Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya ketegangan hubungan antara majikan dengan pembantu rumah warga asing dan alternatif untuk mengatasinya. Panjang rumusan anda tidak lebih 120 patah perkataan.
Kemelut yang membabitkan pembantu rumah warga asing yang bekerja di negara ini semakin rumit dan memerlukan tindakan segera untuk menyelesaikannya. Hal ini bermula dengan isu pembantu rumah warga Indonesia yang mendakwa didera majikan di Malaysia sehingga kepada tindakan kerajaan Indonesia melarang rakyatnya ke negara ini untuk bekerja dalam sektor berkenaan. Senario tersebut memperlihatkan negara semakin terikat dengan permasalahan ini, sedangkan ruang untuk mengatasinya semakin sempit berikutan dengan kesukaran mendapatkan pembantu rumah warga tempatan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Kemelut ini ialah rentetan daripada ketegangan hubungan antara majikan dengan pembantu rumah warga asing. Ketegangan ini berpunca daripada ketidakpuasan hati pihak majikan terhadap perkhidmatan pembantu rumah warga asing seperti masak-memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, menjaga anak-anak, dan sebagainya. Kos yang perlu dibayar pada setiap bulan agak tinggi, sedangkan perkhidmatan yang diberikan masih belum mencapai tahap terbaik. Hal ini demikian kerana sebahagian besar pembantu rumah mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah. Selain itu, mereka tidak terlatih dalam bidang pengurusan rumah tangga. Majikan yang mempunyai anak kecil pula risau jika pembantu rumah mendera anak-anak semasa mereka keluar bekerja atau mempengaruhi anak-anak mengamalkan tingkah laku yang menyalahi nilai masyarakat tempatan. Ada juga sesetengah majikan yang bermasalah kerana menganggap pembantu rumah sebagai duri dalam daging yang menjejaskan hubungan kekeluargaan. Perasaan cemburu akan kemesraan dan keakraban yang terjalin antara anak-anak dengan pembantu rumah merumitkan hubungan kedua-dua belah pihak.
Ketegangan ini berpunca juga daripada sikap pembantu rumah yang tidak amanah semasa bekerja terutama ketika majikan tiada di rumah. Antaranya, termasuklah menelefon rakan berjam-jam lamanya, mencuri barang-barang berharga, dan sebagainya. Justeru, majikan tidak dapat menahan sabar apabila timbul situasi harapkan pagar, pagar makan padi. Hubungan yang tidak harmoni itu bertambah serius apabila pembantu rumah bertindak secara agresif dan melawan cakap majikan. Pembantu rumah mendakwa bahawa majikan memaksa mereka bekerja tujuh hari seminggu tanpa rehat yang secukupnya. Sebaliknya, majikan bertegas mengatakan bahawa perkhimatan yang diberikan oleh pembantu rumah tidak setimpal dengan gaji yang dibayar. Dalam keadaan begitu,majikan mudah naik angin sehingga tergamak mengambil tindakan di luar batas kemanusiaan untuk melepaskan geram. Sebagai jalan penyelesaian, pembantu rumah tekad melarikan diri daripada majikan walaupun kontrak perkhidmatannya belum tamat.
Kini, sudah sampai masanya rakyat Malaysia berusaha supaya tidak mengharapkan pembantu rumah untuk mengurus rumah tangga dan anak-anak. Untuk menangani masalah ini, semua pihak perlu berbincang bagi mencari langkah terbaik bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap pembantu rumah warga asing.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada”Elak Bergantung pada Amah Warga Asing”, Berita Harian, 2 Julai 2009)
1. Berikan maksud rangkai kata duri dalam daging. 2m
2. Nyatakan bidang tugas yang kerap diserahkan oleh majikan kepada pembantu rumah. 3m
3. Pada pandangan anda, mengapakah rakyat asing tertarik untuk bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini?
skema jawapan:
P : Petikan membincangkan sebab-sebab tercetusnya ketegangan antara majikan dengan pembantu rumah warga asing.
Isi tersurat (Punca)
S1: Timbul ketidakpuasan hati pihak majikan terhadap perkhidmatan pembantu rumah warga asing.
S2: mereka tidak terlatih dalam bidang pengurusan rumah tangga.
S3: Majikan risau jika pembantu rumah warga asing akan mendera anak-anak semasa mereka keluar bekerja.
S4: pembantu rumah tersebut dikhuatiri akan mempengaruhi anak-anak mengamalkan tingkah laku yang menyalahi nilai masyarakat tempatan.
S5: Majikan menganggap pembantu rumah sebagai orang yang menjejaskan hubungan kekeluargaan.
S6: Majikan cemburu akan kemesraan dan keakraban yang terjalin antara anak-anak dengan pembantu rumah.
S7: Sikap pembantu rumah warga asing yang tidak amanah semasa bekerja, terutama ketika majikan tiada di rumah.
S8: Pembantu rumah itu bertindak secara agresif dan melawan cakap majikan.
S9: pembantu rumah warga asing mendakwa bahawa majikan memaksa mereka bekerja 7 hari seminggu tanpa rehat secukupnya.
S10: Majikan pula mengatakan bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh pembantu rumah warga asing tidak setimpal dengan gaji yang dibayar.
Isi tersirat ( Alternatif)
T1: Majikan menggunakan khidmat ahli keluarga untuk menggantikan tempat pembantu rumah warga asing.
T2: Kerajaan menubuhkan institusi latihan kemahiran dam bidang pembantu rumah.
T3: Golongan remaja yang menganggur hendaklah dilatih sebagai pembantu rumah.
T4: Rakyat tempatan mengurus rumah tangga mereka sendiri.
T5: Kerajaan mengambil pembantu rumah warga asing dari pelbagai negara.
T6: Syarat kemasukan perkhidmatan pembantu rumah yang diurus oleh pihak ketiga dimansuhkan.
Kesimpulan: Amalan pengambilan pembantu rumah dari luar negara patut dikurangkan agar tidak timbul pelbagai masalah pengurusan rumah tangga.
Pemahaman:
1 … hal yang selalu menyusahkan orang.
2 …tugas-tugas memasak – membasuh pakaian – mengemas rumah – menjaga anak-anak
3 …tiada pekerjaan tetap di negara mereka – terpengaruh oleh pujukan dan ajakan kawan-kawan – gaji yang ditawarkan lumayan berbanding dengan gaji di tempat asal – ada pihak yang mengurus kemasukan mereka ke negara ini.
Saturday, March 20, 2010
Rumusan pembantu rumah:Punca ketegangan dgn majikan
Posted by eranis at 11:03 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment