BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 20, 2010

Rumusan pembantu rumah: Kesulitan yg dihadapi dgn majikan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kesulitan yang dihadapi oleh pembantu rumah dan impak terhadap pembantu rumah.Panjang rumusan anda tidak lebih 120 patah perkataan.

Majikan mengeluarkan belanja yang besar sehingga mencecah RM5,000 untyk proses mendapatkan pembantu. Mereka juga dibayar gaji setiap bulan. Keadaan ini menyebabkan harapan majikan terhadap mutu perkhidmatan pembantu sangat tinggi. Apabila pembantu gagal memberikan perkhidmatan yang diharapkan maka terjadilah kekecewaan. Tidak semua majikan boleh menerima kekecewaan ini dengan sabar dan lapang dada. Terdapat majikan yang kurang sabar dan kadang kala tidak berfikir dengan waras maka terjadilah penderaan. Kerajaan Indonesia telah membuat kesimpulan umum bahawa kebanyakan pembantu rumah dari negaranya yang bekerja di sini terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan berhadapan dengan majikan mereka. Mereka dikatakan diberikan layanan buruk oleh majikan seperti didera, dicabul kehormatan, dan dirogol. Malah dilaporkan sesetengah majikan tidak membayar gaji selain meminta pembantu rumah melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehubungan dengan hal itu, kerajaan Indonesia telah membekukan penghantaran rakyatnya sebagai pembantu rumah ke negara luar termasuk Malaysia. Bagaimanapun, beberapa hari selepas keputusan pembekuan tersebut, dutanya ke Malaysia menjelaskan tindakan itu bukan disebabkan majikan di Malaysia ini kejam, sebaliknya bertujuan mengemas kini prosedur pendaftaran pekerja Indonesia ke luar negara dan menghapuskan kegiatan agensi pekerjaan haram. Kita didedahkan dengan penderitaan yang dialami oleh pembantu rumah Indonesia di Malaysia, sehingga lupa onar yang dilakukan oleh golongan tersebut terhadap majikan mereka yang bukan sedikit. Sudah banyak dilaporkan pembantu rumah dari negara tersebut didakwa mencuri, memukul, mencabul, dan melarikan anak majikan malah lari daripada majikan. Memang ada dakwaan majikan yang tidak memberikan rehat secukupnya kepada pembantu rumah.

Dalam kes lain, dikatakan majikan meminta melayan seks. Akan tetapi sikap negatif sesetengah daripada mereka telah memberikan gambaran buruk terhadap pembantu rumah dari Indonesia. Walaupun pembantu rumah dari Indonesia dikatakan lebih disenangi kerana budaya yang hampir sama, namun tiada langkah yang diambil bagi mengatasi masalah mereka yang tidak serasi terhadap cara hidup majikan masing-masing. Memang ada peraturan yang telah dibuat antara ejen dan majikan bagi menentukan mereka yang beragama Islam tidak bekerja dengan majikan yang bukan Islam. Akan tetapi malangnya insiden pembantu rumah tersebut dipaksa makan makanan yang diharamkan seperti babi dan memandikan anjing. Mereka juga dikatakan tidak dibenarkan bersolat. Ada yang bercadang untuk pulang ke kampung halaman tetapi tidak dibenarkan.

Bagi mereka yang beragama Islam dan bekerja dengan keluarga bukan Islam, masih timbul masalah pertembungan budaya yang serius. Hal ini tidak termasuk masalah pembantu rumah Indonesia tidak berdisiplin , liar, dan kurang memberikan kerjasama kepada majikan. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memikir dan melaksanakan langkah-langkah dalam bentuk peraturan yang wajib dipatuhi bagi menangani kesemua persoalan di atas, baik untuk jangka pendek mahupun untuk faedah jangka panjang. Satu lagi persoalan yang menarik untuk diperbincangkan dan sangat berpotensi untuk dilaksanakan untuk mengangkat khidmat pembantu rumah sebagai satu kerjaya. Kursus boleh dijalankan secara jangka pendek agar lebih ramai pekerja boleh dikeluarkan dalam tempoh yang singkat. Pihak swasta juga boleh mengendalikan kursus yang sama dengan menjalani latihan., asal sahaja dengan syarat mendapat pengiktirafan daripada kerajaan. Kita mahu khidmat sebagai pembantu rumah diangkat sebagai satu kerjaya yang mulia, bukan dipandang rendah seperti sekarang.

(Diubahsuaikan daripada rencana “Masalah Pembantu Rumah”’ oleh Hayati Hussin, Utusan Malaysia,20 Mei 2009)

1. Berikan maksud rangkai kata lupa onar yang dilakukan. 2m
2. Berikan contoh sikap negatif yang dilakukan oleh pembantu rumah? 3m
3. Pada pandangan anda, apakah yang patut dilakukan oleh majikan terhadap pembantu rumah bagi mewujudkan suasana yang harmoni? 4m


































SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membincangkan kesukaran/masalah yang dihadapi oleh pembantu rumah.

Isi tersurat (Kesulitan pembantu rumah)

S1: Menghadapi pelbagai kesulitan berhadapan majikan mereka.
S2: Diberikan layanan buruk oleh majikan.
S3: Diminta melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan agama
S4: Majikan tidak memberikan rehat secukupnya.
S5: Majikan meminta melayan seks.
S6: Tidak serasi terhadap cara hidup majikan masing-masing
S7: Dipaksa makan makanan yang diharamkan.
S8: Tidak dibenarkan bersolat
S9: Bercadang pulang ke kampung halaman tetapi tidak dibenarkan
S10: Bekerja dengan keluarga bukan Islam, timbul masalah pertembungan budaya.

Isi tersirat ( Kesan-kesannya)

T1: Pembantu rumah berasa tertekan sehinggakan tidak dapat menjalankan kerja dengan baik.
T2: Memberikan tanggapan buruk pemerintah Indonesia yang menganggap rakyat Malaysia tidak berperikemanusiaan.
T3: Pembantu rumah mengambil tindakan nekad seperti mendera anak majikan sebagai cara untuk membalas dendam
T4: Berita negatif yang disiarkan menyebabkan rakyat Indonesia yang lain kurang berminat untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.
T5: Hubungan dua hala antara kerajaan Indonesia dan Malaysia boleh terjejas.

Kesimpulan: Masyarakat perlu bersikap prihatin terhadap pembantu rumah agar mereka memperoleh motivasi untuk bekerja dengan lebih baik.

Pemahaman:

1. …tidak mengingati perkara yang telah dibuat sebelum ini.
2. …mencuri, memukul, mencabul, dan melarikan anak majikan…Lari daripada majikan…Tidak berdisiplin, liar, dan kurang memberikan kerjasama kepada majikan.
3. …Majikanperlu menganggap pembantu rumah sebagai salah seorang anggota keluarga…Majikan perlulah menerangkan dengan jelas kerja-kerja rumah yang perlu dilakukan dan aktiviti yang tidak patut dilakukan. …Majikan perlu memberikan cuti yang wajar untuk memastikan pembantu rumah mendapat rehat yang mencukupi… Jika timbul masalah, hendaklah diselesaikan secara harmoni tanpa menyakitkan hati mana-mana pihak.

0 comments: