Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang perkara yang bertentangan dengan undang-undang dari aspek penjualan ubat batuk dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kegiatan penyalahgunaan ubat batuk untuk melepaskan ketagihan dalam kalangan remaja amat membimbangkan kerana bahan tersebut mudah diperoleh di pasaran termasuk di klinik-klinik swasta. Beberapa klinik swasta di ibu kota, terutamanya di sekitar Sentul, Cheras, dan Jalan Tunku Abdul Rahman menjual ubat batuk secara bebas kepada sesiapa sahaja, terutamanya remaja.
Pelanggan yang ingin membeli ubat batuk mudah memperoleh bahan tersebut tanpa perlu memberi sebarang keterangan atau menunjukkan surat doktor. Lebih mengejutkan apabila pembantu perubatan bersedia menjual ubat batuk dalam jumlah yang banyak tanpa sebarang surat pengesahan. Golongan remaja yang kebanyakannya penagih dadah membeli ubat batuk pada waktu antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam. Ubat-ubat batuk tersebut dijual antara RM12 hingga RM 15 dan klinik-klinik memperoleh keuntungan yang besar melalui penjualan kerana harga asal ubat batuk jauh lebih murah. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah doktor di klinik swasta yang menjual ubat batuk secara bebas kepada remaja telah menggalakkan kegiatan penyalahgunaan ubat batuk.
Walaupun peraturan perubatan menetapkan bahawa ubat batuk hanya boleh dijual selepas mendapat pengesahan doktor, namun sesetengah pengurusan klinik swasta mengabaikan peraturan sedia ada. Ubat batuk hanya digunakan oleh pesakit yang mengalami selesema atau batuk mengikut dos yang ditetapkan dan bukannya meminum sebotol ubat batuk sekali gus. Pengambilan ubat batuk yang melebihi dos dapat menyebabkan seseorang itu khayal atau mengantuk dan dalam jangka panjang menyebabkan ketagihan. Ada juga remaja yang bertindak berani apabila mencampurkan ubat batuk tersebut dengan dadah morfin bagi memastikannya lebih kuat.
Terdapat juga sesetengah pembeli dan pengedar ubat batuk menggunakan taktik lain bagi mengabui mata kakitangan klinik swasta yang berwaspada menjual ubat batuk. Antara taktik yang digunakan adalah dengan mengupah orang lain membeli ubat tersebut dengan upah yang setimpal bagi memastikan kegiatan mereka tidak dikesan oleh pihak berkuasa.Penyeludup yang tinggal bersempadan dengan negara jiran juga berani bertindak membolosi sempadan negara bagi menyeludup ubat batuk disebabkan permintaannya yang tinggi sejak kebelakangan ini.
Kita tidak boleh membiarkan masalah ini terus berlaku atau membiarkan pihak kerajaan menangani masalah ini secara sendirian. Masalah penyalahgunaan ubat batuk ini hanya dapat diatasi jika semua pihak berganding bahu dan meningkatkan usaha pemantauan terhadap penjualan ubat batuk sama ada di klinik-klinik swasta atau di pasaran gelap.
1. Apakah maksud rangkai kata mengabui mata dalam petikan? 2m
2. Siapakah golongan yang sering membeli ubat batuk? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan penjualan ubat batuk? 4m
SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan sesuatu yang bertentang dengan undang-undang dari aspek penjualan ubat batuk oleh klinik swasta kepada remaja
Isi tersurat (penyalahgunaan )
S1:Klinik swasta menjual ubat batuk kepada sesiapa sahaja secara bebas
S2: Pengguna mudah memperoleh ubat batuk tanpa memerlukan pengesahan doktor
S3: Pembantu perubatan menjual ubat batuk dalam kuantiti yang banyak
S4: Menjual ubat batuk dengan harga yang mahal
S5: Sesetengah pengurusan klinik swasta mengabaikan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan
Isi tersirat ( kesan-kesannya)
T1: Perbuatan dokror klinik swasta banyak menyebabkan remaja ketagih minum ubat batuk
T2: Mencemarkan nama baik profesion doktor dan bidang perubatan
T3: Menggalakkan penyeludupan ubat batuk dari negara luar
T4: Harga ubat batuk meningkat dan hal ini menyusahkan pengguna lain
Kesimpulan: Masalah penyalahgunaan ubat batuk oleh klinik-klinik swasta perlu dipantau dan dibasmi segera oleh kerajaan.
Soalan pemahaman
1. ...memperdaya.mengelirukan/menyesatkan pandangan
2. ...remaja...pesakit yang mengalami selesema atau batuk...pengedar ubat batuk
3. ...Jabatan Kesihatan memantau kegiatan penjualan ubat batuk di klinik swasta...mengenakan hukuman yang berat kepada pengedar ubat batuk...Aduan masyarakat sekeliling...kerjasama ibu bapa yang terlibat untuk membuat aduan...
Friday, April 23, 2010
Rumusan: isu penjualan ubat batuk
Posted by eranis at 9:15 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment