BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, April 11, 2010

Komsas cerpen Ibu dan Ceper - Latihan 10

SOALAN 10

Kucintai Sungai Ceper sama seperti kucintai ibu. Ia bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar dan akhirnya membentuk dirinya sebagai sebuah sungai yang panjang berliku-liku membawa kejernihan yang benar-benar sejahtera dengan arus yang kuat mendukung ketenteraman. Pasir-pasir yang berbiji halus, batu-batu kerikil yang berkilat mengalir di bawah bersama ikan yang cergas.
Saling tidak tumpah seperti ibu yang rancak ke sana ke sini seperti air terjun. Ibu tidak boleh tinggal diam sepanjang hari, sama seperti air Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan, menampar tebing yang berselekoh, memasuki lubuk-lubuk yang dalam.
Ibu juga bergerak di mana saja dia berada.Kalau di baruh, ibulah yang menajak dan menyisir selut. Ibulah yang pikul gemal dan tanam benih-benih itu dengan tulang empat kerat ibu yang tidak pernah tidak bermaya itu.Kelak ibulah yang mengejar burung apabila padi menguning. Dan ibu jugalah yang menuai apabila padi masak sampai habis gemal-gemal itu dijunjung naik masuk jelapang.
Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru sja lepas dari busurnya. Dan pancutan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya, bersama anak-anak dan bapa-bapa udang…

(Dipetik daripada cerpen ‘Ibu dan Ceper’ oleh Shahnon Ahmad dalam Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka,2009, hal .99)

i. Berdasarkan petikan, apakah maksud baris tulang empat kerat ibu yang tidak pernah tidak bermaya itu? 2m
ii. Pada pendapat anda, apakah persamaan antara ibu dan Sungai Ceper? 3m
iii. Huraikan perwatakan ibu berdasarkan cerpen ini. 4m






















SKEMA JAWAPAN

I. Maksud frasa ialah ibu sentiasa mempunyai tenaga dan kekuatan untuk melakukan kerja

ii. - Kedua-duanya sama dicintai oleh penulis
- Ibu dan Sungai Ceper bermula dari satu titik air dan kemudian berkembang menjadi besar.
- Ibu dan Sungai Ceper juga rancak ke sana ke sini.

iii - Seorang yang gigih. Hal ini terbukti apabila pengarang mengatakan
bahawa tulang empat kerat ibu tidak pernah tidak bermaya
- Seorang yang mahir melakukan pelbagai kerja. Hal ini dapat dibuktikan apabila pengarang menyatakan bahawa ibu melakukan semua kerja seperti menajak sawah, memikul gemal, menghalau burung, dan mengangkut padi ke dalam jelapang.

0 comments: