Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca penderaan kanak-kanak dan kesannya terhadap golongan ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kes penderaan kanak-kanak seolah-olah sudah menjadi perkara biasa di negara kita. Kejadian yang menimpa Mohd. Hafiz dan Balasundram seperti yang dipaparkan melalui media massa pada suatu ketika dahulu merupakan salah satu peristiwa ngeri yang menimpa kanak-kanak sejak kebelakangan ini. Kanak-kanak yang diibaratkan seperti kain putih telah menjadi mangsa penderaan oleh orang yang tidak bertanggungjawab sama ada penderaan secara seksual, fizikal, mahupun mental.
Masalah kekeluargaan yang berkaitan dengan masalah kewangan keluarga, krisis rumah tangga seperti pertengkaran dan penceraian ibu bapa dikenal pasti sebagai punca utama ibu bapa sering hilang kewarasan akibat tekanan emosi yang terlalu kuat. Anak-anak pula dianggap membebankan lagi masalah mereka. Tanpa pertimbangan yang wajar mereka menjadikan si kecil sebagai tempat untuk melepaskan perasaan geram mereka.
Selain itu, terdapat dalam kalangan ibu bapa yang tidak mempunyai pengetahuan agama yang boleh dijadikan panduan bagi mendidik anak-anak. Keadaan yang sedemikian menyebabkan mereka tidak mengerti tanggungjawab seorang ibu atau bapa. Dalam perkataan lain, mereka tidak dapat menilai erti kasih sayang yang sebenar. Mendengar tangisan anak-anak sahaja dianggap bunyi ‘halilintar’ lantas anak-anak yang tidak berdosa itu didera dengan sewenang-wenangnya. Mereka yang ‘kurang siuman’ ini kelihatan begitu puas apabila dapat melepaskan perasaan geram terhadap anak-anak mereka.
Sebenarnya,setiap kanak-kanak berhak mendapatkan kasih sayang, pemakanan seimbang serta pelajaran yang secukupnya untuk mencapai perkembangan mental dan fizikal yang sempurna.Oleh hal yang demikian, langkah-langkah pencegahan amat diperlukan daripada semua pihak. Dalam hal ini, kempen-kempen diadakan supaya kesedaran dapat disemai dalam diri masyarakat tentang tanggungjawab masing-masing. Ceramah-ceramah hendaklah dipergiatkan bagi menimbulkan rasa penghargaan terhadap anak-anak yang dianugerahi Tuhan.
Masyarakat Malaysia harus sedar bahawa penderaan kanak-kanak merupakan satu amalan yang terkutuk dan tidak sepatutnya berlaku pada zaman yang bertamadun ini. Kita semua mengharapkan anak-anak dididik dan dipelihara dengan sempurna supaya mereka dapat memegang teraju pemerintahan negara pada masa hadapan. Dengan kesedaran semua pihak diharapkan hasrat ‘Masyarakat Penyayang’ dan Wawasan 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.
(diubahsuaikan daripada Masyarakat Penyayang?: Suatu Tinjauan oleh Baharom Basyah, Utusan Malaysia, Mei 2004)
1. Berikan maksud perumpamaan diibaratkan seperti kain putih. 2m
2. Apakah tujuan kempen dan ceramah tentang isu penderaan kanak-kanak diadakan? 3m
3. Sebagai anggota masyarakat, apakah tindakan yang boleh diambil bagi memastikan undang-undang berkaitan penderaan dapat diatasi dengan berkesan? 4m
Skema Jawapan
P: Petikan membincangkan sebab-sebab/faktor-faktor penderaan kanak-kanak
Isi Tersurat (punca-punca penderaan)
S1: Masalah kekeluargaan yang berkaitan dengan masalah kewangan
S2: Ibu bapa hilang kawalan akibat tekanan emosi yang terlalu kuat
S3: Ibu bapa menganggap anak-anak membebankan
S4: Ibu bapa tidak mempunyai pengetahuan agama sebagai panduan mendidik anak-anak
S5: Terdapat juga ibu bapa yang ‘kurang siuman’ berasa puas apabila melakukan penderaan terhadap anak-anak mereka.
Isi tersirat (kesan-kesan)
T1: Anak-anak yang didera akan mengalami kecederaan dari segi fizikal
T2: Penderaan akan meninggalkan kesan yang buruk terhadap psikologi anak-anak.
T3: Perkembangan mental anak-anak akan terganggu
T4: Mereka membesar dengan penuh sifat dendam
T5: Mereka mungkin melakukan perbuatan yang sama kepada anak-anak mereka pada masa hadapan.
Kesimpulan: Isu penderaan haruslah dibanteras demi melahirkan masyarakat penyayang
Pemahaman:
1. ...tidak mengerti apa-apa dan mempunyai jiwa yang bersih
2. ...memberikan kesedaran kepada ibu bapa...Agar ibu bapa memahami tanggungjawab mereka...Menimbulkan rasa penghargaan terhadap anak-anak mereka
3. ...Melaporkan kejadian kepada pihak polis...Memberi teguran kepada pendera dengan baik...Memaklumkan kes kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat...Menyelamatkan mangsa daripada terus didera.
Saturday, April 17, 2010
Rumusan:Punca-punca penderaan
Posted by eranis at 4:09 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment