BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 23, 2010

Rumusan: Tanda-tanda penagihan dadah

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang mengenal pasti tanda-tanda penagihan dadah dan sebab remaja terlibat dalam penagihan dadah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Selalu kita tertanya cara seorang penagih boleh hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak mencuri malah mengugut dan ada kala mencederakan ibu bapa sendiri semata-mata mahu mendapatkan wang bagi membeli dadah. Penagih dadah tidak kisah apa-apa pun berlaku kepada ibu bapa atau ahli keuarga yang terpaksa menanggung penderitaan dan malu. Disumpah seranah pun mereka sanggup asalkan dapat melepaskan gian. Situasi inilah yang dialami semua orang apabila ada ahli keluarga menagih dadah. Sebenarnya sekali terperangkap dengan dadah, penagih akan hilang wawasan dan hala tuju hidup. Mereka tidak kisah tentang apa-apa juga perkara, termasuk soal makan minum, masa depan atau maruah keluarga, kerana yang penting mereka memperoleh bekalan dadah.

Antara tanda yang biasa ditunjukkan jika anak menagih ialah mata dan gerak bahasa badan berubah contohnya penagih mempunyai mata merah, Nampak mengantuk, dan anak mata mengecil. Contoh yang lain jika anak buang air kecil dengan cepat bermakna dia bersih dan sekiranya lama di dalam tandas, mungkin menandakan dia mengambil dadah kerana dadah akan mengetatkan pundi kencing yang menyebabkan proses buang air kecil menjadi lama. Lihat kesan suntikan sebab jika anak mengambil dadah melalui suntikan, kesan boleh dilihat pada pelipat lengan atau kaki. Selain itu, hidung kerap berdarah terutama bagi penghidu kokain kerana boleh “memakan dan merosakkan” lapisan sel dalam hidung. Terdapat juga kesan lebam pada bibir atau jari. Situasi ini menandakan anak anda mengambil dadah menggunakan salur kaca panas atau paip logam. Kita juga boleh melihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi. Heroin boleh “memakan” dan mereputkan gigi penagih. Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya. Bau bahan kimia atau kerap selsema juga menjadi petanda anak anda ketagih pada bau gam, cat atau bahan kimia kegunaan rumah yang boleh mendatangkan kesan khayal.

Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti. Seterusnya, mereka yang terlibat dalam gejala ini lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap kerana bimbang rahsia terbongkar. Walau bagaimanapun penagih ganja suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau telivisyen sekuat hati. Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun, minatnya beralih kepada perkara yang tiada kaitan dengan pelajaran dan aktiviti lain. Walaupun tidak ponteng sekolah tetapi penagih gagal memberikan tumpuan di bilik darjah atau menyiapkan kerja sekolah. Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri daripada rakan baiknya yang dahulu.

Perunding Psikologi Klinikal dan Kaunselor Pusat Perubatan Sime Darby, Alexander Ng berkata, setiap penagih yang berjumpa doctor mengakui mahu “sembuh” dan hidup sebaik orang lain. Bagaimanapun proses sembuh atau bebas daripada pengaruh dadah amat sukar, apatah lagi jika keluarga turut membuang mereka. Hanya 10 hingga 15 peratus sahaja yang mempunyai semangat kuat untuk mengubah kehidupan mereka. Meskipun menjalani rawatan, peluang untuk menagih semula sentiasa ada. Antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah mereka tidak mendapat sokongan keluarga walaupun ada keinginan untuk berubah. Mereka yang terjebak dalam gejala ini juga tidak patuh kepada pelan rawatan. Malah mereka tidak patuh kepada program penjagaan selepas tamat rawatan. program penjagaan ini bukan hanya setahun dua tetapi sepanjang hayat. Bertemu dengan doctor dan psikiatri secara berkala juga penting untuk membantu penagih bebas daripada dadah. Pada waktu yang sama kita perlu hargai perubatan tradisional dalam membendung gejala ini daripada terus merebak.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Jangan Putus Asa”, oleh Norlaila Hamima Jamaluddin, Harian Merto,1Mac 2009)

1. Berikan maksud rangkai kata hala tuju hidup. 2m
2. Apakah faktor yang menjadi penghalang usaha penagih dadah kembali ke pangkal jalan? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah jumlah penagih dadah semakin meningkat walaupun pelbagai usaha pencegahan telah dilakukan? 4m












SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan ciri-ciri penagihan dadah
Isi tersurat ( Tanda penagihan dadah)
S1: Mata dan gerak bahasa badan berubah
S2: Lihat kesan suntikan sebab jika anak mengambil dadah melalui suntikan, boleh dilihat pada pelipat lengan atau kaki
S3: Hidung kerap berdarah terutama bagi penghidu kokain
S4: Kesan lebam pada bibir atau jari
S5: Boleh melihat kesan kerosakan dan lubang di celah gigi
S6: Lihat jika ada kesan cat pada badan atau bajunya
S7: Perubahan emosi yang ketara dan tidak stabil
S8: Lebih suka mengasingkan diri dan tidak banyak bercakap
S9: Motivasi merosot, pencapaian pelajaran menurun, minatnya tiada kaitan dengan pelajaran.
S10: Kelompok kawan berubah dan menjauhkan diri daripada rakan baiknya yang dahulu
Isi tersirat (Sebab remaja terlibat)
T1: Keinginan mencuba sesuatu yang baharu seperti yang dilakukan oleh rakan yang akrab
T2;Pujukan berterusan daripada rakan sebaya
T3: Termasuk perangkap golongan yang suka mencari mangsa bagi tujuan meluaskan pengedaran dadah
T4: Mahu melepaskan tekanan setelah menghadapi masalah keluarga atau rakan
Kesimpulannya semua remaja perlu berusaha menjauhi diri daripada perangkap dadah agar usaha mewujudkan masyarakat bebas daripada dadah akan menjadi kenyataan




Soalan pemahaman:
1. ...matlamat hidup pada masa depan
2. ...kerana tidak mendapat sokongan keluarga walaupun ada keinginan untuk berubah...mereka yang terjebak dalam gejala ini juga tidak patuh kepada pelan rawatan...mereka tidak patuh kepada program penjagaan selepas tamat rawatan.
3. ...kerana pengedar berterusan berusaha menambah penagih dadah untuk melariskan jualan dadah...pihak berkuasa gagal menyekat kemasukan dadah daripada negara luar...pelbagai jenis dadah dicipta bagi memikat golongan muda mencuba...tiada kesepaduan ahli masyarakat untuk bersama-sama menyelesaikan gejala kronik ini.

0 comments: