BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 27, 2010

Rumusan Hobi - seni lukis

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang manfaat bidang seni lukis dan halangannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bidang seni lukis menjadi kegemaran pelbagai lapisan masyarakat sejak dahulu lagi. Jika seseorang itu serius mempelajari dan menghasilkan karya seni, bidang ini akan menjadi punca pendapatan yang lumayan. Oleh hal yang demikian, kegiatan dalam bidang seni lukis tidak wajar diabaikan oleh generasi muda Malaysia. Mereka hendaklah memanfaatkan peluang yang luas terbentang itu untuk meniti dan mengecap kejayaan yang terhasil daripadanya.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan guru-guru wajar menggalakkan generasi muda agar berusaha mengembangkan bakat, minat, serta potensi mereka dalam bidang ini. Kursus-kursus dalam bidang seni lukis hendaklah dianjurkan oleh institusi atau kesatuan berkenaan untuk mengukuhkan dan menyuburkan minat seni dalam kalangan pelajar dan anggota masyarakat. Hal ini berikutan dengan perkembangan dunia tanpa sempadan yang memerlukan pelukis-pelukis berkebolehan mengisi ruang kerjaya seni lukis dan grafik dalam bidang komunikasi dan maklumat serta alam siber yang lain.

Untuk menggalakkan minat pelajar dalam lapangan seni lukis, maka pelbagai kegiatan dapat dilakukan, termasuklah pertandingan dan pameran lukisan. Aktiviti-aktiviti ini secara langsung akan memberikan dorongan kepada para pelajar dan para peminat seni lukis supaya lebih mendalami bidang lukisan yang menjadi kegemaran mereka. Kegiatan seumpama ini setidak-tidaknya dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang manfaatnya karya seni dan pada masa yang sama membantu mengeratkan persahabatan antara pelajar dari pelbagai ceruk rantau yang menyertai aktiviti itu. Jika sesuatu kegiatan itu melibatkan penyertaan peringkat antarabangsa, maka perbezaan antara budaya dapat difahami dengan lebih dekat menerusi lukisan.

Peranan guru tidak kurang pentingnya untuk mendorong pelajar mendalami bidang seni lukis supaya mereka dapat menghasilkan lukisan yang tinggi mutunya. Selain itu, penglibtan pelajar dalam bidang ini akan memudahkan kita melahirkan illustrator yang berkebolehan untuk mengilustrasi buku-buku cerita yang berunsur moral dan keagamaan sebagai tatapan para pembaca. Hal sampingan daripada perkembangan ini ialah kita dapat melahirkan generasi yang berwawasan kerana dapat membaca sambil berhibur bagi mengisi masa lapang. Perkara ini harus diprihatinkan kerana pada masa ini generasi muda mudah terpengaruh oleh pelbagai gejala sosial. Daripada disia-siakan masa lapang di kafe siber, di pusat-pusat hiburan, atau di depan televisyen, alangkah baiknya jika pembaziran masa itu dapat dialihkan kepada lapangan seni lukis yang tidak memerlukan belanja yang besar.

Bagi peminat lukisan mereka mendakwa bahawa lukisan dapat mengurangkan tekanan emosi. Apabila gambaran perasaan dapat dicurahkan ke atas kanvas,maka segala kesedihan,kekecewaan, dan kegembiraan dilakarkan sepuas-puasnya kerana ada pendapat yang menyatakan bahawa sesebuah lukisan dapat menggambarkan seribu makna.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Nilai Sebuah Lukisan oleh Mohd. Anuar Patha Rahman, Berita Harian, 23 Jun 2003)

1. Nyatakan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan minat anggota masyarakat dalam bidang seni lukis. 2m
2. Jelaskan manfaat yang diharapkan daripada sesuatu pertandingan atau pameran lukisan. 3m
3. Pada pandangan anda, mengapakah seni lukis tidak dipentingkan oleh pelajar-pelajar kita? 4m






















SKEMA JAWAPAN
P: Petikan membincangkan kepentingan /kebaikan/faedah seni lukis dalam kehidupan masyarakat
Isi tersurat ( Kebaikannya)
S1: Bidang seni lukis dapat menjadi punca pendapatan yang lumayan
S2: Pelukis-pelukis yang berkebolehan dapat mengisi masa lapang kerjaya seni lukis dan grafik dalam bidang komunikasi dan maklumat serta alam siber yang lain.
S3: Pameran seni lukis dapat mengeratkan persahabatan antara pelajar dari pelbagai ceruk rantau yang menyertainya.
S4: Menerusi lukisan, perbezaan antara budaya dapat difahami dengan lebih dekat
S5: Bidang seni lukis akan memudahkan kita melahirkan illustrator yang berkebolehan
S6: Pembaziran masa di tempat hiburan dapat dialihkan kepada lapangan seni lukis yang tidak memerlukan belanja yang besar
S7: Lukisan dapat mengurangkan tekanan emosi
Isi tersirat ( halangannya)
T1: Majoriti anggota masyarakat tetap menganggap bidang seni lukis tidak menjamin masa depan seseorang.
T2: Mata pelajaran seni lukis tidak dijadikan subjek wajib dalam kurikulum sekolah di Malaysia
T3: Masyarakat tidak ditampilkan contoh kejayaan individu yang bergiat dalam bidang seni lukis
T4: Bidang seni lukis dianggap tidak standing dengan kerjaya yang lain.
T5: Penggiat seni lukis suka bergerak dalam kelompok sendiri/kurang bergaul dengan orang yang tidak sealiran dengan mereka.
Kesimpulan: Penggiat seni wajar mendekati masyarakat agar seni lukis tidak terus terpinggir.
Soalan pemahaman:
1. …galakan oleh ibu bapa kepada anak-anak/generasi muda…galakan oleh guru kepada murid…Menganjurkan kursus dalam bidang seni lukis dari semasa ke semasa
2. …Memberikan dorongan kepada pelajar/peserta terhadap karya seni…Mewujudkan kesedaran pelajar/peserta terhadap karya seni…Mengeratkan hubungan persahabatan sesama peserta… Peserta dapat memahami perbezaan antara budaya
3. …Seni lukis tidak menjadi syarat pensijilan…Statusnya hanya sebagai mata pelajaran pilihan…Tidak layak menjadi syarat kemasukan ke IPT…Tidak menjamin peluang pekerjaan

0 comments: