BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan:Kualiti penjagaan kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cadangan meningkatkan kualiti penjagaan kanak-kanak dan masalah yang wujud.Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kerajaan bercadang memberi subsidi yuran sebanyak RM180.00 sebulan kepada keluarga yang berpendapatan rendah untuk menghantar anak mereka ke taska komuniti yang akan ditubuhkan selewat-lewatnya tahun depan, memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan kepada semua rakyat tanpa menyisihkan mana-mana kelompok. Usaha ini disambut oleh ibu bapa kerana kebanyakan taska swasta mengenakan bayaran antara RM250.00 hingga RM350.00 sebulan sebagai upah menjaga seorang kanak-kanak. Bagi keluarga yang besar, bayaran tersebut amat membebankan mereka kerana mereka terpaksa menanggung perbelanjaan sekolah dan menyediakan keperluan seharian.

Melalui langkah yang diambil, kerajaan dapat memastikan semua kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat khidmat pengasuh yang terbaik ketika ibu bapa mereka bekerja. Perlu diakui kebanyakan taska yang ada di negara ini tidak mempunyai sistem yang teratur menyebabkan kanak-kanak yang diasuh tidak dijaga dengan sempurna. Mereka yang ditugaskan pula tidak mempunyai latihan dan kemahiran dalam penjagaan awal kanak-kanak Terdapat pula taska yang tidak mempunyai lesen menyebabkan tidak dapat dipantau perjalanan taska tersebut oleh pihak berkuasa. Jika dibandingkan dengan negara maju, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sistem penjagaan awal kanak-kanak di negara ini masih jauh ketinggalan.Oleh itu, kerajaan mahu memastikan penjagaan kanak-kanak diberi perhatian yang serius terutama bagi mencapai matlamat yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Bagi memastikan penubuhan taska komuniti berjaya, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa untuk mengawasi dan menilai standard penjagaan kanak-kanak yang disediakan di taska, selain menetapkan prosedur yang lebih teratur untuk mendapatkan lesen penubuhan dan pendaftaran taska. Malah jawatankuasa di bawah Kementerian Pelajaran perlu dibentuk untuk membina kurikulum yang sesuai dengan tahap usia kanak-kanak di taska. Hal ini dilakukan dengan mengelakkan pembelajaran hanya tertumpu tahu membaca dan menulis, sedangkan kemahiran tersebut akan dipertekankan ketika berada di sekolah rendah kelak. Untuk tindakan jangka panjang, kerajaan perlu menubuhkan badan permuafakatan daripada deretan taska yang bercambah di taman perumahan untuk memudahkan kerajaan memberi pendedahan maklumat terkini.

Bagi ibu bapa, tanggapan terhadap fungsi sebenar taska perlu diubah kerana taska bukan sekadar tempat menjaga anak ketika keluar bekerja, tetapi merupakan tempat pusat penjagaan bagi perkembangan awal kanak-kanak dari segi sosio-emosi, kognitif, jasmani, dan rohani bagi melahirkan individu bersahsiah dan berpotensi tinggi. Bagi mencapai matlamat tersebut, taska perlu menyediakan penjagaan dan pendidikan yang bermutu. Ibu bapa pula hendaklah memantau mutu yang diberikan pihak pengusaha sejajar dengan bayaran, bukan hanya menyerahkan bulat-bulat. Bagi pihak pengusaha taska pula, sama ada di bawah naungan kerajaan atau diuruskan pihak swasta, perlu memastikan mutu penjagaan terus ditingkatkan sejajar dengan perkembangan semasa. Hal ini penting kerana kanak-kanak hari ini merupakan pencorak masa depan negara, yang apabila mereka dewasa kelak sudah tersedia Wawasan 2020.
(dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana pengarang Mutu Penjagaan Kanak-kanak Perli Dipertingkat, Berita Harian,27 Ogos 2005)

1. Terangkan maksud rangkai kata menyisihkan mana-mana kelompok. 2m
2. Nyatakan kelemahan yang berlaku di pihak taska. 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah banyak tempat kerja menyediakan taska di premis mereka? 4m

SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan mutu penjagaan kanak-kanak
Isi tersurat (usaha-usaha)
S1: Kerajaan bercadang memberi subsidi yuran sebanyak RM180.00 sebulan kepada keluarga yang berpendapatan rendah.
S2: Keluarga berpendapatan rendah mendapat khidmat pengasuh yang terbaik.
S3: Kerajaan memastikan penjagaan kanak-kanak diberi perhatian yang serius.
S4: Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa untuk mengawasi dan menilai standard penjagaan kanak-kanak.
S5: Kerajaan menetapkan prosedur lebih teratur untuk mendapatkan lesen penubuhan dan pendaftaran taska.
S6: Kementerian Pelajaran membina kurikulum yang sesuai dengan tahap usia kanak-kanak di taska.
S7: Kerajaan perlu menubuhkan badan permuafakatan daripada deretan taska.
S8: Taska menyediakan penjagaan dan pendidikan yang bermutu.
S9: Ibu bapa memantau mutu yang diberikan pihak pengusaha sejajar dengan bayaran.
S10: Pengusaha taska perlu memastikan mutu penjagaan terus ditingkatkan.
Isi tersirat (Masalah)
T1: Pengusaha taska hanya memikirkan keuntungan
T2: Ibu bapa tidak prihatin terhadap mutu taska
T3: Cadangan kerajaan lambat dilaksanakan di peringkat bawahan
T4: Pengusaha taska tidak mahu bermuafakat dengan taska yang lain dalam meningkatkan kualiti taska
Kesimpulan: Ibu bapa perlu menekankan mutu pelajaran anak-anak sejak mereka di taska lagi agar masa depan mereka lebih terjamin.



Pemahaman:
1. ...meminggirkan golongan tertentu
2. ...Taska tidak mempunyai sistem yang teratur menyebabkan kanak-kanak yang diasuh tidak dijaga dengan sempurna...Mereka yang ditugaskan pula tidak mempunyai latihan dan kemahiran dalam penjagaan awal kanak-kanak... Taska tidak mempunyai lesen.
3. ...Memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka...Si ibu dapat memberi susu pada waktu rehat...Sebagai satu khidmat sosial kepada para pekerjanya yang mempunyai anak...Sebagai satu tarikan kepada mereka yang berkelayakan agar bekerja bersama syarikat tersebut.

0 comments: