Usaha-usaha)
T1: Hukuman yang berat hendaklah dikenakan terhadap pesalah
T2: Setiap anggota masyarakat perlu memberikan maklumat tentang kes tersebut kepada pihak berkuasa
T3: Kempen Keluarga Penyayang hendaklah dijalankan secara berterusan
Kesimpulannya kes keganasan rumah tangga perlu ditangani bersama-sama untuk merealisasikan masyarakat penyayang di negara ini.

Soalan pemahaman:
1. ...individu yang mempunyai pemikiran yang berkualiti
2. ...tekanan yang dialami oleh sesetengah individu...penglibatan ibu bapa dalam penyalahgunaan dadah...hilangnya nilai-nilai kemanusiaan dalam diri ibu bapa
3. ...individu yang bermasalah boleh meluahkan masalah kepada kaunselor dan kaunselor pula dapat memberikan nasihat kepadanya...langkah ini dapat mengurangkan tekanan yang dialami seseorang...kaunselor mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kebolehan untuk berhadapan dengan mereka yang bermasalah

0 comments: