BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan:isu kanak-kanak hilang

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah kanak-kanak hilang di pusat beli-belah dan peranan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kehilangan anak atau anak terlepas daripada pandangan ibu bapa ketika membeli-belah kerap berlaku. Dalam kesibukan ibu bapa berbelanja, ada kalanya mereka terlupa atau sengaja membiarkan anak berkeliaran. Mengikut perangkaan dalam tempoh Januari hingga April 2006 sebanyak 303 orang kanak-kanak hilang di seluruh negara dengan hanya sebanyak 176 orang kanak-kanak ditemui semula. Bagaimanapun, Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan bahawa kurang kesedaran terhadap Akta Kanak-Kanak 2001 menjadi punca banyak kanak-kanak hilang daripada jagaan dan gagal ditemui hingga kini.

Kita percaya gejala anak hilang itu dapat dielakkan jika penjaga sentiasa berwaspada walau dalam keadaan apa sekalipun. Keadaan akan lebih berisiko jika kanak-kanak berkenaan terdedah dengan persekitaran orang ramai tanpa pengawasan orang dewasa. Pada musim perayaan misalnya, ibu bapa begitu sibuk dengan aktiviti membeli-belah sehingga tidak sedar anak-anak tiada di samping atau diambil oleh orang lain. Sepatutnya, rakyat di negara ini perlu mengubah sikap mereka yang suka membuat persiapan pada saat-saat akhir. Apalah salahnya jika ibu bapa merancang lebih awal membeli pakaian, iaitu sebelum musim perayaan bermula.

Di Lembah Klang hanya terdapat 14 buah pusat beli-belah yang menyediakan kawasan permainan kanak-kanak dan kurang satu peratus dilengkapi dengan kamera litar tertutup(CCTV). Oleh yang demikian, cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengintegrasikan semua CCTV yang dipasang di ibu kota dan Putrajaya di bawah satu pusat kawalan ialah satu langkah positif. Langkah yang diambil oleh pihak berkuasa itu merupakan suatu alternatif untuk mengurangkan sebarang risiko kejadian bentuk jenayah. Masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan prihatin terhadap sebarang kes kehilangan anak dengan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun yang lebih utama ialah sikap ibu bapa dan penjaga yang sentiasa mengawal anak mereka merupakan penawar yang paling mujarab dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada Berita Harian, Oktober 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata ‘wajar menjalankan tanggungjawab sosial’. 2m
2. Mengapakah kehilangan kanak-kanak meningkat pada musim perayaan? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah untuk mendidik ibu bapa agar lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak? 4m

SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan cara-cara untuk mengatasi masalah kanak-kanak yang hilang.
Isi tersurat ( langkah-langkah)
S1 : Penjaga sentiasa berwaspada walau dalam apa-apa keadaan sekalipun
S2: Rakyat di negara ini mengubah sikap kebiasaan mereka yang suka membuat persiapan pada saat-saat akhir
S3: Ibu bapa yang cenderung membeli-belah pada saat akhir lebih elok jika mereka pergi awal ke tempat yang hendak dituju
S4: Gedung beli-belah juga wajar menjalankan tanggungjawab sosial dengan menyediakan tempat permainan yang selamat dan dikawal ketat
S5: Cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengintegrasikan semua CCTV yang dipasang di ibu kota dan Putrajaya di bawah satu pusat kawalan.
S6: Masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan prihatin terhadap sebarang kes kehilangan anak dengan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa.
S7: Sikap ibu bapa dan penjaga yang sentiasa mengawal anak dalam memastikan keselamatan anak-anak terjamin
Isi tersirat ( peranan pihak berkuasa)
T1: Mensyaratkan pusat beli-belah memasang CCTV di premis perniagaan mereka
T2: Mengenakan tindakan yang tegas terhadap ibu bapa yang cuai
T3: Menempatkan beberapa orang polis di setiap pasar raya besar
T4: Menguatkuasakan peraturan yang ada dalam Akta Kanak-Kanak 2001
Kesimpulan: Semua pihak harus berganding bahu dalam membanteras masalah ini agar kes kehilangan kanak-kanak di pusat beli-belah dapat dikurangkan

Pemahaman:
1. ...perlu melaksanakan kewajipan untuk kepentingan masyarakat
2. ...Ibu bapa atau penjaga leka membeli-belah...Keadaan pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai...Tiada pusat jagaan kanak-kanak di pusat beli-belah
3. ...Menguatkuasakan hukuman ke atas ibu bapa yang cuai seperti termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001...Melalui ceramah atau kempen kesedaran agar ibu bapa lebih prihatin...Peranan iklan dalam media massa memaparkan risiko apabila kanak-kanak hilang...Tayangan drama atau filem yang memperlihatkan peristiwa kanak-kanak hilang yang boelh dijadikan pengajaran.

0 comments: