SOALAN 1
Aku masih ingat waktu itu ibu pun mengamuk juga. Dia marah sangat kepada Ceper sampai menyumpah-nyumpah kerana habis padi buntingnya mati lemas. Ibu menjerit pada bapa yang sejak pagi meninggalkan rumah untuk naik ke bukit berdenak ketitir.
Sebelum itu ibu tidak pernah berleter apa-apa, malah ibu bagikan takut pada bapa yang telah menjadi kaki burung ketitir itu hingga semua hal rumah dan keluarga diserahkan bulat-bulat pada ibu. Tetapi siang itu, sebelum bapa melangkah pergi bersama-sama denak rajanya, ibu menjerit. Nyaring betul suara ibu.
“ Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini!”.
Mungkin suara ibu macam suara air Ceper yang memukul dan membedal tebing hingga runtuh tanah-tanah, hingga terbongkeh perdu-perdu buluh yang mengapuk tebing.
Aku masih ingat lagi. Bapa dengan mudah sangkut kembali sarang denaknya ke paku conggoh dan terus randuk banjir masuk ke dalam petak baruh untuk menolong ibu yang bergelumang dengan air keruh dan sampah sarap. Tetapi bapa tidak boleh buat apa-apa juga. Himbauan air Ceper kuat sangat sehingga bapa sendiri beberapa kali terkial-kial jatuh.
Ceper terus menggila dan mengamuk juga sehingga seluruh anak buah kampung kami menjadi papa kedana tahun itu. Bapa kemudian kembali kepada ketitir juga, tetapi setiap kali bapa pulang dari rimba belantara berdenak burung, bapa pulang membawa gadung seguni dua. Tahun itu kami makan gadung itulah kerana padi habis jahanam kerana Sungai Ceper betul-betul mengamuk.
( Dipetik dan diubahsuaikan daripada cerpen Ibu dan Ceper oleh Shahnon Ahmad dalam antologi Harga Remaja,hal.102-103, Dewan Bahasa dan Pustaka.)
i) Berdasarkan petikan di atas, mengapakah ibu marah-marah? ( 3 markah)
ii) Pada pendapat anda, mengapakah berlakunya pencemaran sungai di Malaysia
( 3 markah)
iii) Nyatakan tema dan dua persoalan yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.
( 3 markah)
SKEMA JAWAPAN
i) Ibu marah-marah kerana
banjir yang berlaku di Sungai Ceper telah memusnahkan tanaman padinya.
bapa berseronok menjerat burung ketitir di puncak bukit.
bapa tidak membantunya membuat kerja-kerja rumah dan menguruskan hal keluarga.
ii) Pencemaran sungai berlaku di Malaysia kerana
Penduduk tempatan membuang air kumbahan, najis dan sampah sarap ke dalam sungai.
Kilang-kilang membuang sisa-sisa toksik dan bahan-bahan buangan industri ke dalam sungai.
Pembalakan menyebabkan permukaan tanah gondol dan sungai berkeladak.
iii) Tema cerpen ialah kepentingan sungai kepada manusia. Sugai boleh mendatangkan kebaikan dan musibah kepada penduduk di sekitarnya. Contohnya, Sungai Ceper membekalkan air untuk minuman,mencuci pakaian, pertanian dan membekalkan ikan. Sungguhpun begitu apabila kerja-kerja memulihara sungai tidak dijalankan, maka berlakulah banjir. Dalam musim kemarau, sungai akan kering. Apabila sungai kering,ikan-ikan akan mati.
Persoalan yang terdapat dalam cerpen ialah:
Pengorbanan isteri dalam keluarga dan suami tidak bertanggungjawab. Ibu bertungkus lumus menanam padi untuk menyara keluarga. Contohnya ibu membuang sampah sarap dan bangkai-bangkai binatang yang tersangkut pada batang padi apabila berlaku banjir tetapi bapa berseronok memikat burung di dalam hutan. Akibat terlalu banyak bekerja, ibu menghidap penyakit lumpuh.
Penderitaan hidup golongan petani. Sungguhpun ibu berpenat-lelah menanam padi di bendang tetapi kerana ibu bekerja dengan menggunakan tulang empat kerat bukan menggunakan peralatan moden.
Wednesday, April 7, 2010
Komsas cerpen Ibu dan. ceper - latihan 1
Posted by eranis at 11:11 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment