Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pusat asuhan anak di tempat kerja dan masalah dengan adanya pusat tersebut. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Usaha mewujudkan pusat asuhan untuk anak-anak mempunyai kesan yang besar terhadap keluarga yang tidak mempunyai pembantu rumah. Manakan tidak, kini ramai wanita boleh terus ke tempat kerja bersama anak tanpa perlu berkejar ke tempat penjaga dan kemudian ke tempat kerja. Lagipun kalau tidak ada penjaga anak yang datang pada hari itu atau pembantu perlukan cuti, kini sudah ada tempat untuk meninggalkan anak mereka dalam keadaan yang selamat menyebabkan hati berasa lega. Oleh itu, adanya pusat asuhan di tempat kerja akan memberikan ketenangan jiwa kepada pekerja dan majikan. Selama ini, tanpa pusat asuhan anak, ramai pekerja mengambil cuti secara mengejut untuk menguruskan anak yang sakit. Jika anak di rumah, sesetengahnya berasa risau memikirkan anak-anak yang diuruskan oleh pembantu rumah.
Mungkin dengan adanya pusat asuhan, anak-anak boleh diletakkan di tempat kerja ibu dan di tempat kerja bapa. Secara tidak langsung tanggungjawab menjaga anak boleh dibahagikan sama rata antara lelaki dan wanita. Malah dasar mesra keluarga juga akan tercapai dengan sendirinya. Oleh itu, pusat asuhan secara tidak langsung dapat memupuk semangat saling menolong antara satu sama lain, tanpa wujudnya sikap salah menyalahkan. Hal ini demikian kerana api kemarahan isteri akan terpadam dengan bantuan yang dicurahkan oleh suami. Maka satu lagi hasrat “Rumahku Syurgaku” akan turut tercapai dengan adanya pusat jagaan anak-anak. Pusat penjagaan anak-anak juga dapat mengelakkan pelbagai gejala sosial yang berpotensi besar berlaku kepada anak-anak yang balik ke rumah yang “kosong” tanpa ibu bapa.
Pelbagai kes telah dilaporkan tentang bala yang menimpa anak-anak yang ditinggalkan tanpa penjaga seperti terlibat dengan gejala lepak, ponteng sekolah, merokok, dadah, seks bebas, gengsterisme, lumba haram , dan lain-lain kes juvenil yang cukup menggerunkan. Daripada perspektif organisasi pula, pusat asuhan bukan sahaja mendapat potongan cukai sebanyak 10 peratus tetapi juga akan mengurangkan masalah berhenti kerja dalam kalangan pekerja wanita. Menurut kajian di Barat, mereka telah dapat mengesan masalah ini apabila tahap ponteng kerja wanita menurun ketika anak-anak mereka dalam peringkat umur remaja. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan wanita dalam peringkat umur 30-an akan berhenti kerja buat sementara untuk memberikan tumpuan kepada anak-anak.
Malah hampir separuh wanita juga menyatakan kesanggupan untuk berhenti kerja kerana perasaan bersalah membelakangkan keluarga dan tiada masa santai atau bermesra untuk anak-anak, suami ataupun diri sendiri. Oleh yang demikian, kesedaran terhadap pusat jagaan anak-anak di tempat kerja akan dapat meleraikan masalah kehilangan modal insan wanita yang berharga. Oleh hal demikian, keperluan bantuan pusat asuhan akan lebih dirasakan kerana peratusan wanita berkahwin yang bekerja pada tahun 2002 sudah mencecah 62.5 peratus. Ditambah 60 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi ialah wanita. Kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa kehadiran wanita di tempat kerja akan meningkat. Walaupun penjagaan anak adalah tanggungjawab suami isteri, kadangkala naluri keibuan itu sendiri membuat wanita lebih rela menggalas tanggungjawab dalam membesarkan anak. Oleh itu, kewujudan pusat penjagaan anak satu langkah yang tepat. Pendek kata,memetik ucapan Perdana Menteri, anak-anak inilah yang akan menjadi pemimpin, pereka, usahawan, penyelidik atau ahli professional negara kita.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Realisasikan Pusat Asuhan Anak”, oleh Dr. Sabitha Marican, Utusan Malaysia,21 April 2009)
1. Berikan maksud rangkai kata rela menggalas tanggungjawab. 2m
2. Apakah masalah yang wujud bagi syarikat yang tidak menyediakan pusat asuhan anak? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat moden lebih selesa menggaji pembantu rumah daripada menghantar anak mereka di tempat asuhan? 4m
SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kelebihan/faedah adanya pusat asuhan anak di tempat kerja bagi pekerja yang sudah berumah tangga.
Isi tersurat(Kepentingan Pusat Asuhan)
S1: Boleh terus ke tempat kerja bersama anak tanpa perlu berkejar ke tempat penjaga.
S2: Meninggalkan anak dalam keadaan yang selamat menyebabkan hati berasa lega.
S3: Memberikan ketenangan jiwa kepada pekerja dan majikan.
S4: Tanggungjawab menjaga anak boleh dibahagikan sama rata antara lelaki dan wanita.
S5: Dasar mesra keluarga akan tercapai dengan sendirinya.
S6: Memupuk semangat saling menolong antara satu sama lain, tanpa wujudnya sikap salah-menyalahkan.
S7: Hasrat “Rumahku Syurgaku” akan turut tercapai.
S8: Mengelakkan pelbagai gejala sosial besar berlaku kepada anak-anak yang balik ke rumah yang “kosong” tanpa ibu bapa.
S9: Mengurangkan masalah berhenti kerja dalam kalangan pekerja wanita.
S10: Meleraikan masalah kehilangan modal insane wanita yang berharga.
Isi tersirat(Kekangan yang menghalang kemajuan)
T1: Pekerja lebih banyak meluangkan masa menjenguk anak daripada menumpukan kerja.
T2: Pertelingkahan anak-anak hingga melibatkan orang tua iaitu rakan sejawat.
T3: Jika wujud masalah di tempat asuhan menyebabkan ramai pekerja mengambil cuti kecemasan.
T4: Majikan terpaksa menyediakan ruang lebih besar jika jumlah anak bertambah.
Kesimpulan: Masyarakat luar bandar perlu bersikap proaktif agar pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan dapat dinikmati bersama.
Pemahaman:
1. ...sanggup memikul amanah
2. ...ramai pekerja mengambil cuti secara mengejut untuk menguruskan anak yang sakit...Sesetengahnya berasa risau memikirkan anak-anak yang diuruskan oleh pembantu rumah...Bala yang menimpa anak-anak yang ditinggalkan tanpa penjaga seperti terlibat dengan gejala lepak, ponteng sekolah, merokok, dan lain-lain kes juvenile
3. ...Lebih menjimatkan bagi mereka yang mempunyai anak ramai...Urusan rumah tangga boleh serahkan secara total kepada pembantu rumah...Boleh balik lewat atau menguruskan hal-hal peribadi tanpa risau memikirkan anak di rumah...Apabila tiba di rumah, ibu bapa boleh memberikan tumpuan kepada anak, manakala urusan makan minum diuruskan oleh pembantu rumah.
Saturday, April 17, 2010
Rumusan: kepentingan pusat asuhan kanak-kanak
Posted by eranis at 4:01 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment