Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian buat suatu rumusan tentang kesan penggunaan ubat terhadap warga tua dan langkah-langkah mengatasinya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Golongan warga tua sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, lemah jantung, dan sebagainya. Untuk mengubati penyakit ini, sesetengah daripada mereka mengambil antara tiga hingga lapan jenis ubat. Ubat berkenaan terpaksa dimakan sepanjang hayat. Keadaan ini mendedahkan warga tua pada kemudaratan jangka panjang ubat-ubatan yang digunakan.
Sesetengah daripada golongan ini mengambil produk farmaseutikal tambahan seperti vitamin dan mineral atau produk nutraseutikal dan tradisional untuk mencegah penyakit dan mengekalkan kesihatan. Penyalahgunaan produk tersebut akan membawa implikasi kepada negara dari segi kos penjagaan kesihatan yang tinggi kepada golongan ini. Namun begitu, hal ini merupakan fenomena global terutamanya di negara maju dan negara membangun. Tumpuan sektor farmaseutikal adalah untuk mencari dan mengusahakan penawar bagi mengubati penyakit-penyakit kronik. Oleh itu, banyak ubat baru dan inovatif yang telah dibangunkan. Hasilnya, kematian akibat daripada penyakit kronik dapat dikurangkan. Hal ini bukan bermaksud bahawa kita boleh menentang takdir kerana jika sudah tiba ajal maka mereka akan meninggal dunia juga. Pihak berkenaan hanya berikhtiar untuk membantu warga tua menjalani kehidupan dalam keadaan yang lebih selesa. Perkara yang menimbulkan simpati kita kepada golongan ini apabila warga tua sakit dan berlaku pengambilan ubat yang salah hingga menyebabkan mereka terlantar dan pergerakan mereka untuk melakukan aktiviti harian menjadi terhad.
Walaupun kita tidak dapat menolak hakikat bahawa warga tua berdepan dengan proses penuaan yang menyebabkan seseorang itu menjadi tua dari segi umur malah melibatkan proses perubahan fisiologi, fizikal, emosi, mental, dan sosial, namun semua faktor ini akan mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan golongan tua. Proses penuaan menjadikan fungsi sistem-sistem organ dalam badan berkurang apabila umur kian meningkat. kesemua faktor ini menjelaskan punca warga tua terpaksa bergantung pada pengambilan pelbagai jenis ubat. Sekalipun ubat yang diambil oleh warga tua sama seperti yang diambil oleh orang muda, tetapi kesannya berbeza kerana fungsi sistem organ semakin berkurang apabila seseorang itu semakin tua. Jika sisa ubat yang diambil itu tidak boleh dibuang dengan berkesan dan dibiarkan tinggal lama di dalam badan, maka ubat-ubatan itu akan memberikan kesan dos yang berlebihan. Umpamanya, warga tua yang mengambil ubat untuk mengawal fungsi jantung atau peredaran darah akan terdedah pada penyakit angin ahmar (strok) atau serangan jantung.
Warga tua ialah subpopulasi masyarakat yang perlu diberi perhatian khusus oleh setiap lapisan masyarakat, pakar kesihatan, keluarga, kerajaan, dan masyarakat umum. Mereka mengalami penyakit kronik dan mengambil pelbagai jenis ubat dan terdedah pada bermacam-macam bahaya.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana “Warga Tua Perlu Waspada Terhadap Ubat” oleh Dr. Mohammad Izham Mohamed Ibrahim, Dewan Kosmik, Mac. 2002)
1. Berikan maksud rangkai kata merupakan fenomena global. 2m
2. Mengapakah warga tua mengalami kesan ubat yang diambil berbanding dengan orang muda? 3m
3. Pada pandangan anda, apakah punca-punca penyakit kronik yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini? 4m
SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan implikasi ubat-ubatan yang digunakan
Isi tersurat: Kesan
S1: Warga tua terdedah pada mudarat jangka panjang ubat-ubatan yang digunakan
S2: Penyalahgunaan ubat membawa implikasi kepada negara dari segi kos penjagaan kesihatan yang tinggi bagi warga tua
S3: Kematian warga tua yang berpunca daripada penyakit kronik dapat dikurangkan
S4: Pengambilan ubat yang salah menyebabkan mereka terlantar dan terhad untuk melakukan aktiviti harian.
S5: Sisa ubat yang diambil dan dibiarkan lama-lama di dalam badan akan memberikan kesan dos yang berlebihan
S6: Mereka terdedah pada pelbagai ancaman
Isi Tersirat: Langkah
T1; Warga tua mengambil ubat yang betul-betul diperlukan sahaja
T2: Warga tua mengamalkan diet yang seimbang untuk mengelakkan pengambilan ubat yang terlalu banyak
T3: Warga tua mengamalkan senaman yang sesuai dengan peringkat umur mereka
T4: Warga tua beralih menggunakan ubat tradisional sebagai alternatif kepada ubat moden.
Kesimpulan: Pakar perubatan wajar prihatin terhadap warga tua agar mereka tidak terus bergantung hidup pada ubat sahaja
Soalan pemahaman:
1. …menjadi hal atau perkara yang berlaku di seluruh dunia
2. …fungsi sistem organ semakin berkurang/ menjadi lemah apabila tua…sisa ubat tertinggal dalam jangka masa yang lama di dalam badan…ubat-ubat itu meninggalkan kesan dos yang berlebihan
3. …Gaya hidup moden yang lebih mengutamakan makanan segera… kurang melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh…sejarah keluarga… pengambilan makanan yang tidak seimbang
Friday, April 2, 2010
Rumusan penyakit kronik - penggunaan ubat dalam kalangan warga tua
Posted by eranis at 10:36 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment