BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

Rumusan: Keganasan seksual terhadap kanak-kanak

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang sebab-sebab berlakunya keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan kesan-kesannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Keganasan terhadap kanak-kanak bukanlah isu baharu di negara ini. Kematian tragis yang menimpa Nurul Huda Abdul Ghani dan Nurin Jazlin memberitahu masyarakat bahawa jenayah ini semakin serius dan perlu dihentikan.

Keganasan terhadap kanak-kanak bukan perkara baharu di negara kita.Situasi ini bukanlah hal yang harus dipandang ringan. Kes sedemikian semakin meningkat sehingga membimbangkan banyak pihak. Peningkatan kes-kes seumpama ini juga memberitahu kita bahawa keselamatan golongan kanak-kanak semakin terancam.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku terhadap anak-anak. Hal ini bermakna, mereka harus meluangkan masa yang secukupnya dan tidak membiarkan anak-anak bersendirian. Elakkan anak-anak daripada bergaul dengan orang yang tidak dikenali.

Tidak dinafikan bahawa amat sukar untuk mengetahui atau mengenali orang yang sanggup melakukan perbuatan ini. Faktor utama yang hampir dengan kelakuan ganas ialah latar belakang diri. Penjenayah dipengaruhi zaman silam, kekecewaan atau rasa tidak puas hati terhadap hidupnya. Hal ini menunjukkan bahawa mereka mengalami masalah psikologi (fidofilia). Penghidap fidofilia merujuk mereka yang mempunyai kecenderungan melakukan jenayah seks terhadap kanak-kanak. Golongan ini biasanya bertindak kejam terhadap mangsa bagi mencapai kepuasan. Mungkin juga kerana rasa membalas dendam atas kejadian yang pernah menimpa dirinya.

Terdapat sesetengah ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan harian dan mengabaikan keluarga. Perasaan terabai dan kecewa membentuk peribadi yang menyeleweng dalam tingkah laku. Mereka cenderung bertindak agresif dalam persekitaran yang tidak menyenangkan. Begitu juga apabila mereka bersendirian. Oleh yang demikian, kasih sayang dalam keluarga amat penting untuk mengelakkan identiti ini. Hubungan yang mesra dapat mengeratkan ikatan antara anggota keluarga.
Perbuatan terkutuk ini juga antara cara mereka untuk melepaskan geram.Mereka memperlakukan kanak-kanak yang tidak terdaya sebagai alat melepaskan geram. Perbuatan sadis dan kejam melibatkan menjerut, memukul, mencekik atau menumbuk dengan kuat mangsanya. Semakin kuat mangsa menjerit dan meronta, mereka menjadi semakin ganas.

Masyarakat sekeliling harus disedarkan dengan rasa tanggungjawab terhadap orang lain. Kesedaran ini akan membawa kepada sikap saling bekerjasama dalam membanteras jenayah terhadap insan tidak berdaya ini berlarutan.

Anak-anak harus dibimbing agar lebih bijak dan tidak mudah mempercayai orang lain sama ada orang yang tidak dikenali mahupun yang mempunyai hubungan dengan keluarga. Mereka juga harus diajar menggunakan talian kecemasan jika dalam keadaan bahaya untuk menghubungi pihak berkuasa dan ibu bapa.

Gejala yang memalukan dan di luar tabii manusia ini harus dihentikan daripada menjadi noda masyarakat. Keselamatan anggota masyarakat bukan terletak di tangan pihak berkuasa sahaja tetapi lebih kepada diri sendiri, keluarga, dan masyarakat sekeliling.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Penjenayah Psiko: Selamatkah Anak-anak Kita”. Oleh Ibrahim Musing dan Shamsiah Abdul Kadir, Dewan Masyarakat, Mac 2008)

1. Apakah maksud rangkai kata peribadi yang menyeleweng? 2m
2. Jelaskan sebab-sebab penghidap fidofilia melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak. 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah jenayah ini dapat dikurangkan? 4m

SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan punca-punca/faktor-faktor berlakunya keganasan seksual
Isi tersurat (Punca-punca keganasan seksual)
S1: Latar belakang diri dipengaruhi zaman silam, kekecewaan atau rasa tidak puas hati
S2: Masalah psikologi (fidofilia) ...bertindak kejam terhadap mangsa bagi mencapai kepuasan
S3: Cara melepaskan geram...memperlakukan kanak-kanak sebagai alat melepaskan geram
S4: Kurangnya pengawasan ibu bapa...membentuk peribadi menyeleweng dalam tingkah laku
S5: Persekitaran yang tidak menyenangkan...bersendirian cenderung melakukan tindakan agresif
Isi tersirat (kesan-kesannya)
T1: menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat umumnya
T2: kanak-kanak tidak dapat bergerak bebas
T3: memberi kesan trauma kepada keluarga mangsa
T4: kerajaan terpaksa sediakan kos tinggi untuk memasang CCTV di lokasi-lokasi tertentu.
T5: Hospital sakit jiwa terpaksa menampung jumlah pesakit mental yang kian meningkat
Kesimpulan: Gejala yang memalukan dan di luar tabii manusia harus dihentikan agar tidak menjadi noda masyarakat

Pemahaman:
1. ... mempunyai sifat yang berlawanan daripada insan biasa
2. Tidak mampu melawan atau membalas perbuatan pelaku...Mudah untuk ditipu atau dipujuk...Mendapat kepuasan apabila melihat mereka dalam kesakitan
3. ...bimbingan kaunseling terhadap penjenayah fidofilia agar kembali ke pangkal jalan...Peranan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang yang lebih berat dan tegas kepada pelaku bagi menimbulkan pengajaran kepada yang lain...Peranan masyarakat tidak memandang ringan atau mengambil kisah terhadap peristiwa yang berlaku di sekeliling...Peranan media sentiasa memaparkan isu-isu jenayah kanak-kanak.

0 comments: