BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 24, 2010

Rumusan: Usaha-usaha mengatasi penyalahgunaan pil khayal

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha yang dilakukan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja dan faktor-faktor yang mempengaruhi mereka.Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Zaman remaja merupakan suatu tempoh peralihan dari zaman kanak-kanak menuju zaman dewasa. Zaman remaja secara umumnya dikenali sebagai zaman ‘pancaroba’. Apatah lagi keadaan remaja yang penuh bersemangat, serba ingin tahu, belum sepenuhnya memiliki pertimbangan yang matang, mudah terumbang-ambing, mudah terpengaruh, nekad dan berani, beremosi tinggi, sering ingin mencuba, dan tidak mahu ketinggalan berbanding dengan rakan sebayanya merupakan faktor remaja terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sihat. Pada ketika inilah mereka merupakan kelompok yang paling mudah terjebak dengan penyalahgunaan pil khayal.

Di Malaysia, penyalahgunaan pil khayal masih dalam keadaan terkawal. Namun, jika tidak ditangani dengan bijaksana, tidak mustahil masalah ini akan semakin membiak dan mampu meruntuhkan masa depan remaja di Malaysia. Dalam hal ini ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Sebelum masalah remaja yang terbabit dengan masalah ini benar-benar serius wajarlah semua pihak bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Andainya sudah terjerumus tentu sukar untuk dipulihkan, malah menuntut kos yang tinggi pula.

Ibu bapa seharusnya mengawasi pergaulan anak-anak mereka secara lebih terperinci agar anak-anak mereka tidak terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak diingini. Sejak kecil lagi anak-anak harus diberi penekanan tentang kehidupan beragama agar mereka dapat melalui liku-liku hidup dengan mengikuti jalan yang betul. Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat hendaklah mewujudkan komunikasi yang harmonis antara remaja agar mereka tidak berasa disisihkan. Remaja juga harus digalakkan menyertai aktiviti lasak dan bersukan agar tenaga muda mereka berfokus kepada sesuatu aktiviti. Selain itu, ibu bapa juga berperanan untuk memberi dorongan terhadap mana-mana hobi yang diceburi anak mereka sama ada di sekolah, di rumah atau dalam aktiviti kemasyarakatan setempat.

Ibu bapa juga berperanan dalam mendidik remaja mengenal pasti gaya hidup sihat dan mampu menangkis pengaruh atau pujukan untuk menggunakan pil-pil khayal tersebut. Segala masalah yang dihadapi oleh remaja hendaklah diselesaikan secara positif dan konstruktif. Dengan pelbagai usaha tersebut semoga kalangan remaja terhindar daripada penyalahgunaan pil khayal yang terlarang. Semoga zaman remaja akan dapat dilalui dengan baik demi masa depan yang gemilang.
(Diubahsuaikan daripada Penyalahgunaan Pil Khayal dalam Kalangan Remaja, Dewan Siswa. Januari 2004)

1. Berikan maksud rangkai kata zaman ‘pancaroba’ seperti terdapat dalam petikan. 2m
2. Mengapakah sesetengah remaja suka mengambil pil khayal? 3m
3. Pada pendapat anda, apakah kesan buruk terhadap pengambilan pil khayal ini? 4m
SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan langkah-langkah mengatasi masalah penyalahgunaan pil khayal dalam kalangan remaja
Isi tersurat ( Langkah-langkah)
S1: Semua pihak bertindak mengikut kemampuan masing-masing
S2: Ibu bapa mengawasi pergaulan anak-anak secara menyeluruh
S3: Anak-anak diberi penekanan dalam aspek agama
S4: mewujudkan komunikasi harmonis dengan remaja dalam aktiviti kemasyarakatan
S5: Remaja menyertai aktiviti lasak dan bersukan
S6: Mendidik remaja mengenal pasti gaya hidup sihat
S7: Masalah diselesaikan secara positif dan konstruktif
Isi tersirat (faktor-faktor)
T1: Tidak dapat membezakan antara yang haram dan yang halal
T2: pengaruh rakan sebaya
T3: Ingin melupakan segala masalah dan tekanan yang dihadapi.
Kesimpulan: Semua pihak harus memainkan peranan yang penting dalam usaha mengatasi masalah penyalahgunaan pil khayal ini supaya dapat melahirkan generasi yang bersih dan bertanggungjawab
Soalan pemahaman:
1. ...masa atau keadaan yang penuh masalah/dugaan/cabaran
2. ...untuk menghilangkan masalah/tekanan yang dihadapi...pengaruh rakan sebaya...ingin mencuba sesuatu yang baharu
3. ...terpaksa membelanjakan wang yang bayak kerana harga mahal...akan terdedah kepada pelbagai gejala negatif...berhadapan dengan masa depan yang gelap...merosakkan tubuh badan kerana banyak bahan kimia.

0 comments: