Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor dadah mesti diperangi dan rintangannya.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Bahaya yang berpunca daripada ancaman dadah diakui oleh beberapa banyak pihak tetapi langkah pencegahannya agak terkebelakang berbanding dengan penularannya. Oleh sebab itu, baru-baru ini kerajaan dan agensinya telah melancarkan perang besar-besaran menentang dadah di Malaysia. Kempen yang dikenal sebagai “Enam Jahanam” itu ditujukan kepada penghapusan heroin, morfin, syabu, pil ecstasy, ganja, dan candu kerana keenam-enam jenis dadah itulah yang paling banyak disalahgunakan oleh pebagih di negara ini. Perang besar menentang dadaj ini akan berterusan sehingga semua jenis dadah itu dapat dihapuskan penyalahgunaannya.
Kita telah memerangi dadah lebih daripada 20 tahun menerusi pelbagai kempen dan seminar tetapi kejayaannya belum ketara. Menurut laporan pihak berkuasa, sejumlah 274923 penagih dadah dapat dikesan sejak tahun 1998 sehingga Januari lalu di negara ini.Hal yang menyedihkan daripada angkara dadah ialah penagih-penagihnya membabitkan anak muda dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun, selain penagih berusia 13 hingga 18 tahun. Tenaga-tenaga muda ini kalau dimanfaatkan akan menjadi aset negara yang sangat berharga. Namun demikian, dadah telah melalaikan mereka daripada menyertai pertubuhan belia dan sukan yang membolehkan mereka menggunakan masa lapang sebaik-baiknya melalui kegiatan yang sihat dan bermakna ini. Kita begitu gembira kalau golongan muda ini dapat hidup dengan sihat dan selamat serta disayangi semua orang. Namun demikian, mereka terbabit dalam kes penagihan dadah , maka hal tersebut membuatkan keluarga mereka menderita dan hidup tidak keruan.
Penagih dadah hidup bagaikan bangkai bernyawa dan tidak dapat menyumbang tenaga untuk pembangunan negara. Sehubungan dengan itu, sewajarnyalah kita mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam musibah yang sangat berbahaya ini. Tambahan pula, kepuasan yang dirasai daripada perbuatan menagih dadah itu sekejap sahaja, sedangkan penderitaannya berpanjangan. Sesiapa yang sudah terjebak dalam kancah penagihan dadah mestilah berazam untuk meninggalkannya dengan berusaha mengubati ketagihannya.
Perkara yang tidak dapat diabaikan ialah penagihan dadah akan membawa masalah lain termasuk jangkitan HIV dan AIDS dan penagih mudah terlibat dalam perlakuan jenayah. Dalam usaha membanteras dadah, kerajaan telah berikrar akan bekerja kuat memeranginya, yang tinggal hanyalah sokongan rakyat terhadap usaha serius kerajaan menjadikan Malaysia negara yang bebas daripada dadah menjelang tahun 2015.
Kita tetap menerima hakikat bahawa bukanlah suatu tugas mudah untuk memulihkan penagih dadah. Apabila sudah ketagih mangsanya akan terus menagih dadah dan menderita sepanjang masa melainkan ada kekuatan sebenarnya dalam jiwa orang itu untuk memeranginya. Melalui kerja keras pelbagai pihak yang disertai izin Tuhan, kita berharap agar negara kita dapat merungkaikan diri daripada terus menjadi mangsa dadah. Kita tetap berdoa mudah-mudahan masalah ini tidak akan menghantui kita dalam masa 10 tahun dari sekarang.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Kerajaan Mengajak Rakyat Memerangi Dadah, oleh Misiah Taib, Berita Harian, 1 Mac 2005)
1. Terangkan maksud langkah pencegahannya agak terkebelakang berdasarkan petikan tersebut. 2m
2. Apakah harapan kita terhadap golongan muda di negara ini? 3m
3. Jelaskan punca-punca yang memungkinkan golongan muda terjebak ke dalam kancah penyalahgunaan dadah? 4m
SKEMA PEMARKAHAN:
P:Petikan membincangkan punca-punca dadah mesti diperangi.
Isi tersurat (Punca dadah harus diperangi)
S1: Terdapat 6 jenis dadah paling banyak disalahgunakan oleh penagih di negara ini.
S2: Penagih-penagih dadah membabitkan golongan remaja dan belia
S3: Dadah telah melalaikan mereka daripada menyertai pertubuhan belia dan sukan
S4: Penagihan dadah akan menjadikan keluarga menderita dan tidak keruan hidup mereka.
S5: Penagih dadah hidup bagai bangkai bernyawa dan tidak dapat menyumbang tenaga untuk membangunkan negara
S6: Kepuasan yang dirasai daripada menagih dadah itu seketika Cuma, tetapi penderitaannya berpanjangan.
S7: Penagihan dadah menimbulkan masalah jangkitan AIDS dan perlakuan jenayah
S8: Ketagihan dadah menjadikan mangsa dadah terus menagih dan menderita sepanjang masa.
Isi Tersirat (Rintangannya)
T1: Sindiket dadah bergerak secara terancang dan sistematik
T2: Anggota sindiket menggunakan alat perhubungan yang canggih untuk memantau intipan pihak penguat kuasa
T3: Perniagaan dadah sangat menguntungkan sehingga pihak yang terlibat tidak takut akan hukuman
T4: Kita masih kekurangan kakitangan penguat kuasa yang benar-benar terlatih dalam bidang pencegahan dadah
T5: Penagih yang sudah menjalani rawatan akan kembali menagih dadah
T6: Masyarakat enggan menerima penagih yang insaf lalu mereka kembali menagih dadah
T7: Masyarakat tidak mengambil iktibar akibat penagihan dadah
Kesimpulan: Setiap anggota masyarakat negara ini hendaklah membantu pihak berkuasa membasmi dadah agar negara kita bebas daripada ancamannya.
Soalan pemahaman:
1. ...usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak seiring dengan cara dadah merebak dalam kalangan masyarakat
2. ...dapat menggunakan masa lapang dengan baik...dapat menyertai kegiatan yang sihat dan bermakna...dapat hidup dengan sihat dan selamat...mereka disayangi oleh semua orang...menjadi aset negara yang berharga
3. ...sikap ingin mencuba...dipengaruhi oleh kawan-kawan...menganggap dadah dapat membantu mereka melepaskan diri daripada tekanan...dianiayai oleh pihak tertentu
Saturday, April 24, 2010
Rumusan: faktor-faktor dadah harus diperangi
Posted by eranis at 2:34 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment