BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, March 29, 2010

Rumusan Penyakit kronik - Darah Tinggi

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca penyakit darah tinggi dan usaha-usaha menghindari penyakit itu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Di seluruh dunia, kegagalan mengawal masalah tekanan darah tinggi kerap menjadi punca penyakit kronik seperti kardiovaskular dan masalah ginjal. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2002 menyebut, setiap tahun lima juta kematian pramatang dicatatkan di seluruh dunia berpunca daripada tekanan darah tinggi. Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, berkata senario yang sama juga berlaku di negara ini dan dianggarkan seorang daripada tiga warga Malaysia berusia 30 tahun ke atas berhadapan dengan masalah tekanan darah tinggi.

Menurutnya lagi, walaupun punca sebenar tekanan darah tinggi tidak diketahui, ada beberapa faktor yang dikaitkan sebagai risiko tekanan darah tinggi. Penyakit ini boleh dibahagi kepada dua bahagian iaitu faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil garam dalam diet, minum arak dan merokok. Bahagian kedua pula membabitkan tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah, iaitu umur semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi, selain faktor bangsa,sejarah keluarga dan jantina,” katanya lagi. Dalam mengawal tekanan darah tinggi, katanya kebanyakan pesakit memerlukan ubat.

Salah satu sebab penyakit darah tinggi ‘diabaikan’ kerana tidak ada langsung seseorang itu menunjukkan sebarang gejala penyakit darah tinggi. Pada masa yang sama, penyakit ini juga mengambil masa bertahun-tahun untuk meninggalkan kesan kepada penghidapnya. Justeru, tidak hairanlah jika kita kurang berminat untuk mempedulikan bacaan tekanan darah setiap kali menjalani pemeriksaan doktor. Malahan,rata-rata juga beranggapan bahawa darah tinggi atau dalam istilah perubatannya, hipertensi ini bukanlah satu ancaman kepada kesihatan. Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 2007,lebih 30 peratus daripada penduduk negara ini menghidap tekanan darah tinggi dan sebilangan besar penghidap terdiri daripada kaum Melayu, tidak kira di bandar atau di desa. Di samping itu, faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan yang besar. Penyakit ini melibatkan lebih kurang lima hingga enam juta rakyat Malaysia dan bilangan kes makin meningkat disebabkan gaya hidup moden zaman kini.

Selain itu, punca utama kepada masalah darah tinggi ialah obstruksi lemak pada salur darah. Lazimnya, penyakit darah tinggi berasosiasi dengan penyempitan arteri (salur darah). Keadaan ini menyebabkan kesukaran darah untuk mengalir melaluinya kerana rintangan yang wujud dan keadaan ini memerlukan tekanan yang lebih kuat dan memaksa jantung untuk mengepam darah dengan lebih kuat.Faktor lain termasuklah paras kolesterol yang tinggi, paras lemak dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan tabiat merokok. Kolestrol, iaitu sebatian berlemak, juga dikenali sebagai lipid, yang beredar melalui darah. Kolestrol juga diperlukan untuk pelbagai fungsi badan yang penting seperti pembinaan membran sel, penghasilan sesetengah jenis hormon, sintesis vitamin D, dan penghadaman lemak dalam badan.

Tambahan pula, masyarakat sekarang kurang mengamalkan gaya hidup sihat dan gagal untuk mengekalkan pengambilan makanan seimbang. Jika kita lihat, masyarakat sekarang gemar makan makanan segera dan makan lewat malam selepas selesai pekerjaan mereka. Kesannya, makanan yang dimakan pada ketika itu gagal dihadamkan kerana tidak banyak berlaku gerakan yang dapat membakar lemak.

1. Berikan maksud frasa meninggalkan kesan kepada penghidapnya seperti terdapat dalam petikan. 2m
2. Nyatakan gaya hidup moden zaman kini yang menjadi amalan masyarakat? 3m
3. Sekiranya anda mempunyai keluarga yang menghidap penyakit darah tinggi, nyatakan nasihat yang patut anda berikan.
















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan faktor-faktor penyakit darah tinggi.
Isi tersurat (Faktor-faktor)
S1: Faktor risiko yang boleh diubah seperti obes, tidak bersenam, terlalu banyak mengambil gas
S2: tekanan darah tinggi yang tidak boleh diubah, iaitu umur semakin tua semakin tinggi kemungkinan diserang tekanan darah tinggi.
S3: Faktor bangsa, sejarah keluarga dan jantina.
S4: Kita kurang berminat untuk mempedulikan bacaan tekanan darah setiap kali menjalani pemeriksaan doktor.
S5: beranggapan bahawa darah tinggi atau dalam istilah perubatannya, hipertensi ini bukanlah satu ancaman kepada kesihatan.
S6: Faktor genetik juga berkemungkinan memainkan peranan besar.
S7: Obstruksi lemak pada salur darah.
S8: Paras kolestrol yang tinggi, paras lemak dalam darah yang tinggi, tekanan darah tinggi,diabetes,obesiti, gaya hidup yang tidak aktif, dan tabiat merokok
S9: Masyarakat sekarang kurang mengamalkan gaya hidup sihat dan gagal untuk mengekalkan pengambilan makanan seimbang.
Isi tersirat (Langkah menangani)
T1: Kurangkan pengambilan makanan berlemak dan berminyak
T2; Banyakkan bersenam sekurang-kurangnya 2 kali seminggu
T3: Hindarkan diri daripada minum arak dan merokok
Kesimpulan: Masyarakat Malaysia yang sihat perlulah menjaga kesihatan diri daripada dihidapi darah tinggi agar tidak banyak wang dihabiskan untuk membelikan ubat-ubatan.



Soalan pemahaman:
1. … Memberikan impikasi kepada pesakit
2. …Kurang bersenam…gemar makan makanan segera…makan lewat malam
3. …banyakkan bersenam…lakukan rawatan doktor secara berkala…jangan merokok dan mengambil alkohol…kurangkan makanan berlemak dan berminyak

0 comments: