BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 27, 2010

Rumusan Hobi - Masa senggang remaja

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara remaja memanfaatkan masa senggang dan tujuannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Masa senggang bermaksud masa lapang dan masa terluang bagi remaja yang memerlukan cara bagi menggunakannya. Masa senggang biasanya terdapat pada hujung minggu atau waktu cuti atau masa-masa tertentu yang lain. Masa senggang selalu menyebabkan remaja hilang fokus dan menyebabkan salah guna masa berlaku. Masa senggang kalau digunakan dalam menimba ilmu pengetahuan menerusi ulang kaji dapat meningkatkan prestasi pelajaran. Masa itu sesuatu yang amat bernilai kerana sehari yang telah pergi tidak akan kembali lagi dan sehari yang berlaku mendekatkan manusia ke hujung usia. Dalam bahasa lain masa yang tidak digunakan dan disalahgunakan boleh meninggalkan beban kepada kita. Masa senggang bagi remaja adalah banyak.

Tetapi masa senggang kadang-kadang menyebabkan remaja tidak memiliki jadual atau perancangan yang tertentu. Disebabkan tiada perancangan, remaja akan terdorong mengisi masa senggangnya atas pelawaan rakan sebaya atau menghabiskan masa di warung-warung. Keadaan seperti ini amat merugikan bakat dan usia remaja. Masa senggang yang bererti apabila dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan bakat yang diminati. Melakukan riadah dan kegiatan rekreasi untuk kesihatan badan adalah aktiviti yang baik untuk mengisi masa senggang. Selain itu, remaja wajar mengisi masa senggang dengan mendengar lagu-lagu menimbulkan kesedaran di samping hiburan dengan lirik-lirik yang merangsang kebaikan. Membaca akhbar, majalah, dan buku yang tidak melalaikan adalah juga aktiviti yang perlu dilakukan. Seterusnya kita wajar mengisi masa senggang dengan menolong ibu bapa dan jiran dengan kerja kebajikan.

Sekarang kita memberi fokus kepada remaja yang masih menuntut. Apabila habis sahaja sesi persekolahan, apakah yang patut diisi untuk memenuhi waktu yang terluang? Oleh itu, dicadangkan para pelajar mengikuti kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran. Masa senggang masih banyak dan masih banyak yang boleh diisi. Pada hari minggu, tidak bersalahan mengemaskinikan nota-nota pelajaran. Jika ibu bapa mengajak kita untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan taulan orang tua kita, eloklah kita ikut serta. Sebenarnya hidup kita perlu ada matlamat. Matlamat hidup kita bukanlah bermula setelah keputusan SPM diumumkan.Ketika masih bergelar pelajar lagi sewajarnya kita sudah mempunyai impian yang besar. Sebelum minat kita luntur, kita wajar mengikuti kursus motivasi untuk memperteguh jati diri kita menghadapi hari-hari mendatang.

Sesungguhnya setiap hari, masuk ke minggu dan bulan yang beredar, para remaja mencapai kejayaan diri dan peribadi keluarga dan akhirnya kejayaan untuk masyarakat dan negara. Masa senggang yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia. Masa senggang yang dirancang dan dijadual dengan baik boleh dijadikan sebagai sumber mengatur hidup. Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah orang yang mendisiplinkan dirinya dengan masa. Mereka ialah orang-orang yang menepati masa, tidak membazir masa, tahu menggunakan masa dengan bijaksana, cemburu terhadap masa, dan menghubungkan masa sebagai usaha meningkatkan amal dan ibadah. Oleh itu, amat penting bagi remaja membiasakan diri dengan menggunakan masa senggang dengan jadual kegiatan yang baik.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Manfaatkan Masa Senggang oleh Dr. Sidek Baba, Utusan Malaysia, 2 Februari 2006)

1. Berikan maksud rangkai kata memperteguh jati diri kita menghadapi hari-hari mendatang. 2m
2. Apakah kesilapan remaja dalam mengisi masa senggang? 3m
3. “Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah orang yang mendisiplinkan dirinya dengan masa”. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu mempunyai disiplin? 4m














SKEMA JAWAPAN:
P: Petikan membincangkan cadangan-cadangan untuk remaja memanfaatkan waktu senggang mereka.
Isi tersurat (cara-cara remaja memanfaatkan masa senggang)
S1: Digunakan untuk menimba ilmu menerusi ulang kaji
S2: Dapat dimanfaatkan untuk mengembangkan bakat yang diminati
S3: Melakukan riadah dan kegiatan rekreasi untuk kesihatan badan
S4: Mendengar lagu-lagu menimbulkan kesedaran di samping hiburan dengan lirik-lirik yang merangsangkan kebaikan.
S5: Membaca bahan-bahan yang tidak melalaikan
S6: Menolong ibu bapa dan jiran dengan kerja kebaikan
S7: Pelajar-pelajar mengikut kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.
S8: Mengemaskinikan nota-nota pelajaran
S9: Ikut serta menghadiri majlis perkahwinan rakan taulan orang tua kita.
S10: Mengikuti kursus motivasi untuk memperteguh jati diri kita menghadapi hari-hari mendatang.
Isi tersirat (tujuannya)
T1:Kerap mengulang kaji menyebabkan prestasi pelajaran akan sentiasa meningkat
T2: Sering beriadah menyebabkan badan sentiasa sihat dan dapat menjalani hidup dengan lebih tenang
T3: Mengikut ke majlis perkahwinan boleh manambahkan kenalan tanpa mengira peringkat usia.
T4: Mengikut kursus motivasi menyebabkan diri lebih berkeyakinan menjalani kehidupan
Kesimpulan: Remaja harus memanfaatkan setiap masa senggang dengan aktiviti berfaedah agar kehidupan lebih berfokus ke arah kejayaan.
Soalan pemahaman:
1. …menguatkan keteguhan diri untuk melalui hari-hari akan datang.
2. …fokus dan menyebabkan salah guna masa berlaku… Remaja tidak memiliki jadual atau perancangan yang tertentu…Disebabkan tiada perancangan, remaja akan terdorong mengisi masa senggangnya atas pelawaan rakan sebaya atau menghabiskan masa di warung-warung.
3. …Kita perlu mempunyai disiplin kerana hidup kita akan terancang dengan aktiviti yang sihat… Kita tidak akan membazirkan masa dengan aktiviti yang berfaedah…Kita sentiasa berusaha untuk membaiki nasib diri…Kita akan diyakini oleh masyarakat yang berurusan dengan kita

0 comments: