BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan: Pekerja kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor kewujudan pekerja kanak-kanak dan kesan-kesan negatifnya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Antara isu global yang hebat diperkatakan pada hari ini ialah pengeksploitasian kanak-kanak oleh pihak-pihak tertentu. Jutaan kanak-kank di dunia menderita akibat mencari sumber pendapatan pada usia muda dan bekerja dalam jangka masa yang panjang. Jumlah kanak-kanak yang berumur antara 10 hingga 14 tahun didapati paling banyak terlibat dalam permasalahan ini, terutama di Afrika, Amerika Latin dan di beberapa buah negara di Asia.

Di negara-negara berkenaan, pekerja kanak-kanak yang berusia kurang daripada 15 tahun terlibat dalam bidang pembuatan permaidani atau gelang kaca. Terdapat juga sebahagian daripada mereka diupah menggilap intan atau permata dan sesetengahnya pula dipertanggungjawabkan mengangkut bebanan yang tidak sepadan dengan keupayaan mereka. Golongan ini terpaksa berbuat demikian disebabkan kemiskinan keluarga sehingga terpaksa bergantung pada pendapatan anak-anak untuk hidup. Kemiskinan sukar dielakkan disebabkan keuzuran atau pendapatan yang rendah sedangkan bilangan ahli keluarga yang ramai. Oleh sebab itu, pendapatan tambahan daripada anak-anak begitu penting bagi mereka. Di negara-negara berkenaan, bidang pendidikan pula tidak berupaya melahirkan kanak-kanak yang berkemahiran. Tindakan ini merugikan semua pihak, terutama dalam jangka panjang.

Selain itu, pendiskriminasian anak-anak perempuan masih berlaku di kawasan-kawasan terpencil. Hak pendidikan mereka dinafikan sama sekali jika dibandingkan dengan anak-anak lelaki, termasuklah dalam soal mendapatkan pendidikan formal. Oleh sebab itu, kanak-kanak perempuan hanya layak menjadi pekerja sejak awal lagi. Berdasarkan situasi yang berlaku dalam masyarakat, terdapat juga sesetengah majikan yang cenderung mengambil pekerja kanak-kanak dengan pelbagai alasan. Sebenarnya mereka menangguk di air keruh untuk meminimumkan kos dan memaksimumkan keuntungan dengan membayar upah yang rendah kepada pekerja kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang bernasib malang pula, mereka melihat situasi tersebut sebagai satu peluang. Kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa mereka secara sukarela menawarkan diri menjadi pekerja. Golongan ini sepatutnya ditempatkan di rumah kebajikan. Mereka juga wajar menerima pendidikan seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengan mereka.

Bagi yang bernasib malang pula, mereka dipaksa oleh penjaga mereka supaya bekerja, manakala yang lain pula ingin bekerja untuk menikmati kebebasan hidup dengan mencari rezeki sendiri tanpa bergantung pada orang lain. Golongan ini tiada pilihan lain, kecuali menawarkan diri sebagai buruh. Permasalahan buruh kanak-kanak ternyata amat kompleks untuk ditangani. Sehubungan itu, program yang merangkumi pendidikan moral dan keprihatinan pemberian hak kepada kanak-kanak perlu dijayakan. Di samping itu, pelbagai program mengurangkan kadar kemiskinan sewajarnya dijalankan secara berterusan untuk memastikan kemiskinan tidak disinonimkan dengan isu yang diperkatakan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Buruh Kanak-kanak,oleh Amida Abdul Hamid, Dewan Masyarakat, September 2001)

1. Berikan maksud rangkai kata Hak pendidikan mereka dinafikan sama sekali. 2m
2. Mengapa kemiskinan di negara-negara tersebut tidak dapat diatasi? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk melahirkan kanak-kanak yang dapat memberikan sumbangan kepada negara? 4m





















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan punca-punca kewujudan pekerja kanak-kanak
Isi tersurat ( punca-punca)
S1: Keluarga yang miskin terpaksa bergantung pada pendapatan anak-anak
S2: Bidang pendidikan tidak berupaya melahirkan kanak-kanak yang berkemahiran
S3: Pendiskriminasian kanak-kanak perempuan masih berlaku di kawasan-kawasan terpencil
S4: Pengusaha yang cenderung mengambil pekerja kanak-kanak untuk menjimatkan kos
S5: Kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa pula menawarkan diri untuk bekerja
S6: Terdapat kanak-kanak yang dipaksa oleh penjaga supaya bekerja
S7: Terdapat juga sesetengah kanak-kanak ingin bekerja untuk menikmati kebebasan hidup
Isi tersirat (kesan-kesan negatifnya)
T1: Masa depan kanak-kanak tidak terjamin
T2: Terdedah kepada risiko kecederaan
T3: Golongan ini tidak dapat membantu membangunkan negara
T4: Menjejaskan imej negara
Kesimpulan: Kewujudan pekerja kanak-kanak perlu diatasi dengan bijaksana untuk melahirkan generasi muda yang produktif

Pemahaman:
1. ...tidak langsung diberikan peluang untuk mendapat pendidikan.
2. ...Kemiskinan akibat keuzuran...Pendapatan yang rendah sedangkan bilangan ahli keluarga ramai...Bidang pendidikan tidak berupaya melahirkan kanak-kanak yang berkemahiran menyebabkan mereka tidak dapat keluar dari kepompong kemiskinan.
3. ...Memberikan ilmu pengetahuan sempurna kepada kanak-kanak...Mendedahkan mereka dalam bidang kemahiran...Pendidikan agama tidak harus diabaikan untuk memastikan mereka berakhlak mulia...Nilai-nilai patriotik hendaklah ditanam dalam diri kanak-kanak dari awal.

0 comments: