BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, April 23, 2010

Rumusan : Langkah menangani penyalahgunaan dadah

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah menangani masalah penyalahgunaan dadah dan punca-puncanya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Hampir 200 juta orang di seluruh dunia menggunakan dadah yang diharamkan. Di negara ini pula, kerajaan merekodkan seramai 300,241 pengguna dadah bergiat aktif antara tahun 1988 hingga 2006 dan 18.49 peratus daripadanya merupakan penghidap virus HIV positif. Berdasarkan data yang dikumpul oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 97.97 peratus terdiri daripada penagih lelaki dan selebihnya wanita.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dunia, diwujudkan Hari Antidadah Kebangsaan (HADA) yang diadakan pada setiap tahun. kempen tiga tahun oleh United Nation Office on Drug and Crime (UNODC) yang bertemakan ‘Adakah Dadah Kuasai Hidup Anda?’ telah dilancarkan bagi memberi fokus dalam pelbagai aspek pengawalan dadah. Tujuan kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan kesedaran terhadap masyarakat tentang kesan utama dadah ke atas mereka. Kempen tersebut turut mengingatkan dunia bahawa pendidikan yang baik dan skil menjalani kehidupan positif adalah penting bagi mendidik golongan muda tentang kesan-kesan buruk pengambilan dadah di samping membantu mereka mengelakkan diri daripada terlibat dengan pengambilan ‘najis’ tersebut.

Pihak kerajaan, sekolah dan media perlu bekerja keras dan bersatu padu dalam membimbing generasi muda melalui pendidikan, hubungan sesama rakan sebaya serta menggunakan pelbagai platform yang dapat memberi inspirasi kepada mereka seperti sukan, muzik dan hiburan.

Pada peringkat ini, ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penuh dalam memberikan impak positif kepada golongan remaja yang sedang membesar. Dalam memberi tindak balas terhadap virus HIV dan dadah, masyarakat harus membuka mata serta minda dalam menentang HIV dan AIDS. Anak-anak perlu dididik dengan pengajaran positif seperti melayani penagih-penagih dadah secara berperikemanusiaan serta menghormati mereka seperti insan normal yang lain.

Selain itu, penguatkuasaan dan memberi pilihan tanaman lain kepada para petani yang menanam tumbuhan mentah dadah turut memainkan peranan penting dalam proses pencegahan pada peringkat awal.

Secara kesimpulannya, perkara-perkara ini bukan mudah untuk dilaksanakan namun berbekalkan tawakal dan semangat juang yang tinggi, perkara ini akan mampu dilaksanakan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana HADA Pupuk Kesedaran Masyarakat Dunia, Utusan Malaysia)

1. Apakah maksud rangkai kata skil menjalani kehidupan positif? 2m
2. Nyatakan fokus kempen yang dijalankan oleh UNODC. 3m
3. Pada pendapat anda, apakah kesan layanan buruk terhadap penagih-penagih dadah? 4m
SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan kaedah-kaedah menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat..
Isi tersurat (cara-cara menangani)
S!: Mewujudkan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA)
S2: Mengadakan kempen 3 tahun
S3: Pihak kerajaan, sekolah, dan media membimbing generasi muda melalui pendidikan dan hubungan rakan sebaya.
S4: Menggunakan pelbagai platform yang dapat memberi inspirasi
S5: Ibu bapa dan guru memberi impak positif kepada remaja
S6: Masyarakat membuka mata serta minda dalam menentang HIV dan AIDS
S7: Mendidik anak-anak dengan pengajaran positif
S8: penguatkuasaan undang-undang
S9: Memberi pilihan penanaman tanaman lain kepada para petani yang menanam tanaman mentah dadah
Isi tersurat (Punca-punca)
T1: Pengaruh rakan sebaya
T2: Kurang didikan agama
T3: Keruntuhan institusi kekeluargaan
Kesimpulan: semua pihak haruslah meningkatkan usaha agar penyalahgunaan dadah dapat dibanteras habis-habisan





Soalan Pemahaman:
1. ...kebolehan mengharungi persekitaran dengan baik
2. ...menimbulkan kesedaran terhadap masyarakat tentang kesan utama dadah ke atas mereka...mengingatkan dunia tentang kepentingan pendidikan dan skil menjalani kehidupan positif falam mendidik golongan muda tentang kesan-kesan buruk pengambilan dadah...membantu golongan muda mengelakkan diri daripada terlibat dengan “najis” dadah
3. ...penagih dadah berputus asa untuk berubah...mereka berasa rendah diri dan dipinggirkan...mereka melakukan perbuatan jenayah untuk membalas dendam...lebih terdorong untuk meneruskan pengambilan dadah.

0 comments: