BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 3, 2010

Rumusan penyakit kronik - pendermaan organ

Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang sebab-sebab masyarakat kurang menderma organ dan peranan media massa mengatasi masalah ini. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masyarakat kita tidak terdedah kepada perlunya menderma organ untuk orang lain yang memerlukan. Sebab itulah keinginan menderma organ tidak berputik dalam diri kita kerana kita tidak pernah dididik untukmenyumbangkan sebahagian daripada anggota tubuh kita apabila kita sudah meninggal dunia. Pendermaan organ dianggap mencederakan tubuh badan walaupun nyawa kita sudah tiada. Ketabahan hati remaja baharu baru berusia 14 tahun mengharungi liku-liku hidup sebagai pesakit jantung, telah menyentuh hati orang ramai. Hanya empat hari paparan kisahnya menjadi wadah media, Tee Hui Yee menerima perkhabaran gembira apabila keluarga seorang remaja Melayu berusia 15 tahun dari Sitiawan, Perak membenarkan jantung anaknya didermakan kepada Tee Hui Yee untuk meneruskan hidup.

Namun takdir Tuhan mengatasi segala-galanya, Tee Hui Yee sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung buat kali kedua dalam tempoh kurang 24 jam apabila badannya menolak jantung sebelum itu. Mujur, dalam tempoh itu ada seorang lagi rakyat Malaysia budiman sanggup mendermakan jantung anaknya berusia 20 tahun yang meninggal akibat kemalangan dari Johor Bahru, kepada Tee Hui Yee. Kisah Tee Hui Yee ialah cebisan kisah gembira di sebalik lautan duka bagi pesakit yang menunggu ihsan orang ramai untuk menderma organ. Menteri Kesihatan turut melahirkan perasaan kesal kerana walaupun banyak kemalangan maut setiap tahun, jumlah organ yang diselamatkan untuk didermakan terlalu sedikit berikutan bantahan keluarga yang enggan mendermakan organ mangsa.

Namun, kebanyakannya tidak dapat didermakan berikutan sikap keluarga merasakan menderma organ bertentangan dengan agama. Sememangnya memperkatakan tentang pendermaan organ bukanlah satu perkara yang mudah di negara ini. Hal ini demikian kerana kesedaran dan kefahaman masyarakat berkaitan pendermaan organ masih lagi rendah walaupun sebenarnya ialah satu isu global. Polemik bahawa mayat itu akan terseksa dan tidak lengkap untuk kembali menghadap Tuhan jika organ mereka diambil seharusnya tidak berlaku. Salah faham tentang penderman organ ini juga wujud berikutan kebimbangan orang ramai bahawa doktor akan sambil lewa untuk menyelamatkan nyawa mereka kerana lebih berminat untuk mengambil organ mereka.

Hakikatnya, proses pendermaan organ tidak berlaku dengan mudah. Sebenarnya menderma organ masih lagi asing dalam masyarakat kita. Ramai yang tidak mahu menderma kerana merasakan takut mati cepat akibat terkena sumpahan. Semua ini kepercayaan yang karut. Kita akui, masyarakat tidak boleh dipaksa untuk menderma organ, namun kesedaran mungkin dapat mengubah mentaliti masyarakat yang seakan-akan terlalu takut menerima konsep ini. Kita berharap kes Tee Hui Yee menjadi titik permulaan untuk pendermaan organ terus subur di negara ini. Kerajaan terutama Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan kempen promosi dan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ. Bagi pihak yang menjaga hal ehwal agama Islam sama ada agensi kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil dengan lebih agresif memberikan pendidikan kepada umat Islam bahawa pendermaan organ tidak melanggar syariat Islam sebaliknya harus dilakukan seperti yang digalakkan sendiri dalam agama supaya kita melakukan kebajikan demi kesejahteraan manusia.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Ubah Mentaliti Takut Derma Organ” oleh Sazarina Shahrin, dalam Berita Harian, 8 Oktober 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata menjadi titik permulaan. 2m
2. Apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk memastikan lebih ramai masyarakat kita menderma organ? 3m
3. Pada pendapat anda, mengapakah kempen yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan tentang kepentingan menderma organ selama ini tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan? 4m













SKEMA JAWAPAN
Petikan membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan masyarakat kita kurang menderma organ
Isi tersurat : Faktor-faktor
S1: Masyarakat kita tidak terdedah kepada perlunya menderma organ untuk orang lain yang memerlukan.
S2: Tidak pernah dididik untuk menyumbangkan sebahagian daripada anggota tubuh kita apabila kita sudah meninggal dunia
S3: Mencederakan tubuh badan walaupun nyawa kita sudah tiada
S4: Bantahan keluarga yang enggan mendermakan organ mangsa
S5: Sikap keluarga merasakan menderma organ bertentangan dengan agama
S6: Kesedaran dan kefahaman masyarakat berkaitan pendermaan organ masih lagi rendah
S7: Mayat akan terseksa dan tidak lengkap untuk kembali menghadap Tuhan jika organ mereka diambil
S8: Kebimbangan orang ramai bahawa doktor akan sambil lewa untuk menyelamatkan nyawa
S9: Menderma organ masih lagi asing dalam masyarakat kita
S10: Tidak mahu menderma kerana merasakan takut mati cepat
Isi tersirat: Peranan media massa
T1: Media massa sering memaparkan orang yang memerlukan derma organ
T2: Paparan rencana akan kepentingan menderma organ selepas meninggal dunia
T3: Menangkis tanggapan negatif masyarakat yang tidak mahu menderma organ
T4: Bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan mengadakan kempen untuk menggalakkan masyarakat menderma organ
Kesimpulan: Kita hendaklah rela hati membuat perisytiharan untuk menderma organ tubuh kita apabila kita meninggal dunia agar dapat membantu orang lain meneruskan kehidupan
Soalan pemahaman
1. …Langkah pertama sebelum langkah yang berikutnya
2. …kesedaran mungkin dapat mengubah mentaliti masyarakat yang seakan-akan terlalu takut menerima konsep ini…Kementerian Kesihatan perlu mempergiatkan kempen promosi dan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ… Bagi pihak yang menjaga hal ehwal agama Islam sama ada agensi kerajaan mahu pun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu tampil dengan lebih agresif memberi pendidikan kepada umat Islam bahawa pendermaan organ tidak melanggar syariat Islam.
3. …masyarakat kita kurang memberikan perhatian terhadap kempen-kempen yang dianjurkan oleh kerajaan…Kempen terlalu umum sehinggakan tidak berjaya mewujudkan kesedaran dalam jiwa orang ramai…Kempen hanya mengikut musim menyebabkan kewujudan kempen kurang disedari oleh masyarakat…Kempen hanya pemaparan menerusi media tanpa melibatkan sekolah dan agensi-agensi yang dekat dengan orang ramai.

0 comments: