BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan: Isu pembuangan bayi

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi dan kesannya jika masalah ini tidak dibendung.Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masalah buang bayi bukan perkara baharu, masalah ini telah berakar umbi sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Sedihnya, kekerapannya sekarang begitu ketara.

Seks bebas , pergaulan tanpa batasan dan kealpaan ibu bapa menyumbang permasalahan besar ini terus berlaku. Setiap orang yang tersentuh hati melihat fenomena tidak berhati perut ini perlu bangkit, sedar dan insaf. Kita ada tanggungjawab untuk disempurnakan.

Kita perlu memastikan ibu bapa, pihak sekolah dan mereka yang pakar dalam bidang-bidang berkaitan yang menjurus ke arah berlakunya penyakit sosial yang kejam ini mengambil serius akan perbuatan ini. Masyarakat perlu melihat hubungan luar nikah sebagai suatu yang serius dan perlu dibendung. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjauhkan anak-anak remaja kita dan kaum wanita dan lelaki daripada berada di persekitaran yang menjurus ke arah tersebut. Hubungan sosial lelaki dan perempuan dan persahabatan tanpa batasan antara kedua-dua pihak perlu dipantau setiap masa.

Tindakan kerajaan Selangor mengharamkan dan menutup rumah urut sebagai satu langkah yang bijak. Tindakan tersebut secara tidak langsung menghalang tumbuhnya rumah sedemikian dengan lebih banyak dan menjadi tempat yang disalahgunakan ke arah kegiatan maksiat.

Pengetahuan agama memang perlu bagi membanteras bencana sosial ini daripada terus berleluasa. Remaja perlu ada asas pendidikan agama supaya boleh bertindak rasional jika menghadapi kebuntuan dalam membuat keputusan menentukan kelahiran bayi yang dikandungnya. Perasaan malu dalam dirinya terhadap ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan jiran amat tebal. Tambahan pula apabila pasangan lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab. Menyedari dirinya yang keseorangan, mereka mengambil jalan mudah membuang bayi yang dilahirkan di tempat-tempat awam.

Sehubungan itu, masyarakat perlu mengamalkan konsep bantu-membantu dan tegur-menegur antara satu sama lain. Gejala ini juga dikaitkan dengan isu filem lucah yang perlu dibendung dengan serius. Begitu juga dengan internet, sudah sampai masanya, satu pakatan bersepadu digerakkan untuk membanteras gejala tidak sihat ini daripada digunakan tanpa kawalan.

Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA) akan terus mengambil wanita-wanita yang mengandung tanpa nikah ini untuk tinggal di sini bagi menjamin kebajikan mereka sepanjang mengandung. KEWAJA akan memastikan setelah bayi dilahirkan, anak itu tidak dibuang sebaliknya diuruskan dengan baik untuk dijadikan anak angkat.
Kaunselor juga patut turun padang memberikan nasihat dan bimbingan untuk mereka melalui trauma ini dalam suasana yang tenang dan aman. Jawatankuasa Bertindak di taman-taman perlu diwujudkan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di kawasan luar bandar.

Jika masyarakat tidak bertindak sekarang, jangan menyesal sekiranya isu buang bayi ini bertukar menjadi bencana sosial yang dahsyat pada masa hadapan. Jangan biarkan air mata kita menitis lagi apabila jasad bayi yang tidak berdosa dijumpai di tempat awam dan di tempat-tempat yang menjijikkan.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Suatu Bencana Gejala Sosial. Utusan Malaysia, Mac 2007)

1. Apakah maksud rangkai kata pakatan bersepadu digerakkan? 2m
2. Mengapakah wanita yang mengandung tanpa suami sanggup membuang bayi mereka? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah untuk mengawal anak-anak daripada melayari perkara-perkara negatif daripada internet? 4m
















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan usaha-usaha /modus operandi mengatasi masalah pembuangan bayi.
Isi tersurat ( Usaha-usaha)
S1: Memastikan ibu bapa, pihak sekolah dan mereka yang pakar dalam bidang-bidang berkaitan yang menjurus ke arah berlakunya penyakit sosial ini mengambil serius akan perbuatan ini.
S2: Masyarakat perlu melihat hubungan luar nikah sebagai suatu yang serius dan perlu dibendung.
S3: Ibu bapa dan masyarakat perlu menjauhkan anak-anak remaja kita dan kaum wanita dan lelaki daripada berada di persekitaran yang menjurus ke arah tersebut.
S4: Hubungan sosial lelaki dan perempuan dan persahabatan tanpa batasan antara kedua-dua pihak perlu dipantau setiap masa.
S5: Tindakan kerajaan Selangor mengharamkan dan menutup rumah urut sebagai suatu langkah yang bijak.
S6: Remaja perlu ada asas pendidikan agama supaya boleh bertindak rasional jika menghadapi kebuntuan dalam membuat keputusan terhadap masalah-masalah kritikal
S7: Masyarakat perlu mengamalkan konsep bantu-membantu dan tegur-menegur antara satu sama
S8: Satu pakatan bersepadu digerakkan untuk membanteras gejala filem lucah dan internet digunakan tanpa kawalan.
S9: Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (KEWAJA) akan terus mengambil wanita-wanita mengandung tanpa nikah untuk tinggal di sini bagi menjamin kebajikan mereka sepanjang mengandung
S10: Kaunselor patut turun padang memberi nasihat dan bimbingan untuk mereka melalui trauma ini dalam suasana yang tenang dan aman.
S11: Jawatankuasa Bertindak di taman-taman perlu diwujudkan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral di kawasan luar bandar.
Isi tersirat (kesan-kesannya)
T1. Lebih banyak bayi akan dibuang
T2: Kegiatan maksiat semakin berleluasa
T3: Nilai bertanggungjawab dan simpati semakin terhakis
Kesimpulan: Generasi muda harus menilai perbuatan baik atau buruk yang dilakukan mereka agar tidak merugikan diri sendiri dan keluarga.


Pemahaman
1. ...Amalan/sikap bekerjasama perlu dijalankan dan diamalkan.
2. ...menghadapi tekanan apabila pasangan tidak mahu bertanggungjawab...Hilang pertimbangan dalam mencari keputusan menentukan kelahiran bayi yang dikandungnya...Malu kepada ibu bapa, keluarga , rakan-rakan dan jiran.
3. Sentiasa memantau anak-anak sewaktu melayari internet...Memasukkan kata laluan supaya anak-anak tidak boleh melayari internet tanpa pengetahuan ibu bapa...Memastikan anak-anak supaya tidak melayari perkara-perkara yang buruk dalam internet...Menggunakan perisian khas yang dapat menghalang anak-anak melayari laman web pornografi.

0 comments: