BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 23, 2010

Rimusan: punca-punca pengambilan dadah

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca pengambilan dadah dalam kalangan remaja dan usaha yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk menanganinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak bermulanya era globalisasi ini, banyak isu telah dibangkitkan termasuk gejala pengambilan dadah dalam golongan remaja di negara kita. Gejala ini semakin berleluasa dan menjadi semakin sukar untuk ditangani. Selama ini, penagihan najis dadah jelas membuktikan bahawa bahan ini boleh memusnahkan kehidupan seseorang dalam sekelip mata sahaja. Musibah yang melanda golongan ini turut dijadikan iktibar kepada para remaja oleh ibu bapa, namun usaha-usaha tersebut umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Antara faktor yang menyebabkan masalah ini terus mempengaruhi remaja ialah kekurangan perhatian daripada ibu bapa. Hal ini memang tidak dapat dinafikan terutamanya dalam era mengejar kesenangan hidup pada hari ini. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan keperluan asas yang bertaraf tinggi untuk keluarga. Secara tidak langsung, masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlauan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke lembah penagihan najis dadah.

Di samping itu, pengaruh rakan sebaya turut menyumbang masalah ini. Hal ini demikian kerana kebanyakan masa remaja diluangkan bersama dengan rakan sebaya mereka. Oleh itu, pemilihan rakan yang sesuai haruslah dilakukan dengan bijaksana oleh setiap remaja. Sekiranya rakan sebaya yang digauli oleh mereka terlibat dalam pengambilan dadah, secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut-ikut dengan sikap rakan mereka.Budaya ini harus dikikis kerana hanya akan menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius. Para remaja perlu bersikap rasional pada setiap masa.

Tekanan yang dialami oleh remaja pada hari ini turut menjadi salah satu faktor kewujudan masalah ini. Kini, remaja bukan hanya berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah semata-mata. harapan yang tinggi oleh ibu bapa agar mereka mencapai prestasi yang cemerlang dalam pelajaran telah menjadi suatu tekanan yang hebat kepada remaja. Selain menghadiri kelas di sekolah, mereka terpaksa menghadiri kelas-kelas yang lain seperti kelas tuisyen, muzik, tarian, seni pertahanan diri dan sebagainya bagi memenuhi kehendak ibu bapa. Akibatnya, mereka tidak mempunyai masa yang tersendiri untuk beristirahat dan melakukan hobi yang digemari oleh mereka. Tekanan ini akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononya ingin mencari ketenangan jiwa. Mereka berpendapat bahawa pengambilan dadah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam sekelip mata sahaja. Namun, sedarkah mereka bahawa hal ini hanya akan memusnahkan kehidupan dan masa depan mereka?
Natijahnya, kita harus berusaha dan bekerjasama bagi membanteras gejala ini agar tidak membawa akibat yang lebih buruk. Para remaja juga harus membuat pertimbangan yang wajar setiap kali menghadapi sebarang masalah. Sekiranya terdapat komitmen yang tinggi dan berterusan untuk mengatasi masalah ini, masalah penagihan najis dadah dalam kalangan remaja pasti dapat dibendung dengan jayanya.


1. Berikan maksud rangkai kata umpama mencurahkan air ke daun keladi. 2m
2. Bagaimanakah remaja dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam penagihan najis dadah? 3m
3. Pada pendapat anda, wajarkah ibu bapa menghantar anak-anak menghadiri pelbagai jenis kelas sampingan seperti kelas muzik, kelas tarian dan lain-lain? Berikan alasan anda untuk menyokong pendapat anda. 4m

















SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan faktor-faktor yang menjerumuskan generasi muda dalam penagihan najis dadah.
Isi tersurat (faktor-faktor)
S1: Remaja kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa
S2: Ibu bapa yang sibuk mencari nafkah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk meluangkan masa bersama anak-anak, sekali gus menyebabkan anak-anak terjebak dengan dadah
S3: Kebebasan yang terbuka dengan luas mendorong anak-anak tersilap dalam membuat keputusan.
S4: Pergaulan dengan golongan yang tidak baik terutama rakan sebaya turut menjadi punca penglibatan remaja dalam penagihan dadah
S5: Remaja juga berhadapan dengan tekanan akibat desakan ibu bapa yang inginkan mereka mencapai kecemerlangan dalam segala aspek.
S6: Mereka turut terdorong mengambil dadah untuk mencari ketenangan jiwa.
S7: Sesetengahnya berpendapat bahawa pengambilan dadah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Isi tersirat ( Langkah menanganinya)
T1: Mengadakan ceramah dan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dadah.
T2: Pemantauan oleh pihak sekolah terhadap para pelajar terutama pelajar yang bermasalah dari masa ke masa
T3: Penerapan nilai murni dan ajaran agama dalam diri mereka turut membantu menangani permasalahan ini
T4: Menjatuhkan hukuman yang berat terhadap pengedar dadah
Kesimpulannya, pengambilan dadah dalam kalangan remaj harus dibendung dengan lebih efektif demi memastikan masa depan mereka.




Soalan pemahaman:
1. ...usaha yang sia-sia dan tidak memberi sebarang faedah
2. ...bersikap bijak dalam memilih rakan yang tidak akan mempengaruhi mereka dalam kegiatan yang tidak sihat...para remaja juga perlu bersikap lebih rasional pada setiap masa...bijak membuat pertimbangan yang wajar setiap kali berdepan dengan masalah
3. Wajar:
...dapat mengembangkan bakat mereka...memastikan masa terluang mereka digunakan dengan sebaik mungkin...dapat mensiplinkan diri anak-anak...menjamin masa depan yang lebih baik
Tidak wajar:
...membataskan masa lapang mereka...meletihkan mereka kerana aktiviti ini memakan masa yang lama...mendorong mereka untuk memberi tumpuan kepada aktiviti ini daripada akademik...menghalang mereka daripada membuat sesuatu perkara yang lebih disukai

0 comments: