Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan pengambilan gula secara berlebihan dan langkah-langkah pencegahan yang harus diambil. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Dalam kehidupan harian, amalan pemakanan gula secara berlebihan semakin menjadi-jadi. Namun, kesedaran tentang perkara ini kurang mendapat perhatian walaupun penggunaan gula secara berlebihan dapat menimbulkan kesan buruk yang bakal memudaratkan kesihatan. Gula jika diambil berlebihan sememangnya melazatkan makanan kerana makanan tersebut akan menjadi manis. Oleh sebab itulah banyak orang yang tidak mengendahkan akibat buruk pengambilan gula terhadap kesihatan mereka.
Gula mengandungi 99.9 peratus karbohidrat dan setiap gram gula pula membekalkan empat kalori tenaga. Ada beberapa jenis gula yang biasa kita gunakan. Misalnya, gula pasir digunakan dalam minuman ringan atau cordial, jus buah-buahan, biskut, kek, dan beberapa bijirin sarapan. Selain gula pasir, ada juga gula yang terdapat dalam susu dan buah-buahan yang dikenali sebagai laktosa dan fruktosa, sementara madu merupakan hasilan gula yang pekat.
Tubuh kita menggunakan gula tanpa membezakan sumber gula, sama ada sukrosa, fruktosa, atau laktosa. Gula tersembunyi dalam makanan yang sudah diproses ialah gula berlebihan yang dimakan tanpa disedari. Tindak balas bakteria dalam plak gigi dan gula daripada makanan menghasilkan asid yang meretakkan lapisan enamel gigi. Kekerapan pengambilan gula dalam kuantiti yang tidak terkawal dapat menyebabkan karies gigi berlaku pada tahap yang membimbangkan dan mengakibatkan kehilangan gigi akhirnya. Gula berlebihan yang gagal diproses selengkapnya akan menghasilkan lemak kepada sistem badan.
Pengambilan gula yang berlebihan juga dapat menyebabkan obesiti atau kegemukan yang dapat meningkatkan risiko penyakit jantung atau darah tinggi. Selain itu, paras gula yang tinggi dalam darah dapat menyebabkan penyakit diabetes. Diabetes disebabkan oleh kegagalan tubuh mengendalikan paras gula dalam darah. Keadaan ini disebabkan kekurangan insulin yang dihasilkan oleh tubuh. Insulin membantu glukosa darah memasuki sel badan dan menukarkannya menjadi tenaga. Akibatnya, badan kekurangan tenaga walaupun paras glukosa dalam darah tinggi. Oleh itu, pesakit diabetes perlu mengawal pengambilan gula dan makanan berlemak supaya komplikasi diabetes seperti kerosakan pembuluh darah, mata, buah pinggang, dan saraf dapat dielakkan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Gula punca Penyakit”, Harian Metro)
1. Berikan maksud frasa kesan buruk yang bakal memudaratkan kesihatan. 2m
2. Bagaimanakah pengambilan gula secara berlebihan dapat menyebabkan penyakit diabetes? 3m
3. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang berkesan untuk menjaga kesihatan tubuh agar sentiasa sihat? 4m
SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan impak-impak pengambilan gula secara berlebihan dalam pemakanan.
Isi tersurat ( Kesan-kesannya)
S1: Menyebabkan karies gigi
S2: Menghasilkan asid yang meretakkan lapisan enamel gigi
S3: Mengakibatkan kehilangan gigi
S4: Menghasilkan lemak kepada sistem badan
S5: Menyebabkan obesiti atau kegemukan
S6: Meningkatkan risiko penyakit jantung atau darah tinggi
S7: menyebabkan penyakit diabetes
Isi tersirat ( Langkah pencegahan)
T1: Membersihkan gigi selepas mengambil makanan atau sebelum tidur
T2: Mendapatkan pemeriksaan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun atau setiap enam bulan.
T3: Mengambil makanan yang seimbang
T4: Bersenam atau melakukan riadah tiga kali seminggu dan 30 minit setiap satu sesi
T5: Mengurangkan pengambilan gula
Kesimpulan: Gula penting kepada tubuh, namun pengambilannya perlu dikawal agar tidak memudaratkan kesihatan
Soalan Pemahaman:
1. …efek/implikasi negatif yang akan membahayakan keadaan badan
2. …Paras gula yang tinggi dalam darah…kegagalan tubuh mengendalikan paras gula dalam darah…Kekurangan insulin yang dihasilkan oleh tubuh…badan kekurangan tenaga.
3, …Mengawal pengambilan gula…Berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan… Sentiasa memilih makanan yang seimbang dan berkualiti…Sentiasa bersenam.
Saturday, March 27, 2010
Rumusan- penyakit kronik: Gula berlebihan
Posted by eranis at 10:26 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment